BIDUANITA NEGARA JAYAKAN KONSERT EKSKLUSIF

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (Berita Minggu: Bi Pop Khamis, 8 April 2007)

Kasih ibu membawa ke syurga.  Begitulah yang selalu dipesan kepada mereka yang bergelar anak.  Khas bagi meraikan Hari Ibu yang disambut dalam bulan ini, Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini akan tampil menghadiahkan sebuah persembahan yang cukup istimewa buat peminatnya di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, pada 18 Mei ini.  Penghibur handalan yang begitu dirindui suaranya itu akan beraksi semula selepas dua tahun tidak menjayakan persembahan seumpamanya dan kali ini beliau akan ditemani dua artis terkenal, Fauziah Datuk Ahmad Daud sebagai hos serta pelakon Dharma Harun Al-Rashid yang akan turut kembali ke gelanggang nyanyian.

Apa yang membanggakan, selain meraikan Hari Ibu, persembahan makan malam yang dijayakan Sharifah atau kak Pah itu bertujuan mengutip derma bagi mengisi tabung Persatuan Kanser Malaysia.  Sudah semestinya persembahan itu membuka peluang kepada banyak syarikat korporat mahupun individu di luar sana untuk tampil menghulurkan bantuan membantu penghidap kanser yang semakin meningkat jumlahnya di negara ini.  Ketika ditemui dalam sidang media di dewan berkenaan, Kak Pah yang baru kembali daripada mengerjakan umrah di Tanah Suci berkata dia terpanggil untuk membuat persembahan itu kerana Hari Ibu membawa pengertian yang sangat besar selain ingin membantu pesakit barah.

"Hari Ibu membawa makna yang mendalam kepada kita semua.  Bagi saya inilah masa yang terbaik untuk saya menghiburkan peminat sambil membantu mencari dana untuk mengisi tabung kebajikan.  Saya harap kemunculan saya kelak akan dapat melepaskan rindu kepada peminat dan begitulah sebaliknya.  Sejak akhir-akhir ini saya memang menerima banyak tawaran untuk membuat persembahan tetapi saya terpaksa memilih yang bersesuaian saja kerana sibuk menguruskan keluarga selain pembikinan album solo terbaru.  Jadi pada malam itu nanti, saya akan hiburkan tetamu dengan lagu yang bertemakan kasih sayang anak-anak terhadap ibu seperti Mawar Putih Untuk Mama, Kasihnya Ibu, Ayah Dan Ibu, Mama, Que Sera Sera serta Ibu (lagu Tan Sri P Ramlee).  Di samping itu saya juga akan menyanyikan lagu hit seperti Bunga Tanjung, Seroja dan Disebut Jangan Dikenang Jangan (lagu popular Allahyarham Datin Rafeah Buang)," kata Kak Pah yang akan turut mengundang ibu kandungnya, Ummi, untuk datang berhibur.

"Saya bersyukur dan bernasib baik kerana masih memiliki seorang ibu.  Walaupun saya dibesarkan oleh arwah datuk dan nenek saya sejak kecil, ibu kandung saya tetap saya sayangi.  Saya juga gembira kerana anak-anak saya seperti Nina dan Siti selalu ada bersama saya," kata Kak Pah yang sempat meluangkan masa dengan anak sulungnya, Aliff Omar, sewaktu berada di Tanah Suci, dua minggu lalu.  Aliff ketika ini masih lagi meneruskan pengajian di Universiti Al-Madina.

Menerusi konsert amal anjuran Mufira Entertainment Sdn Bhd itu, Kak Pah mengharapkan kemunculan Ogy dan Dharma akan dapat menceriakan lagi suasana dengan celoteh serta persembahan mereka.  "Memang saya sendiri yang mahukan Ogy menghoskan persembahan pada malam itu kerana dia memang bersahaja dan bagus.  Saya juga terharu kerana Dharma pun sudi terbabit sama kerana dia pernah kehilangan isteri yang meninggal dunia akibat penyakit kanser.  Jadi kami bertiga akan bergabung dan menghadiahkan sebuah persembahan yang bermakna kepada semua tetamu," kata Kak Pah yang menggunakan khidmat Syed Sobrie sebagai pemuzik iringan. 

Sementara itu, dengan raut wajahnya yang tenang dan anggun, Kak Pah sempat bercerita mengenai perkembangan album meganya yang akan diterbitkan dua penggubah handalan, Ramli MS dan Pak Ngah.  "Album berkonsep pop Melayu dan tradisi itu akan memuatkan 40 lagu popular yang saya rakamkan semula dengan sebuah orkestra yang dianggotai sekurang-kurangnya 110 pemuzik.  Sebuah lagu baru, Aku Masih Di Sini ciptaan Yassin akan diselitkan.  Selain merakamkan semula lagu evergreen saya sendiri, saya juga memilih lagu popular dendangan M Nasir, Noraniza Idris, Ella dan Datin Rafeah Buang.  Saya harap album itu akan mampu menjulang martabat muzik Melayu ke satu tahap tertinggi," katanya.  Kak Pah berkata, album terbabit akan menjalani proses adunan serta mastering di Los Angeles, selama dua minggu selepas segala rakaman selesai di Kuala Lumpur sekitar Julai ini.

Berbalik kepada persembahan istimewa pada 18 Mei ini, tiket bagi menyaksikan acara amal itu sudah mula dijual.  Harga semeja adalah RM10,000, RM6,000 dan RM5,000 sementara pakej platinum, emas dan perak masing-masing mengenakan caj RM3,500, RM3,000 dan RM2,000 semeja.  Bagi peminat yang ingin membuat tempahan, mereka bolehlah menghubungi pihak penganjur di talian 03-2698 7300, 03-4022 5500 atau 03-2698 8302.

Artikel lain yang berkaitan:

  Mana Mungkin Adanya Pengganti Kak Pah (Berita Minggu: Bi-Pop 27 Mei 2007)

  Tiada Klon (Berita Harian Selasa, 22 Mei 2007)

  Luahan Kasih Kak Pah (Harian Metro Isnin, 21 Mei 2007)

  Sharifah Aini Tak Sabar Jumpa Peminat (Berita Harian Khamis, 17 Mei 2007)

  Bukti Kak Pah Kasih Ibu (Harian Metro Khamis, 3 Mei 2007)

  Kak Pah Ubati Rindu Peminat (Berita Harian Sabtu, 21 April 2007)