LUAHAN KASIH KAK PAH

oleh Ellyna Ali  (Harian Metro: Isnin, 21 Mei 2007)

Apabila menyaksikan persembahan biduanita negara, Datuk Sharifah Aini, anda bukan saja akan dibuai dengan lontaran vokalnya yang mempesonakan tetapi juga dihiburkan bersama pelbagai ceritanya yang mencuit hati serta kisah pengalaman hidupnya yang penuh warna-warni.  Membuktikan dia bukanlah sekadar penyanyi berkaliber tetapi juga pencerita yang baik.  Apabila kedua-dua elemen ini bersatu, lahirlah Sharifah Aini dalam kelasnya yang tersendiri.

Tidak perlu showmanship yang ligat, suara dan vokalnya saja sudah cukup mampan untuk mengisi ruang pentas yang dijayakannya itu.  Sekali-sekala, dia akan bertindak 'nakal' dengan mengeluarkan sedikit kenyataan bersifat agak berani tetapi penuh dengan unsur jenaka.  Namun, Sharifah Aini yang selama ini lebih mesra dengan panggilan Kak Pah juga seorang yang sporting kerana dia sendiri turut tertawa dengan humor yang dicetuskan itu.

Misalnya mengenai tawaran yang dibuatnya terhadap golongan ibu yang lebih berusia daripadanya supaya menjodohkan dirinya dengan anak lelaki mereka yang sudah kematian isteri.  "Saya berjanji saya akan jadi isteri dan menantu yang baik, katanya sambil mengangkat tangan tanda bersumpah," katanya.  Sesiapa saja yang mendengar kenyataan Kak Pah serta melihat gelagat manjanya tetapi penuh bersahaja itu pasti tidak mampu menahan tawa.  Itulah Kak Pah seorang penghibur sejati yang punya cara, stail dan karisma tersendiri.

Maka, kemunculan semula Kak Pah di pentas nyanyian menerusi persembahan amal Hari Ibu yang dianjurkan Mufira Entertainment bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia adalah satu permulaan cukup baik buat anak seni kelahiran Johor ini menyusul dengan konsert yang lebih besar lagi.  Pasti konsert berskala besar ini akan lebih dinanti-nantikan di kalangan peminat Kak Pah khususnya diiringi dengan sejumlah pemuzik orkestra profesional.  Apapun, persembahan amal Hari Ibu Kak Pah yang berlangsung di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada malam Jumaat lalu berlangsung dalam suasana cukup tenang dan harmoni yang turut dihadiri Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail dan isteri.

Bersama busana hitam putih ciptaan Datuk Tom Abang Saufi, Kak Pah memulakan persembahannya dengan lagu Ibu yang dipopularkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.  Ia satu permulaan yang baik untuk Kak Pah 'memanaskan' suaranya.  Terutama dalam situasi dirinya yang kurang sihat akibat demam.  "Ini bukan satu alasan ya.  Tetapi, saya memang tidak sihat beberapa hari ini," katanya sambil memohon maaf.  Namun begitu, Kak Pah masih bersemangat menghiburkan kalangan peminat yang sudah sekian lama merindui suara lunaknya yang masih belum mempunyai klon itu.

Lagu Seri Dewi Malam yang dirakamkan sekitar 1967 dipersembahkan.  Malangnya, sistem bunyi atau barangkali masalah teknikal pada mikrofon sedikit menjejaskan persembahannya menerusi lagu itu.  Bagaimanapun, semua masalah itu berjaya diatasi ketika dia menyanyikan lagu Hapuslah Air Matamu yang dibawakan dalam filem terbitan Deddy M Borhan pada 1976.

