KAK PAH UBATI RINDU PEMINAT

oleh Serimah Mohd Sallehuddin  (Berita Harian: Sabtu, 21 April 2007)

Suara merdu Datuk Sharifah Aini pastinya dirindui peminat setia.  Maklum saja, sejak episod duka melanda dirinya, biduanita negara itu lebih senang menyepikan diri daripada arena seni suara.  Bukan merajuk, jauh sekali untuk berdendam dengan sesiapa kerana sesungguhnya jika tiada apa-apa yang mahu dihebahkan kepada peminat, beliau lebih senang berdiam diri.  Tatkala laporan ini ditulis pun, diva evergreen itu sibuk mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah sambil mengambil kesempatan itu untuk bertemu anaknya, Aliff Omar yang sedang belajar di Madinah.

Bagaimanapun, berita baik untuk peminatnya adalah penyanyi bersuara lunak yang baru saja menerima Anugerah Tertinggi Biduanita Negara daripada Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita) pada majlis Anugerah Kecapi 2006 baru-baru ini, akan muncul membuat persembahan pada 18 Mei ini.  Sharifah Aini yang lebih mesra dengan panggilan Kak Pah akan meraikan Hari Ibu yang bakal berlangsung di Dewan Perdana Felda anjuran bersama Mufira Entertainment (M) Sdn Bhd dan Persatuan Kanser Malaysia.

Pengarah Urusan Mufira, Mokhzan Ali berkata, Sharifah Aini akan menghiburkan penonton selama satu jam pada majlis makan malam berkenaan yang akan memuatkan dua segmen.  Segmen pertama selama setengah jam bakal diserikan dengan persembahan daripada dua penyanyi lama Uji Rashid dan Dharma Harun.  Pentas seterusnya akan diambil alih oleh Kak Pah, manakala Ogy Ahmad Daud pula bertindak sebagai hos pada malam itu.

"Mufira Entertainment memilih Datuk Sharifah Aini kerana sifat keibuan yang dimilikinya.  Selain itu, setiap tahun dia diundang menjayakan hari ibu oleh Mahir Entertainment.  Ini adalah persembahan pertama Datuk Sharifah sejak 2006 dan 2007 setelah dilanda kontroversi.  Beliau juga gembira apabila diundang untuk menjayakan majlis makan malam bagi meraikan ibu.  Kebetulan Kak Pah juga bakal melahirkan album baru sekitar Julai nanti.  Mungkin ini masa yang terbaik untuk memberitahu bahawa Kak Pah sudah kembali," katanya ketika dihubungi Hip.

Dalam persembahan selama satu jam itu, Kak Pah dijangka mendendangkan antara 10 hingga 12 lagu yang pastinya membuatkan hati ibu yang menonton tersentuh dan meruntun saat mendengar kelunakan alunan suaranya.  Tiket menyaksikan persembahan Hari Ibu bersama Datuk Sharifah Aini akan dijual bermula minggu depan.  Menurut Mokhzan, beberapa peratus daripada kutipan berkenaan akan disumbangkan kepada Persatuan Kanser Malaysia.

"Fokus malam itu lebih kepada untuk kebajikan.  Persatuan Kanser Malaysia melakukan aktiviti ini dengan tujuan untuk mengisi tabung persatuan itu," kata Mokhzan lagi.  Bagi mereka yang ingin menempah tiket menyaksikan persembahan istimewa itu boleh menghubungi Mufira Entertainment di talian 03-40225500 Iza/Ikmal.

  INFO 

  Tiket dijual pada harga RM10,000; RM6,000 dan RM5,000 untuk meja VIP.

  Meja Platinum pula bernilai RM3,500; Gold bernilai RM3,000 sementara Silver pula bernilai RM2,000.

Artikel lain yang berkaitan:

  Mana Mungkin Adanya Pengganti Kak Pah (Berita Minggu: Bi-Pop 27 Mei 2007)

  Tiada Klon (Berita Harian Selasa, 22 Mei 2007)

  Luahan Kasih Kak Pah (Harian Metro Isnin, 21 Mei 2007)

  Sharifah Aini Tak Sabar Jumpa Peminat (Berita Harian Khamis, 17 Mei 2007)

  Bukti Kak Pah Kasih Ibu (Harian Metro Khamis, 3 Mei 2007)

  Biduanita Negara Jayakan Konsert Eksklusif (Berita Minggu: Bi-Pop 8 April 2007)