RESAH YANG TERLERAI

oleh Nurulhisham Abdul Latiff  (Berita Minggu: B*Pop 25 April 2010)

Suasana pada malam persembahan amal Up Close And Personal with Datuk Sharifah Aini agak pilu apabila permata seni negara itu meminta ibunya, Sharifah Nor Syed Jaafar memperjelaskan segala keraguan serta memadamkan fitnah yang tersebar sekian lama.  Keraguan yang selama ini mendatangkan rasa resah pada dirinya kerana pada suatu ketika beliau digambarkan sebagai anak yang lupa diri sehingga sanggup menyaman selain memukul ibunya sendiri.

Permata Seni Negara ... Sharifah Aini"Ani anak yang baik, Ani tidak pernah memukul Ummi.  Ani juga suka melakukan amal jariah," itulah kata-kata yang dizahirkan oleh Sharifah Nor yang turut hadir menyaksikan anaknya membuat persembahan amal di Hotel Concorde, Kuala Lumpur minggu lalu.  Terharu dengan kata-kata diungkapkan itu menyebabkan Sharifah Aini atau mesra dengan panggilan Kak Pah terus memeluk erat ibunya bersama linangan airmata.

Memang aksi dua beranak itu mengundang rasa sebak di kalangan penonton yang memenuhi dewan utama hotel ini.  Barangkali ini pertama kali mereka melihat sendiri betapa kasihnya seorang ibu kepada anaknya.  kata Sharifah yang cukup mesra dengan panggilan Kak Pah, jika beliau anak yang tidak menghormati ibu bapa, sudah tentu kehidupannya tidak akan diberkati seperti mana sekarang.  Jadi, pada malam itu, penghibur malar segar itu membiarkan ibunya sendiri menjelaskan kepada orang ramai, betapa insiden terbabit tidak pernah terjadi.

Pada persemabah sama, Biduanita Negara ini turut berkongsi kisah lama yang mungkin tidak pernah diketahui peminat.  Sebelum sesebuah lagu didendangkan, dengan rela hati bercerita mengenai pengalaman masa silam, termasuk kisah cinta dan perkahwinan, kenangan ketika mengadakan persembahan di karnival dan kawasan pendalaman.

PERNAH BERTUNANG DENGAN JURUTERBANG

Sebelum menyanyikan lagu Kau Tinggi Di Awan Biru (1977), dia mendedahkan kenangan betapa dirinya menyintai seorang juruterbang Iraqi Aiways benama Ali.  Sebagai anak yang agak 'memberontak', kata Sharifah, dia dan lelaki itu mengikat tali pertunangan mereka sendiri.  "Dengan kuasa Allah, lapan bulan sebelum kami mendirikan rumahtangga, dia menemui ajal dalam kemalangan jalan raya," katanya.  Begitu juga dia bercerita mengenai pertunangannya bersama seorang jejaka dari Perak, yang putus berikutan pandangan sinis ibu bapa lelaki terbabit terhadap artis, sebelum lagu Di Malam Persandingan (1972) dialunkan.

Ketika dia ingin menyanyikan lagu Yang Sangat Ku Sayang (1986), dia memaklumkan hadirin dirinya pernah berkahwin sebanyak dua kali.  "Perkahwinan pertama meninggalkan saya dengan sesuatu yang cukup bernilai, Aliff, yang kini belajar di Madinah.  Selepas perceraian pertama, saya ke sebuah bank untuk membuat pinjaman bagi membeli sebuah rumah.  Ketika itu saya masih dalam edah.  Siapa yang menyangka, ketika itu saya akan bertemu dengan lelaki yang bakal berkongsi hidup dengan saya?  Dia seorang pengawai bank.  Pertemuan itu tidak membawa kepada apa-apa.  Kemudian, kami terserempak lagi dan dia mengajak saya keluar makan tengahari.  Dia berterus-terang untuk menjaga saya.  Sepuluh hari kemudian, saya terima lamarannya," katanya.

Pada sidang akhbar kemudiannya dia berkata, dirinya tidak pernah keluar bersama lelaki lain sejak bercerai dengan suami kedua walaupun ada teman yang cuba mengaturkan beberapa pertemuan untuknya.  Dia sendiri belum terfikir untuk mencari pengganti.  "Namun, ada masanya perasaan itu datang apabila saya kesunyian, tetapi bukanlah kesepian yang melampau.  Saya hanyalah mampu berdoa.  Ini semua kerja Allah.  Jika ada jodoh, saya bersyukur.  Jika tidak ada pun, saya tetap bersyukur." jelasnya.

Tidak lupa dikongsi ialah pengalaman lucu sewaktu dia diundang menjayakan persembahan di sebuah kawasan pendalaman di Sarawak.  Sebagai memenuhi janji, seorang wakil rakyat mengundangnya menghiburkan penduduk tempatan di sana.  Untuk tiba ke lokasi terbabit, dia perlu menaiki bot selama dua jam.  "Sampai saja di kampung itu, saya disambut bagai menteri.  Di situ, saya ditempatkan di sebuah rumah.  Tiba waktu persembahan, saya perlu menaiki sampan kecil, yang boleh memuatkan dua orang pada satu-satu masa.  Maka saya menaiki sampan itu dengan baju glamor, kerana di kawasan pentas tidak disediakan bilik persalinan.  Malam itu, saya nyanyi sampai 35 lagu.  Lagu Kudaku Lari pun dinyanyikan lima kali.  Saya pula menari agak ligat malam itu, kerana kelkatu penuh dalam kain." cerita Sharifah disambut ketawa hadirin.

