DAKWAH CARA SHARIFAH AINI

oleh Zaidi Mohamad  (Berita Harian: Jumaat, 23 Oktober 2009)

SHARIFAH AINI bersama Anuar dan Adibah akan menggegarkan Grand Ballroom Hotel Concorde pada DisemberMahu kumpul dana bantu kebajikan anak tahfiz melalui siri persembahan bersama Anuar Zain, Adibah Noor

Terlalu lama Biduanita Negara yang satu ini mengimpikan siri persembahan menampilkan kawan seperjuangan yang turut memahat nama di dalam kelompok seni hiburan tempatan.  Bukan saja artis lama, malah Datuk Sharifah Aini turut mengalu-alukan artis baru untuk memastikan misi murninya berjalan seperti dirancang.  Seiring dengan usia pembabitan seninya yang menjangkau 41 tahun, penyanyi Seri Dewi Malam ini tidak pernah lupa untuk berkongsi rasa kesyukuran itu dengan mereka yang kurang bernasib baik  Maka dengan itu, terbit ilham mengadakan siri persembahan diberi nama Datuk Sharifah Aini And Friends.

Ibu tunggal kepada seorang anak ini mahu menyumbangkan sebahagian daripada dana hasil duit persembahan itu bagi membantu pelajar sekolah tahfiz dan anak yatim untuk menerima sedikit kasih sayang meneruskan hidup terutama dalam soal berkaitan menuntut ilmu bagi menjadi insan yang lebih berguna.  Sebagai permulaan persembahan makan malam amal yang dianjurkan Seri Dewi Productions Sdn Bhd dan Lime Events Management serta disokong Hotel Concorde, Kuala Lumpur itu akan menyaksikan penyanyi bersuara lemak merdu itu berkongsi pentas dengan Adibah Noor pada 4 Disember ini diikuti Anuar Zain pada 11 Disember.

"Idea melaksanakan siri persembahan ini tercetus ketika persembahan Kak Pah di Dewan Perdana Felda baru-baru ini.  Dengan populariti yang ada dan apa yang Kak Pah kecapi selama ini untuk mencari rezeki, tak salah kita salurkan wang yang diperoleh itu untuk perkara kebaikan.  Selama 15 tahun mengundang anak tahfiz ke surau rumah untuk kelas agama dan majlis ilmu, Kak Pah mula tahu kesusahan mereka.  Kak Pah harus berterima kasih kepada rakan artis terutama kepada Anuar Zain dan Adibah Noor yang terlebih dulu memberikan pengesahan untuk sama-sama terbabit dan beramal.  Selepas ini, Kak Pah tengah berurusan untuk mengintai peluang berkolaborasi dengan Anita Sarawak, M Nasir, Jamal Abdillah dan Sheila Majid.  Malahan, Kak Pah sudah mula memikirkan untuk mengadakan tema malam nostalgia 60-an mengundang Ahmad Jais contohnya.

"Ketika ini pun, mula terlintas untuk Kak Pah mengadakan persembahan berkonsepkan Malam Johor.  Kak Pah anggarkan mungkin dalam sekitar 12 ke 15 siri persembahan sebegini akan diadakan sepanjang masa.  Paling penting kerjasama Hotel Concorde KL memberi ruang untuk persembahan ini diadakan di Grand Ballroom.  Harapnya persembahan ini sebagai permulaan menjelang konsert Kak Pah pada 2011," katanya ketika ditemui di Hotel Concorde dalam sidang media mengumumkan siri persembahan ini.  Menurut Kak Pah, 50 peratus daripada keuntungan jualan tiket setiap siri persembahan akan disalurkan ke badan kebajikan yang terpilih.  Selebihnya akan menjadi modal putaran untuk siri persembahan seterusnya.  Memilih untuk melaksanakan sendiri siri persembahan ini tanpa membabitkan promoter tertentu, wanita kelahiran Singapura ini sudah penat dan serik ditipu insan tidak bertanggung jawab.

"Sudah lama Kak Pah mahu merealisasikan impian ini, cuma baru sekarang kesediaan itu membuak-buak.  Sekarang pun Kak Pah dalam peringkat semi persaraan, lalu, biarlah sisi akhir ini menyimpan rasa indah di hati.  Konsert 2011 itu diumpamakan sebagai pra selamat tinggal.  Persaraan itu juga tidak bererti Kak Pah akan melupakan dunia seni buat selama-lamanya.  Kalau dapat beramal lagi dengan menyanyi, apa salahnya.  Kak Pah pun sebenarnya bukan pekerja kerajaan, jadi istilah persaraan itu sebenarnya memberi definisi berbeza buat diri ini.  Paling penting dana yang dicari untuk siri persembahan ini untuk membantu pelajar tahfiz melanjutkan pelajaran ke Afrika Selatan untuk menjadi imam, pendakwah dan alim ulama yang bijak pandai kelak," katanya yang mula sibuk dengan persiapan membuat konsert di Singapura pada 8 November depan.

