TIDAK BETAH DUDUK DIAM

oleh Zaidi Mohamad  (Berita Harian: Jumaat, 15 Januari 2010)

Sepanjang tahun lalu, Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini antara yang tidak betah duduk diam melakukan persembahan termasuk konsert dalam skala besar di Singapura. Menutup tirai pada Disember lalu ialah siri persembahan amal Datuk Sharifah Aini and Friends membabitkan Anuar Zain dan Adibah Noor.  Akui penyanyi lagu Jatuh Cinta itu, 2010 juga sebolehnya mahu diisi dengan kerja menyanyi.  Pada masa yang sama beliau yang mesra membahasakan diri sebagai kak Pah ini, akan terus melaksanakan berkongsi sedikit kesenangan dengan mereka yang memerlukan.

Datuk Sharifah Aini cadang jayakan persembahan 'Up, Close and Personal' pada April"Kak Pah tetap nak bekerja dan cepat naik bosan kalau terus duduk diam.  Tetapi Insya-Allah kalau jadi tahun ini juga kak Pah nak curi masa bercuti dan mengembara ke negara orang.  Selepas penat bekerja, Kak Pah nak lari daripada kesibukan pula.  Kak Pah ada ramai kawan di Eropah.  Mungkin kak Pah akan bercuti ke Greece atau ke negara Eropah yang lain.  Selain itu, Insya-Allah, pada April ini, kak Pah akan menjayakan persembahan yang diberi nama Up, Close and Personal with Sharifah Aini di Hotel Concorde, Kuala Lumpur," katanya yang ditemui Hip di kediamannya di Petaling Jaya sewaktu mengadakan acara majlis tahlil.

Menurut Kak Pah, siri persembahan Datuk Sharifah Aini and Friends masih diteruskan lagi.  Cuma untuk permulaan tahun ini, kak Pah memulakannya dengan persembahan solo menerusi Up Close and Personal.  Persembahan ini juga masih atas tujuan beramal untuk disalurkan kepada anak yatim dan sekolah tahfiz di Subang Jaya pula.

"Persembahan makan malam ini akan diadakan pada 17 April di Grand Ballroom Hotel Concorde.  Ia dibuat bagi memenuhi permintaan peminat yang tak puas mendengar suara kak Pah ketika persembahan bersama Anuar dan Adibah sebelum ini.  Insya-Allah, kak Pah akan menyanyikan sekitar 25 buah lagu dalam tempoh dua jam setengah.  Persembahan ini lebih bersifat intim dan mesra.  Tempat juga terhad kerana penonton yang dijangka hadir dalam 350 orang.  Menu makanan yang akan disajikan terarah kepada gaya Inggeris.  Tiket atau jualan meja dijual pada harga RM5,500 dan 3,500.  Untuk yang berminat boleh menghubungi pihak Lime Event di talian 019-3488054 atau 012-9332373.  Ataupun e-melkan pertanyaan ke limeevent@gmail.com," ungkap kak Pah yang dijangka membuat persembahan bersama Anita Sarawak menerusi persembahan Datuk Sharifah Aini and Friends pada hujung tahun ini atau tahun depan.

Sempat melayan rakan yang hadir memberi sokonganSerentak pada majlis tahlil itu juga turut diadakan penyerahan cek kepada sekolah tahfiz Darul Huffaz, Puchong, Selangor.  Cek diserahkan kak Pah kepada Pengetua atau Mudir Darul Huffaz, Ustaz Aminurrasid Al Hafiz.  Turut menyaksikannya ialah 20 orang pelajar di sekolah terbabit.  Bagaimanapun, kak Pah memilih untuk merahsiakan jumlah cek yang diserahkan.  Kata kak Pah, selepas ditolak perbelanjaan yang perlu dilunaskan, jumlah yang diberikan adalah 100 peratus keuntungan tanpa diambil sesen pun sewaktu siri pertama Datuk Sharifah Aini and Friends diadakan.

"Apa yang kak Pah lakukan ini sebagai pelaburan untuk akhirat.  Kak Pah suka melakukannya.  Ia sebagai 'saham' jangka panjang.  Anak murid dari sekolah ini juga antara yang rapat dengan kak Pah dan mereka semua sudah seperti anak.  Selepas ditolak bayaran kepada artis, pemuzik, penyanyi latar, sistem bunyi, sewa studio untuk sesi latihan dan termasuk beberapa hal lagi, kak Pah serahkan semuanya kepada sekolah ini.  Kiranya malam itu kak Pah menyanyi tanpa dibayar," kata kak Pah tulus.

SENANGI KAK PAH

Sementara itu, Ustaz Aminurrasid yang ditemui mengucapkan jutaan terima kasih kepada kak Pah atas sumbangannya itu.  "Pada saya secara peribadi susah sebenarnya nak jumpa artis seperti kak Pah.  Kesayangannya terhadap orang agama sangat tebal.  Kak Pah selalu menganjurkan majlis keagamaan di rumahnya termasuk khatam al-Quran.  Persaudaraan sesama Islam ini sesuatu yang sangat abstrak.  Kami banyak mempelajari kasih sayang dengannya.  Begitu juga halnya dengan menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi kanak-kanak.  Hubungan tenaga pengajar di sini dengannya sudah seperti kakak dan adik.  Malahan, kak Pah sudah dianggap seperti umi oleh murid-murid di sini," katanya sambil memberitahu duit sumbangan itu akan digunakan untuk membaikpulih bangunan sekolah dan menampung keperluan lain.

Artikel lain yang berkaitan:

  Datuk Sharifah Aini Lega (URTV 1 Jun 2010)

  Kak Pah Beramal (Harian Metro Sabtu, 8 Mei 2010)

  Resah Yang Terlerai (Berita Minggu 25 April 2010)

  Lembaran Rahsia Sharifah Aini (Utusan Malaysia Khamis, 22 April 2010)

  Kekuatan Vokal Tiada Tandingan (Harian Metro Rabu, 21 April 2010)

  Kak Pah Cari Bekal Akhirat (Harian Metro Rabu, 14 April 2010)

  With Love From Sharifah Aini (New Straits Times Monday, 8 February 2010)

  Konsert Amal Kak Pah (Utusan Malaysia Selasa, 2 Februari 2010)

  Serlah Sisi Romantis (Berita Harian Jumaat, 29 Januari 2010)
  Kak Pah Terus Beramal (Harian Metro Rabu, 27 Januari 2010)