DATUK SHARIFAH AINI LEGA

Sejenak Bersama Huzz  (URTV, 1 Jun 2010)

LEGA ... tidur pun lena.  Bukan sahaja kerana majlis makan malam Up Close & Personal With Datuk Sharifah Aini yang dijayakannya pertengahan April lalu, di Hotel Concord, Kuala Lumpur mendapat sambutan baik dan pujian ramai wartawan di dada akhbar, tetapi permata seni negara ini, terharu hajat nak menyalurkan bantuan kepada rumah anak-anak tahfiz dan yatim melalui show terlaksana.

Baru-baru ini semasa bertandang ke rumahnya di Petaling Jaya, Selangor, Kak Pah memberitahu Huzz, dia lega dan gembira dapat memberikan wang sebanyak RM25 ribu kepada Rumah Tahfiz dan Anak Yatim Al Ijabah, Subang.

"Kak Aini terharu sebab Allah sampaikan niat dan hajat Kak Aini nak membantu anak-anak tahfiz dan yatim melalui show-show amal.  Sejak dulu, Kak Aini suka buat sumbangan, tapi senyap aje.  Sekarang bukan nak menghebohkan tetapi nak mengajak peminat-peminat bersama-sama menyumbang derma.  Terima kasih kepada semua peminat-peminat Kak Aini kerana mereka membeli meja, datang menyokong menonton show Kak Aini, tanpa rasa jemu.  Sebahagian duti show, telah disedekahkan.  Semoga Allah merahmati usaha membantu mereka yang memerlukan.  Ingatlah janji Allah, Dia tak akan memiskinkan, orang yang selalu menderma".

Sebelum ini, setahu Huzz, Kak Aini juga ada menyumbang RM15 ribu kepada sebuah Rumah Tahfiz Al Quran di Puchong.  Masa tu, Kak Aini buat satu show amal dengan mengajak Adibah Noor dan Anuar Zain menjayakannya.  Bahkan sebelum ini, sejak dulu, beliau yang Huzz kenali suka bersedekah, terutama kepada orang susah.  "Entahlah, akhir-akhir ini jadi seronok nak terus buat show amal tolong anak-anak yatim dan tahfiz.  Selepas ini, Kak Aini nak buat satu lagi show untuk membantu rumah tahfiz dan anak yatim yang lain pula.  InsyaAllah pada Oktober tahun ini, Kak Aini nak buat show berduet dengan Datuk Ahmad Jais.  Kita buat dinner show juga," katanya.

Sementara itu, baru-baru ini 28 Mei, bertempat di Hotel Palace Of the Golden Horses, beliau bersama penyanyi undangannya, Mawi menjayakan Hari Ibu.  Ramai juga peminat bertanya, apa rahsia Kak Aini?  Suaranya bertahan sedap.  Dia mampu menyanyi bukan 10 atau 15 lagu, tapi sampai 36 buah lagu di pertunjukannya!  Kata Kak Aini, dia mengamalkan pemakanan yang sihat dan rajin bersenam di kawasan rumah.  Selain itu dia bersyukur, kerana Allah berikan dirinya kesihatan yang baik.

DOA SHARIFAH AINI UNTUK SITI NURHALIZA

Dalam pada itu, Datuk Sharifah Aini memberitahu dia suka mengikuti perkembangan ramai artis-artis yang sentiasa memajukan diri untuk terus bertapak dalam dunia hiburan.  Penyanyi yang sudah 43 tahun dalam dunia seni ini berbangga kita punyai ramai artis berbakat.

"Malah, artis sekarang bertuah.  Ya, mereka berada pada zaman serba mewah, show banyak sana sini di mana bayaran untuk menyanyi pun, Alhamdulillah, meriah berbanding zaman Kak Aini muda-muda dulu.  Kalau zaman dulu, tu, ada saja kes duit show tak dibayar betul.  Tapi kerana sudah suka menyanyi, kita tak kisahlah.  Namun syukurlah, Kak Aini dapat berada pada zaman dulu dan sekarang.  Bagusnya juga, sekarang ini, banyak anugerah diadakan untuk menghargai insan seni.  Kak Aini tumpang gembira melihat perkembangan baik ini apatah lagi kalau ia turut mengangkat artis-artis yang layak," katanya.

Datuk Sharifah Aini kagum dengan kejayaan artis-artis muda seperti Datuk Siti Nurhaliza yang sudah masuk 15 tahun di dunia hiburan.  Bila bercerita tentang kejayaan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, katanya dia mendoakan agar Siti terus cemerlang.  "Kak Aini mendaakan Siti sentiasa dalam kesihatan baik dan akan mendapat anak dalam masa terdekat, InsyaAllah," ujarnya.

Semasa melancarkan produk SimplySiti, Siti berkata, ramai nak tahu rezeki tentang anak.  Sampaikan bila Siti jumpa doktor, pun orang ingat fasal dah mengandung.  Kata Siti, kalau ada rezeki anak, dia tak lokek berkongsi cerita.  Kepada semua, bersama-sama kita doakan, Siti akan mendapat cahayamata comel, sihat dan cun macam wajah Siti dan suaminya, Datuk K yang kacak itu.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Beramal (Harian Metro Sabtu, 8 Mei 2010)

  Resah Yang Terlerai (Berita Minggu 25 April 2010)

  Lembaran Rahsia Sharifah Aini (Utusan Malaysia Khamis, 22 April 2010)

  Kekuatan Vokal Tiada Tandingan (Harian Metro Rabu, 21 April 2010)

  Kak Pah Cari Bekal Akhirat (Harian Metro Rabu, 14 April 2010)

  With Love From Sharifah Aini (New Straits Times Monday, 8 February 2010)

  Konsert Amal Kak Pah (Utusan Malaysia Selasa, 2 Februari 2010)

  Serlah Sisi Romantis (Berita Harian Jumaat, 29 Januari 2010)

  Kak Pah Terus Beramal (Harian Metro Rabu, 27 Januari 2010)
  Tidak Betah Duduk Diam (Berita Harian Jumaat, 15 Januari 2010)