KEKUATAN VOKAL TIADA TANDINGAN oleh Elrafaei Sapi (Harian Metro: Rabu, 21 April 2010) |
KAK PAH KONGSI PENGALAMAN SEBAGAI PENGHIBUR SELAMA 43 TAHUN BERSAMA PEMINAT Sesiapa saja boleh muncul sebagai penyanyi ketika ini tetapi bukan semua mampu jadi penghibur yang mempunyai ramai peminat. Begitulah pengalaman yang dilalui Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau mesra dengan gelaran Kak Pah yang masih terus menyanyi dan meraih permintaan mengadakan persembahan pentas. Malah, apa yang mencatat pencapaian peribadi buatnya beliau masih berjuang dalam bidang nyanyian sejak 43 tahun lalu. Tempoh itu bukan suatu yang mudah untuk dicapai apatah lagi penyanyi baru dan lama bersilih ganti. Bagi Kak Pah, cinta pada nyanyian masih utuh dan selagi dikurniakan kesihatan yang baik, beliau masih bersemangat menghiburkan peminatnya. Merakam kenangan terindah Kak Pah sepanjang berada dalam bidang seni suara, beliau berkesempatan mengadakan persembahan Up, Close & Personal With Sharifah Aini di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu. Merujuk pada judul persembahan kali ini, Kak Pah tidak hanya menyanyi sebaliknya berkongsi pengalaman hidup yang pernah dilalui sebelum ini. Mungkin Kak Pah pernah bercerita serba sedikit pengalaman di awal pembabitan sebagai penyanyi dalam acara lain sebelum ini tetapi kali ini, apa yang ingin disampaikan lebih bersifat peribadi. Kak Pah, 56, berkata, setiap lagu mempunyai kenangan dalam hidupnya termasuk mencipta lirik lagunya sendiri. Mengimbau kembali kenangan lalu, beliau mula menyanyi pada usia lapan tahun dan tampil membuat persembahan pembukaan untuk Datuk Jeffrydin, Datuk Ahmad Jais dan Allahyarham Toh Puan Rafeah Buang. "Pengalaman itu membuatkan saya ke sini hingga menjangkau 43 tahun. Jutaan terima kasih pada anda semua kerana hadir pada acara ini. Saya berharap anda semua dapat terima saya seadanya. Malam ini, saya akan bawakan anda kembali ke zaman 70-an," katanya ketika membuka persembahan. Memulakan lagu popularnya seperti Ingatan Manis Di Bulan September, Tiada Maaf Bagimu dan Sabar Menanti, Kak Pah membuktikan kekuatan vokalnya masih tiada tandingan. Menerusi lagu Kau Tinggi Di Awan Biru, Kak Pah berkongsi kisah cinta silamnya bersama seorang juruterbang iaitu Ali yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Bercerita pengalaman ketika menyanyi bersama Rafeah, Kak Pah menyatakan penyanyi itu mempunyai suara merdu. Baginya, walaupun ramai penyanyi bagus muncul tetapi sukar menemui vokal yang merdu. Begitu juga, Kak Pah sering menyanyikan lagu yang banyak berlaku dalam hidupnya. Sebelum menyampaikan lagu Inikah Balasannya, Kak Pah merendah diri menyatakan dia tidak sepopular penyanyi masa kini tetapi tidak berasa kecil hati. Baginya, pengalaman yang dilalui sepanjang 43 tahun tidak dapat dibeli dengan wang. Atas pengalaman itu juga, Kak Pah merasakan dia adalah insan bertuah. Lebih bermakna, pada persembahan kali ini Kak Pah terbuka hati untuk membantu menghulurkan sumbangan pada Sekolah Ijabah, Subang Jaya Selangor, yang menempatkan anak yatim dan pelajar tahfiz. "Kanak-kanak adalah masa depan kita semua. Oleh itu, saya berasa terpanggil untuk membantu mereka. Ini adalah tanggungjawab sosial saya dan berharap lebih banyak persembahan amal seperti ini