BUKTI KAK PAH KASIH IBU

oleh Ellyna Ali  (Harian Metro: Khamis, 3 Mei 2007)

Bagi seseorang yang memiliki naluri keibuan yang cukup tebal dan mendalam sebagaimana penghibur sepanjang zaman, Datuk Sharifah Aini, Hari Ibu yang bakal disambut pada 18 Mei ini sememangnya memberi makna cukup mendalam buat dirinya.  "Tiada apa yang berharga dan bernilai di dalam diri seseorang itu melainkan doa dan kasih sayang daripada ibunya," kata Sharifah Aini yang pernah mengungkapkan kata-kata ini satu ketika dulu.

Justeru, tidak hairanlah mengapa saban tahun Sharifah Aini atau Kak Pah sanggup memenuhi undangan menjayakan persembahan sempena Hari Ibu khususnya yang diadakan di Dewan Felda, Jalan Semarak.  Tahun ini, Kak Pah sekali lagi akan menjayakan persembahan Hari Ibu di dewan berprestij itu, namun bersama penganjur yang berbeza iaitu Mufira Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia.

Berlangsung pada Hari Ibu 18 Mei, persembahan Kak Pah akan diserikan dengan kehadiran aktor kacak, Dharma Harun Al-Rashid sebagai penyanyi undangan bersama pengacara sensasi, Fauziah @ Ogy Datuk Ahmad Daud.  Ketika ditemui, Kak Pah yang kelihatan anggun berbaju kurung tradisional Johor mengakui cukup rindu untuk beraksi di hadapan peminatnya pada hari begitu istimewa di kalangan mereka yang bergelar ibu.

"Sudah lama saya tidak menyanyi di hadapan peminat.  Peluang ini sememangnya cukup dinanti-nantikan.  Saya tidak berani mengatakan persembahan ini menjadi sesuatu yang hebat dan memberikan kelainan.  Namun, yang pastinya, saya akan cuba menghiburkan mereka dengan rangkaian lagu yang mampu menghiburkan serta menyentuh nurani mereka.  Misalnya lagu Ibu yang pernah dipopularkan Datin Rafeah Buang, Mawar Putih Untuk Mama, Kasihnya Ibu termasuklah Mama yang pernah dirakamkan di dalam album Bunga Tanjung.  Malah, saya juga akan membawakan lagu Ayah Dan Ibu yang pernah dinyanyikan Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan dibawakan Aznil Nawawi di dalam program Akademi Fantasia musim kelima baru-baru ini.

Bukan sengaja mahu membuat mereka (peminat) menangis, tetapi sekadar untuk memberi kesedaran kepada mereka betapa pentingnya kasih seorang ibu itu.  Saya harap ramai membawa ibu mereka di dalam persembahan saya itu nanti.  Malah, saya sendiri akan membawa ibu saya pada hari itu nanti," katanya.  Selain itu, Kak Pah berkata, dia juga akan membawakan beberapa lagu seleksi hitsnya seperti Bunga Tanjung.

Lagu itu satu kemestian dan menjadi lagu wajib yang perlu saya bawakan di dalam mana-mana persembahan.  Beberapa lagu Inggeris juga akan saya bawakan seperti Que Sera Sera.  Mudah kata, persembahan itu akan berlangsung selama satu jam dan dalam tempoh itu, saya akan bawakan lebih kurang 13 lagu.  Namun, saya mungkin menambah dua atau tiga lagu di dalam persembahan itu nanti," katanya yang akan diiringi pemuzik, Syed Sobrie.

Mengenai pemilihan Dharma dan Ogy dalam persembahannya, Kak Pah berkata, dia memilih Ogy kerana berasa ada keserasian di antara mereka.  "Seperkara lagi saya suka cara Ogy mengendalikan sesuatu majlis persembahan.  Dia selamba tetapi mencuit hati.  Dharma pula, sebagaimana yang kita ketahui seorang aktor terkenal yang akan muncul dengan album solonya.  Saya juga tidak mengetahui sebelum ini isterinya meninggal dunia kerana menghidap penyakit kanser.  Namun, berdasarkan pengalamannya Dharma mungkin mampu menceritakan kepada semua mengenai apa yang pernah dialami isterinya," katanya.

Dalam pada itu, Kak Pah juga memberitahu, dia kini dalam perancangan mengeluarkan album studio baru berjudul Warisan & Irama Terindah Malaysia yang memuatkan 40 lagu menerusi cakera padat berganda.  "Di dalam album ini ia akan memuatkan semua jenis lagu.  Daripada asli, deli, zapin, ghazal, Melayu klasik, Timur Tengah hinggalah balada, semuanya akan dihimpunkan di dalam album ini.  Itulah repertoire muzik yang saya bawakan selama berpuluh tahun di dalam industri muzik.  Walaupun hampir semuanya lagu yang pernah saya bawakan sebelum ini kecuali Aku Masih Di Sini ciptaan Yasin, namun dari segi produksinya ia menjadi suatu projek besar serta menelan belanja bukan sedikit.

"Bayangkanlah, hampir 110 pemuzik orkestra akan digunakan di dalam album ini.  Malahan, 20 daripadanya adalah pemuzik string yang digunakan daripada Amerika Syarikat.  Bukan itu saja, proses 'mixing' serta masteringnya juga dilakukan di negara itu.  Sebab itulah saya gunakan khidmat Ramli MS sebagai penerbit dan penyusun muzik di dalam album ini.  Pemilihannya sangat tepat kerana dia tahu dan faham apa yang saya inginkan.  Malah, dia juga cukup teruja untuk melaksanakan projek album ini.

"Apa yang boleh saya katakan, dengan terhasilnya album yang bercita rasa serta berkualiti tinggi ini nanti, ia akan menjadi album Melayu yang harus ada di setiap rumah rakyat Malaysia.  Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, album ini akan berada di pasaran selewat-lewatnya Julai atau Ogos ini.  Yang penting, kita tidak mahu projek album ini dibuat secara terburu-buru.  Biar lambat asalkan kualiti yang terhasil nanti memuaskan," katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Mana Mungkin Adanya Pengganti Kak Pah (Berita Minggu: Bi-Pop 27 Mei 2007)

  Tiada Klon (Berita Harian Selasa, 22 Mei 2007)

  Luahan Kasih Kak Pah (Harian Metro Isnin, 21 Mei 2007)

  Sharifah Aini Tak Sabar Jumpa Peminat (Berita Harian Khamis, 17 Mei 2007)

  Kak Pah Ubati Rindu Peminat (Berita Harian Sabtu, 21 April 2007)

  Biduanita Negara Jayakan Konsert Eksklusif (Berita Minggu: Bi-Pop 8 April 2007)