TIADA KLON

oleh Farihad Shalla Mahmud  (Berita Harian: Selasa, 22 Mei 2007)

Janjinya terhadap penonton untuk memberikan yang terbaik nyata tertunai sudah.  Malah, dari riak wajah mereka yang hadir pada majlis sambutan Hari Ibu yang menampilkan Datuk Sharifah Aini sebagai tarikan utama malam Jumaat lalu sudah cukup membayangkan betapa mereka terhibur dengan persembahan penyanyi ini.  Bagi mereka yang berpeluang menyaksikan persembahan penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu Seri Dewi Malam ini pastinya bersetuju bahawa sehingga kini, taring penyanyi dari selatan tanah air ini masih belum hilang bisanya.

Diakui, biarpun sudah 39 tahun mengabdikan diri sebagai anak seni, karisma Sharifah Aini kala di atas pentas serta vokalnya ketika menyanyi masih belum tergugat biarpun ramai artis baru datang silih berganti.  Malah, boleh dikatakan tidak adil untuk membandingkannya dengan mana-mana penyanyi kerana dia memang sudah berada dalam kelasnya yang tersendiri.  Nyata, hampir empat dekad namanya melata dalam industri muzik tanah air, tidak ada ada penyanyi lain yang boleh meniru atau menjadi klon kepada kehebatan suara Sharifah Aini, berbeza penyanyi lain yang mudah ditiru lenggok dan gaya mereka oleh bakat baru.

Masih terngiang-ngiang di telinga alunan suara lemak merdunya kala mendendangkan irama Kasihnya Ibu.  Gemersik suara ditambah penghayatannya ketika menyebut satu demi satu bait lirik membuatkan seluruh isi Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, terpesona dan asyik menyaksikan persembahannya.  Biarpun kemunculannya hanya ketika jam menunjukkan angka 10 malam, namun itu bukanlah penyebab untuk lebih 700 peminat angkat kaki.  Kerana setia dan minat, mereka sanggup menunggu.

Barangkali perasaan rindu yang meluap-luap untuk menyaksikan biduanita ini beraksi membuatkan mereka terus melekat di kerusi.  Sementara menantikan kemunculan penyanyi malar segar ini, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian serta nyanyian dari penyanyi dan pelakon filem Adik Manja, Dharma Harun Al Rashid.  Sebaik saja pengacara malam itu, Ogy Datuk Ahmad Daud mengumumkan kemunculan Kak Pah, tepukan gemuruh bergema di setiap sudut.  Tampil dengan rekaan Datuk Tom Abang Saufi, Kak Pah kelihatan cukup anggun dan berseri-seri.

Lagu Ibu yang pernah dipopularkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dipilih sebagai lagu pembuka tirai sebelum menghiburkan tetamu dengan lagu berhantunya, Seri Dewi Malam dan Hapuslah Air Matamu.  Barangkali ia juga sebagai hadiah untuk ibunya, Sharifah Noor Syed Ahmad, 72, yang didatangkan khas dari Singapura.  Seperkara mengenai biduanita tersohor ini yang membuatkan peminat menyukainya adalah dia cukup bijak berkomunikasi.  Ada saja cerita lucu yang ingin dikongsi bersama penonton terpacul dari mulutnya.  Malam itu, sempat juga Kak Pah berlawak jenaka dengan penonton mengenai perihal wanita yang semakin meningkat usianya, kisah peminat malah pentas itu juga menjadi tempat untuknya mengimbas nostalgia lalu.

Masih basah dalam ingatan betapa pilunya Kak Pah kala menceritakan kontroversi yang menimpa dirinya dua tahun lalu.  Satu sejarah hitam yang tidak mungkin akan terpadam dari ingatannya.  "Apabila musibah itu berlaku, perkara pertama yang terlintas di ingatan ialah bagaimana penerimaan anak saya, Aliff Omar yang ketika itu sedang belajar di Kota Madinah.  Lalu, saya menghubunginya dan memintanya supaya tidak membuka internet atau mendengar sebarang cerita mengenai saya kerana bimbang perasaannya terguris.  Namun, reaksinya yang redha dan tenang serta kata-kata perangsang yang diberikan kepada saya membuatkan saya bersyukur kerana dikurniakan anak sepertinya.  Paling membuat saya terharu apabila Aliff mengirimkan saya buku yang bertajuk Don't Be Sad.  Dia meminta saya membaca buku itu kerana dia mahu saya tahu bahawa setiap dugaan yang Allah turunkan itu ada rahmat di sebaliknya," katanya dalam nada sebak.

Tidak mahu suasana sedih terus menyelubungi persembahannya itu, Kak Pah meneruskan persembahannya dengan lagu Citaku diikuti dengan sebuah lagu melankolik, Di Mana Kan Ku Cari Ganti.  Lagu lain yang turut dinyanyikannya adalah Kembali Ke Pangkal Jalan, Que Sera Sera, Smile, Mama oh Mama, Wulan, Mawar Putih Untuk Mama, Kau Pergi Tanpa Pesan, Bunga Tanjung dan sebuah lagu saduran, Irama Cintaku yang diiringi petikan keyboard daripada Syed Sobrie.  Antara artis veteran yang turut sama menyaksikan persembahan itu ialah seniwati Datuk Sarimah Ahmad dan Raja Hamidah Raja Saat.  Sambil berhibur, Kak Pah tidak pernah lupa dengan mereka yang kurang bernasib baik apabila majlis makan malam itu bertujuan mengutip derma bagi mengisi tabung Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia.

Bagaimanapun, sistem bunyi yang bermasalah sedikit sebanyak mencacatkan persembahan Kak Pah malam itu.  Ada kalanya nyanyian Kak Pah terganggu dengan bunyi bising gara-gara mikrofon yang gagal berfungsi dengan baik.  Namun, perkara itu dapat diatasi pada pertengahan persembahan.  Apapun yang berlaku, sebagai penyanyi Kak Pah berjaya melunaskan tanggungjawabnya dengan baik dan meninggalkan tetamu malam itu dengan penuh rasa kepuasan serta perasaan rindu yang terubat.

Artikel lain yang berkaitan:

  Mana Mungkin Adanya Pengganti Kak Pah (Berita Minggu: Bi-Pop 27 Mei 2007)

  Luahan Kasih Kak Pah (Harian Metro Isnin, 21 Mei 2007)

  Sharifah Aini Tak Sabar Jumpa Peminat (Berita Harian Khamis, 17 Mei 2007)

  Bukti Kak Pah Kasih Ibu (Harian Metro Khamis, 3 Mei 2007)

  Kak Pah Ubati Rindu Peminat (Berita Harian Sabtu, 21 April 2007)

  Biduanita Negara Jayakan Konsert Eksklusif (Berita Minggu: Bi-Pop 8 April 2007)