diadakan. "Pada zaman 70-an, saya sering menyanyi di funfair. Ketika itu saya bersama Allahyarham Sudirman Hj Arshad berebut kumpul duit dan hingga kini, saya tidak menyangka dapat terus menyanyi. Tidak dinafikan saya banyak menyanyikan lagu saduran seperti Dekatlah Padaku yang diambil dari lagu Jepun dan Ingatlah Sayang dan Kerana Cinta. Jika tidak silap, saya sudah hasilkan lebih 300 lagu yang saya tulis dan tema lagu ini berkait rapat dengan kasih sayang antara lelaki dengan wanita serta ibu dengan anak," katanya. Persembahan secara santai itu turut menyaksikan Kak Pah menyampaikan lagu Kenangan Indah (Yang Menyayat), Di Malam Persandingan, Dekatlah Padaku sebelum mengajak dua wartawan hiburan, Huzz bersama Syed Wafa naik ke pentas menyanyikan lagu Seiring Sejalan. Tidak menghampakan peminat yang hadir, Kak Pah turut menyanyikan lagu popular lain seperti Seri Dewi Malam, Bunga Tanjung, Jatuh Cinta, Hey (pernah dipopularkan Julio Iglesias), Yang Sangat Ku Sayang dan kemudian mengajak peminat menari menerusi lagu Let's Twist Again (dipopularkan kumpulan The Beatles). Ketika diminta peminat menyampaikan lagu Burung Punggok, Kak Pah menyatakan lagu itu memerlukan kekuatan muzik orkestra tetapi beliau tetap sudi menyanyi beberapa bait. Pada sidang media selepas persembahan selama tiga jam, Kak Pah menyatakan dia bersemangat menyanyi tanpa rasa penat kerana sokongan peminat yang hadir pada malam itu. Buktinya, dia berjaya menyampaikan 36 lagu termasuk medley.
"Persembahan kali ini
dianggap personal kerana setiap lagu mempunyai ceritanya tersendiri.
Saya percaya peminat yang hadir kali ini adalah mereka yang pernah
membesar dengan lagu saya termasuk peminat baru. Biarpun saya
membelanjakan lebih RM100,000 untuk persembahan sebegini, saya berhasrat
menyumbang antara 30 hingga 40 peratus
dari kutipan malam ini. Sumbangan seperti ini penting untuk
membantu mereka. Sebenarnya, saya sudah kenal pasti 15 sekolah di
Lembah Klang untuk menghulurkan sumbangan. Sebolehnya, saya mahu
mencari penaja agar dapat memberikan lebih banyak sumbangan selepas ini.
Pada 28 Mei nanti, saya akan menjayakan persembahan sempena Hari Ibu
manakala selepas Aidilfitri pula, saya mengadakan rumah terbuka bersama
Ahmad Jais yang diberi nama, Nostalgia 60-an. Soal cinta, jika ada
atau tidak, alhamdulillah. Saya tetap gembira kerana mempunyai
kebebasan dan ramai yang sayangkan saya. Selepas berpisah selama
14 tahun, saya tidak pernah keluar dengan sesiapa. Saya reda
dengan keadaan itu dan bohong jika saya tidak akui perasaan itu datang
bila bersendirian. Apapun, ibu saya tetap hadir menyaksikan
persembahan kali ini dan hakikatnya, saya tidak akan kecapi hidup hari
ini tanpanya," katanya.
Artikel lain yang berkaitan:
Datuk Sharifah Aini Lega
(URTV
– 1 Jun 2010)
Kak Pah
Beramal
(Harian
Metro
– Sabtu, 8 Mei 2010)
Resah Yang Terlerai
(Berita
Minggu
– 25 April 2010)
Lembaran Rahsia
Sharifah Aini
(Utusan
Malaysia
– Khamis, 22 April 2010)
Kak Pah Cari
Bekal Akhirat
(Harian
Metro
– Rabu, 14 April 2010)
With Love From
Sharifah Aini
(New Straits Times
– Monday, 8 February 2010)
Konsert Amal Kak
Pah
(Utusan
Malaysia
– Selasa, 2 Februari 2010)
Serlah Sisi
Romantis
(Berita
Harian
– Jumaat, 29 Januari 2010)
Kak Pah Terus
Beramal
(Harian
Metro
– Rabu, 27 Januari 2010) |