Mengenai Adibah Noor dan Anuar Zain, Sharifah Aini tidak segan dan malu mengatakan dua figura itu antara penyanyi terbaik di Malaysia dengan mutu vokal memukau.  Setiap penyanyi akan diberi slot selama 45 minit, malah Kak Pah turut menyanyikan lagu popular mereka di samping berduet untuk beberapa buah lagu.  "Anuar Zain ada pengikut tersendiri dan mempunyai karisma di atas pentas.  Teruja juga dapat berkolaborasi dengannya.  Tak sangka, sungguh mudah Kak Pah bekerjasama dengan pengurusannya.  Ternyata ia tidak sama dengan cakap-cakap orang mengenai kesukaran untuk berurusan dengan Anuar Zain.  Begitu juga dengan Adibah Noor yang mempunyai saiz badan yang lebih kurang macam Kak Pah.  Kak Pah yakin kami akan berseronok dan menikmati keindahan membuat persembahan bersama nanti.  Kak Pah kalau terbayangkan Adibah Noor, mulalah Kak Pah teringatkannya sebagai Queen Latifah Malaysia," katanya.

Sementara itu, Anuar Zain yang ditemui sama sekali tidak menyangka penyanyi malar segar itu sanggup mengundangnya untuk terbabit sama dalam siri persembahan istimewa ini.  Seloroh Anuar sambil memecah rahsia lama ketika zaman kecilnya, adik kepada penyanyi Ziana Zain itu sering memasang kaset Sharifah Aini sambil berduet sama mendendangkan lagu penyanyi itu.  "Tawaran ini diterima dengan penuh rasa terkejut.  Malahan saya sempat ke rumahnya untuk berkongsi banyak kisah dan pengalaman sesama sendiri termasuk membincangkan corak persembahan yang dicetuskannya.  Usaha ini, saya lihat bagus untuk sejarah, prestij dan landasan kerjaya nyanyian untuk ke peringkat yang lebih baik.  Saya antara peminat yang mengagumi bakat dan suaranya.  Malahan dalam sebuah persembahan saya baru-baru ini, saya ada menyanyikan lagu Tiada Maaf Bagimu dendangannya.  Lagunya saya dengar sejak kecil, lalu tidak ada masalah untuk saya menghafal dan merasainya.  Suaranya harus saya akui tiada pada penyanyi lain kerana sangat lemak merdu," kata Anuar yang turut hadir pada sidang media terbabit.

 INFO MENARIK 

  Siri persembahan Datuk Sharifah Aini dan Adibah akan diadakan pada 4 Disember ini jam 8 malam di Grand Ballroom, Hotel Concorde, Kuala Lumpur. Manakala untuk persembahan Datuk Sharifah Aini dan Anuar Zain pula berlangsung 11 Disember pada masa dan lokasi yang sama. 

  Buat permulaan, separuh keuntungan persembahan pada 4 Disember akan diserap ke Persatuan Kerusi Roda Tenis Malaysia, manakala untuk 11 Disember pula disalurkan ke Madrasah Tahfiz Al-Quran Darul Furqan, Puchong, Selangor.

  Untuk siri persembahan mendatang, ada 15 buah lagi sekolah tahfiz di seluruh Malaysia yang akan dibantu.

  Harga tiket dengan jualan satu meja bersamaan 10 tempat duduk dijual dengan seleksi harga RM6,500,  RM4,500 dan RM2,500.

  Sebarang maklumat lanjut mengenai urusan pembelian meja boleh menghubungi talian, 019-3848054 atau 012-9332373.

  Faks: 03-78051008 atau emel: limeevent@gmail.com

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Sasar RM1 Juta (Berita Minggu: B*Pop 20 Disember 2009)

  Saling Mengagumi (Berita Harian Khamis, 17 Disember 2009)

  Saya Sentiasa Mahu Bekerjasama (Harian Metro Isnin, 14 Disember 2009)

  Demi Anak Tahfiz (Berita Harian Jumaat, 6 November 2009)

  Sharifah Aini Powers On (The New Straits Times Tuesday, 3 November 2009)

  Kak Pah, Anuar Ziarah Bakal Hafiz (Berita Minggu: B*Pop 1 November 2009)

  Tak Serik Kena Kapur (Berita Minggu: B*Pop 18 Oktober 2009)