Akhirnya bermulalah satu cerita sedih dan menyayat hati yang cuba dikongsi Kak Pah bersama peminatnya.  "Saya juga seperti anda.  Ada masa susah dan senang.  Namun semua itu berlaku kerana Allah sentiasa hendak menduga kita.  Berada dalam industri ini selama 39 tahun bukanlah sesuatu yang mudah.  Apatah lagi bila diuji dengan musibah yang berlaku kira-kira dua tahun lalu.  Namun saya tidak mengeluh.  Bahkan bersyukur dengan apa yang saya lalui itu.  Saya tahu, anda tahu dan anda semua perlu tahu, bila Tuhan menduga, bererti Allah sebenarnya sayangkan kita.  Saya bersyukur dikurniakan anak seperti Aliff.  Waktu ditimpa musibah itu, Aliff menghantar saya 12 buku.  Salah satu buku itu berjudul, Jangan Bersedih.  Saya masih ingat dalam buku yang saya baca itu ada mengatakan, jika Tuhan beri kita musibah bererti Dia lihat kita.  Namun percayalah sebagai ibu, saya tidak tergamak memalukan anak-anak saya dengan perkara seperti itu.  Saya pasti, sebagai ibu anda juga akan merasai hal yang sama," katanya sebak.

Sungguhpun begitu, dengan kesedihan yang berbuku di dada, Kak Pah masih mampu membawakan lagu Kasihnya Ibu dengan begitu baik diikuti dengan Citaku serta Di Mana Kan Ku Cari Ganti.  Kesemua lagu yang dipersembahkan itu berkait rapat dengan golongan ibu yang diraikan pada malam itu termasuklah Kembali Ke Pangkal Jalan, Que Sera Sera dan Smile.  Namun, Kak Pah mula menyuntik keajaiban apabila dia mempersembahkan lagu Mama, Wulan serta Mawar Putih Untuk Mama.  Saat membawakan lagu itu Kak Pah turun mencari bonda tercintanya yang diundang khas dari Singapura, Sharifah Noor Syed Ahmad atau Ummie Noor, 72.  Ramai tidak mahu melepaskan peluang mengabadikan gambar Kak Pah bersama bondanya yang tercinta.  Apa lagi apabila Kak Pah memeluk erat serta mencium bondanya dengan tulus.  Turut berada di meja itu saudara-mara kak Pah serta seniwati Raja Hamidah Raja Saat, 75, iaitu ibu kepada Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh yang juga rakan baik kepada ibu Kak Pah.

Keajaiban yang diperoleh Kak Pah secara tiba-tiba itu diteruskan dengan cemerlang menerusi beberapa lagu hitsnya, Kau Pergi Tanpa Pesan, Bunga Tanjung dan Irama Cintaku.  Lagu Mengapa Tiada Maaf pula menjadi lagu encore pada persembahan ini.  Malah, apa yang menarik, aktres Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy turut menjadi penyanyi latar dalam lagu ini.  "Ogy, tolong buat persembahan dengan Kak Pah.  Macam yang pernah kita buat dulu," kata Kak Pah.

Apapun Ogy menyatakan rasa bertuahnya apabila Kak Pah memberikan penghormatan kepadanya untuk mengendalikan majlis itu sebagai pengacara.  "Tiada penghibur sehebat Datuk Sharifah Aini pada masa sekarang.  Saya masih ingat waktu jadi penari dalam kumpulan penari ibu saya, Saadiah Dancers, saya berpeluang mengiringi persembahan beliau.  Ia ibarat mimpi jadi nyata kerana waktu itu saya mahu jadi sehebat Sharifah Aini," katanya.

Manakala, aktor Dharma Harun Al Rashid yang menjadi penyanyi undangan pula membawakan tiga lagu termasuklah Setulus Cintamu yang pernah dipopularkan Broery Marantika serta lagu hitsnya Cinta Pertama.

Artikel lain yang berkaitan:

  Mana Mungkin Adanya Pengganti Kak Pah (Berita Minggu: Bi-Pop 27 Mei 2007)

  Tiada Klon (Berita Harian Selasa, 22 Mei 2007)

  Sharifah Aini Tak Sabar Jumpa Peminat (Berita Harian Khamis, 17 Mei 2007)

  Bukti Kak Pah Kasih Ibu (Harian Metro Khamis, 3 Mei 2007)

  Kak Pah Ubati Rindu Peminat (Berita Harian Sabtu, 21 April 2007)

  Biduanita Negara Jayakan Konsert Eksklusif (Berita Minggu: Bi-Pop 8 April 2007)