KAK PAH SASAR RM1JUTA

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (Berita Minggu: Bi-Pop, 20 Disember 2009)

Tebal muka hubungi syarikat korporat jayakan konsert bantu anak yatim, pelajar tahfiz

Beliau memiliki segala-galanya limpahan kemewahan, tinggal dalam mahligai bak istana kayangan dan kerjaya nyanyian yang masih bertahan biarpun sudah lebih 40 tahun berada atas 'singgahsana' populariti.  Kini impian Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini hanyalah satu, iaitu membantu sekolah tahfiz dan anak-anak yatim yang hidup dalam kesempitan.  Tiada lain yang mampu dilakukan, melainkan 'menjual suara' dalam 12 siri persembahan amal yang akan diakhiri dengan sebuah konsert mega pada 2011.  Apa yang diharapkan, kutipan siri persembahan amalnya dapat mengumpul dana berjumlah RM1 juta untuk membantu 15 rumah tahfiz dan anak-anak yatim yang merlukan wang bagi membiayai pelajaran mereka.

Sejak 15 tahun lalu, Kak Pah biasa dengan pelajar tahfiz dan anak-anak yang tidak beribu dan berbapa cuma sebelum ini, penyanyi lagu Bunga Tanjung dan Seri Dewi Malam itu selesa melakukannya secara diam, namun ia masih belum memadai buatnya.  Menerusi Seri Dewi Productions Sdn Bhd dan Lime Events Management, persembahan amal Datuk Sharifah Aini & Friends di Grand Ballroom, Hotel Concorde, Kuala Lumpur membuka tirai.  Bagaimanapun, Kak Pah tidak berseorangan sebaliknya turut mengundang penyanyi terkenal, Anuar Zain dan Adibah Nor berkongsi pentas bersamanya pada malam itu.

Apa yang dapat dikatakan, apabila sebut nama Kak Pah, kelunakan suara tidak pernah pudar di hati peminatnya.  Penyanyi berusia 55 tahun yang masih anggun itu.  Beliau tetap unggul.  Walaupun ramai artis datang dan pergi, Kak Pah masih teguh berdiri.  Tentunya persembahan penyanyi tersohor itu mengimbas kenangan lama.  Penyanyi malar segar ini membawa penonton mengimbau suka duka selama lebih 40 tahun sebagai anak seni.  Kak Pah pandai bermain dengan situasi.  Ada ketikanya beliau membuat peminat ketawa dengan kisah lucu yang mencuit rasa.  Ada ketikanya disulami pula dengan cerita sedihnya dan paling tersentuh apabila mendengar suara lunak merdunya, seolah-olah merintih di dalam hati.  Kak Pah muncul selepas Adibah Nor dan Anuar selesai membuat persembahan.

Beliau menyampaikan lagu Jatuh Cinta, diikuti Inikah Balasannya, Di Malam Persandingan, Bunga Tanjung, Tunggu Sekejap, Sabar Menanti, Five, Kau Pergi Tanpa Pesan, 4 Dara, Jangan Tinggalkan Daku, Ingatan Manis Di Bulan September dan Surat Dari Seberang.  Kak Pah juga berduet dengan Anuar menerusi lagu Keabadian Cinta dan Getaran Jiwa.

Pada malam itu, Adibah membuka tirai persembahan dengan menyampaikan lagu Terlalu Istimewa, Cahaya, Belaian Jiwa. Kenangan Lalu, Rindu Bayangan, Menaruh Harapan, Janji Manismu, Awan Terpilu, Mengapa Perpisahan Yang Dipinta, Layang-Layang Terputus Tali dan Hujan.  Adibah tidak sentiasa berada di atas pentas sebaliknya dia datang meja ke meja untuk menghiburkan peminatnya.  Sambil menyanyi, Adibah dipeluk, dicium, dan tentunya peminat tidak melepaskan peluang bergambar dengannya.

Anuar membuka tirai persembahan dengan lagu popularnya, Ketulusan Hati.  Biarpun berdepan dengan masalah teknikal, Anuar pandai mengaburi mata peminat dengan suaranya yang memukau menerusi lagu Widuri, Mimpi Sedih, Penantian, Fly Me To The Moon, Hati Lebur Jadi Debu dan Lelaki Ini.  Kak Pah, Anuar dan Adibah menutup tirai persembahan dengan menyampaikan lagu Tiada Maaf Bagimu.  Dan ternyata persembahan amal itu membuktikan Kak Pah tidak pernah lokek berkongsi pentas dengan artis lain seperti yang pernah didakwa sebelum ini.  Malah Kak Pah berhasrat bekerjasama dengan penghibur terkenal, Datuk Sheila Majid, Anita Sarawak dan Jamal Abdillah jika diberikan ruang dan masa.

Secara jujur, Kak Pah akui: "Saya akan meneruskan persembahan amal ini dengan bekerjasama dengan Anita Sarawak, tetapi bukan pada masa terdekat ini.  Saya sudah berbincang dengan Anita, cuma masih mencari tarikh dan waktu yang sesuai memandangkan Anita sentiasa sibuk dengan jadual kerja.  Saya juga teringin nak berkongsi pentas dengan Datuk Sheila Majid dan Jamal Abdillah.  Saya berharap akan mendapat sokongan mereka untuk menjayakan siri persembahan amal ini.  Malahan, saya sudah mula memikirkan mengadakan malam nostalgia 60-an dengan mengundang Datuk Ahmad Jais.  Jadi, dakwaan mengatakan saya mementingkan diri dan tidak suka berkongsi pentas dengan penyanyi lain adalah fitnah semata-mata.  Mungkin juga dulu, saya hanya sesekali muncul dalam persembahan, jika menyanyi pun sering sendirian, jadi ada sesetengahnya menganggap saya tidak suka berkongsi pentas dan berpadu suara dengan penyanyi lain."

Kah Pah berkata, bukan mudah buat dirinya melaksanakan projek persembahan amal ini, malah beliau dengan rendah hati sanggup mengeluarkan perbelanjaan terlebih dulu.  "Saya ingin membantu pelajar tahfiz dan anak-anak yatim yang hidup dalam kesempitan dan tidak mampu menyambung pelajaran.  Saya 'tebalkan muka' menghubungi syarikat kroporat dan menghantar surat kepada mereka demi menjayakan persembahan ini.  Dengan kudrat dan populariti yang ada, saya harap ramai insan yang berkemampuan sudi menghulur bantuan meringankan bebanan yang mereka pikul.  Mereka tidak pernah meminta tetapi pada saya, apalah salahnya menyumbang ke jalan kebaikan, ini juga bekalan untuk akhirat," katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Saling Mengagumi (Berita Harian Khamis, 17 Disember 2009)

  Saya Sentiasa Mahu Bekerjasama (Harian Metro Isnin, 14 Disember 2009)

  Demi Anak Tahfiz (Berita Harian Jumaat, 6 November 2009)

  Sharifah Aini Powers On (The New Straits Times Tuesday, 3 November 2009)

  Kak Pah, Anuar Ziarah Bakal Hafiz (Berita Minggu: B*Pop 1 November 2009)

  Dakwah Cara Sharifah Aini (Berita Harian Jumaat, 23 Oktober 2009)

  Tak Serik Kena Kapur (Berita Minggu: B*Pop 18 Oktober 2009)