SHARIFAH AINI TAK SABAR JUMPA PEMINAT

oleh Zul Husni Abdul Hamid  (Berita Harian: Khamis, 17 Mei 2007)

Tiada yang lebih membanggakan Mufira Entertainment (M) Sdn Bhd selain persembahan amal sempena sambutan Hari Ibu Bersama Datuk Sharifah Aini mencapai matlamatnya.  Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mokhzan Ali berkata, biarpun terpaksa bersaing dengan beberapa persembahan lain, pihaknya berpuas hati dengan sokongan yang diberikan.  Katanya, sokongan terutama daripada sektor korporat apabila dimaklumkan mengenai persembahan amal itu cukup menggalakkan dan pihaknya yakin jumlah itu akan bertambah menjelang tarikh persembahan esok.

"Kami berpuas hati dengan jumlah tempahan yang diterima.  Menjelang tarikh persembahan, kami percaya persembahan ini akan mencapai sasaran yang diharapkan.  Tempahan yang diterima sejak akhir-akhir ini cukup menggalakkan.  Dengan sokongan pihak media serta siri promosi di stesen radio, persembahan ini berjaya mendapat perhatian," katanya.  Perancangan yang disusun sejak lebih tiga bulan lalu itu memberi lebih makna apabila sebahagian daripada kutipan akan disalurkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia.

"Bekerjasama dengan Sharifah Aini juga memberikan pengalaman yang cukup menyeronokkan buat kami.  Dia memberikan komitmen yang cukup baik dan kami percaya persembahan itu akan meninggalkan kenangan manis kepada tetamu yang datang nanti," katanya.  Selain kemunculan penyanyi yang masyhur dengan lagu Bunga Tanjung itu, persembahan yang akan berlangsung di Perdana Grand Ballroom, Dewan Perdana Felda itu turut diserikan dengan kehadiran pengacara popular, Fauziah Datuk Ahmad Daud serta penyanyi dan pelakon, Dharma Harun Al-Rashid.

Kemunculan semula Sharifah Aini juga pastinya mengubat kerinduan peminat yang sekian lama tidak menonton penyanyi bersuara lunak itu dalam persembahan eksklusif.  Bakal menyanyikan sekitar 15 lagu dalam persembahan hampir sejam itu, Sharifah Aini akan membawa peminatnya mengimbau kenangan suka dan duka seorang insan bergelar ibu.  "Saya bagaikan tidak sabar untuk bertemu dengan peminat.  Saya tidak berani menjanjikan sesuatu yang istimewa namun apa yang pasti semua yang datang akan terhibur dengan rangkaian lagu terbaik yang dipilih khusus untuk persembahan ini," katanya.

Sharifah Aini yang bakal menggayakan rekaan Datuk Tom Abang Saufi akan mengalunkan lagu popular seperti Kasihnya Ibu, Ayah Dan Ibu, Mawar Putih Untuk Mama dan Ibu.  "Pilihan lagu seperti ini bukan untuk membuat tetamu menangis, sebaliknya saya mahu menyuntik kesedaran supaya kita semua menghargai pengorbanan dan jasa ibu ketika hayat mereka masih ada," katanya.  Bagi Sharifah Aini, dengan bayaran lumayan yang dikeluarkan oleh tetamu dia berharap dapat memberikan persembahan yang meninggalkan kesan serta membuat peminat tersenyum apabila pulang.

Artikel lain yang berkaitan:

  Mana Mungkin Adanya Pengganti Kak Pah (Berita Minggu: Bi-Pop 27 Mei 2007)

  Tiada Klon (Berita Harian   Selasa, 22 Mei 2007)

  Luahan Kasih Kak Pah (Harian Metro   Isnin, 21 Mei 2007)

  Bukti Kak Pah Kasih Ibu (Harian Metro   Khamis, 3 Mei 2007)

  Kak Pah Ubati Rindu Peminat (Berita Harian   Sabtu, 21 April 2007)

  Biduanita Negara Jayakan Konsert Eksklusif (Berita Minggu: Bi-Pop   8 April 2007)