Pada persembahan di dewan utama hotel terkemuka itu, biduanita terbabit menyampaikan lebih 30 lagu, dengan iringan empat pemuzik dan tiga penyanyi latar.  Antara lagu lain yang didendangkan ialah Hapuslah Airmatamu, Kini Hatiku Telah Tertawan, Cemburu, Ingatan Manis Di Bulan September, Tiada Maaf Bagimu, Daun Daun Berguguran, Kenangan Indah, Wulan, Terbang Helang, Seri Dewi Malam dan Bunga Tanjung.

TERUS BERAMAL SELAGI TERDAYA

Diikutkan hatinya, Sharifah Aini ingin berbakti kepada banyak lagi rumah kebajikan yang menempatkan anak yatim dan kanak-kanak tahfiz.  Namun, apakan daya, kekurangan sokongan daripada penaja membantut hajatnya untuk berbuat demikian.  Lalu, dengan kudrat sendiri serta beberapa teman, dia mengadakan beberapa siri persembahan yang membolehkannya menyalurkan sedikit sumbangan kepada rumah amal berkenaan.

Penghibur dan penyanyi itu mengadakan persembahan makan malam amal Up Close and Personal with Datuk Sharifah Aini, yang dibawakan oleh Seri Dewi Production Sdn Bhd dan Lime Events Management, dengan sokongan Hotel Concorde, dengan 30 hingga 40 peratus daripada kutipan malam itu akan disalurkan ke Rumah Ijabah Anak Yatim & Al Hafiz, Subang Jaya.  Sebelum ini, beliau pernah mengadakan persembahan lebih kurang sama dengan pungutan kira-jira RM20,000 diserahkan kepada sebuah lagi rumah amal tahfiz. 

"Kak Pah mengenal pasti 15 sekolah tahfiz di Lembah Klang yang boleh dibantu menerusi pemberian sumbangan sebegini.  Jika kami mendapat sokongan lebih banyak penaja.  Kak Pah rasa jumlah lebih besar dapat disalurkan kepada mereka.  Jumlah sumbangan bukanlah sesuatu yang paling utama.  Paling penting, sumbangan berkenaan dapat membantu pihak pengurusan sekolah atau rumah amal tahfiz terbabit menguruskan pusat itu.  Maklum saja, institusi berkenaan selalunya diuruskan secara persendirian.  Kak Pah pula memilih untuk menyalurkan kutipan yang didapati daripada persembahan amal sebegini kepada rumah tahfiz kerana tidak mahu terlalu klise.  Sudah sering kita lihat sumbangan diberikan kepada rumah amal.  Jadi biarlah Kak Pah buat sesuatu yang berbeza," katanya pada sidang akhbar selepas tamat persembahan.

Bagitupun, katanya, sumbangan kepada pihak lain sudah tentu akan diteruskan.  Pada 28 Mei nanti, umpamanya, beliau akan muncul dalam persembahan sempena Hari Ibu, dengan kutipannya bakal dihulurkan kepada pesakit kanser.  Pada musim Aidilfitri ini pula, beliau bersama-sama Datuk Ahmad Jais bergandingan dalam persembahan Nostalgia 60-an, pada tarikh dan lokasi yang akan diumumkan kemudian.  "Jika kita membantu anak-anak tahfiz ini, sekurang-kurangnya kita dapat melihat mereka melangkah lebih jauh dalam pengajian.  Sebahagiannya berpeluang menyambung pengajian ke Afrika dan Timur Tengah.  Duit yang mereka dapat itu akan menolong anak-anak pergi lebih jauh lagi." ujarnya.

Dalam persembahannya sebelum itu, Sharifah berkata, sememangnya dia gemar membantu kanak-kanak, tidak mengira bangsa dan agama.  "Merekalah sebenarnya masa depan kita.  Dengan membantu mereka sekarang, kita berdoa agar mereka mampu lahir sebagai generasi lebih mulia pada masa akan datang.  Sudah tentu, sebagai ibu bapa, kita bimbang melihat pelbagai gejala yang menyelubungi kehidupan masyarakat hari ini.  Jadi, saya terpanggil untuk menunaikan tanggungjawab sosial membantu kanak-kanak ini," katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Datuk Sharifah Aini Lega (URTV 1 Jun 2010)

  Kak Pah Beramal (Harian Metro Sabtu, 8 Mei 2010)

  Lembaran Rahsia Sharifah Aini (Utusan Malaysia Khamis, 22 April 2010)

  Kekuatan Vokal Tiada Tandingan (Harian Metro Rabu, 21 April 2010)

  Kak Pah Cari Bekal Akhirat (Harian Metro Rabu, 14 April 2010)

  With Love From Sharifah Aini (New Straits Times Monday, 8 February 2010)

  Konsert Amal Kak Pah (Utusan Malaysia Selasa, 2 Februari 2010)

  Serlah Sisi Romantis (Berita Harian Jumaat, 29 Januari 2010)

  Kak Pah Terus Beramal (Harian Metro Rabu, 27 Januari 2010)
  Tidak Betah Duduk Diam (Berita Harian Jumaat, 15 Januari 2010)