SERLAH SISI ROMANTIK

oleh Zaidi Mohamad  (Berita Harian: Jumaat, 29 Januari 2010)

SHARIFAH AINI bergambar di banting persembahannya pada 17 April iniKAK PAH MAHU PEMINAT PUAS

Kalau mahu dibuat perbandingan, persembahan Up Close And Personal With Datuk Sharifah Aini pada 17 April depan boleh dianggap berbeza dengan persembahan terdahulu yang pernah dilakukan biduanita itu.  Malah persembahan yang akan diadakan di Grand Ballroom, Hotel Concorde, KL itu nanti lebih bersifat intim.   Mahu merenung dan menatap wajah penyanyi lagu Bunga Tanjung itu dengan jarak lebih dekat atau teringin mendengar dendangan suara merdunya itu bak buluh perindu dengan lebih jelas, ini masanya untuk peminat setia profil penyanyi yang mesra dengan panggilan Kak Pah itu meluangkan masa untuk berhibur sambil beramal.

Selama tiga jam, persembahan makan malam romantik bertemakan Inggeris itu juga membuka peluang kepada tetamu yang hadir untuk meminta apa saja lagu kepada Kak Pah dan Insya-Allah akan dinyanyikannya.  Bagaimanapun, lebih molek jika senarai lagu permintaan itu dihantar lebih awal ke kotak e-mel, limeevent@gmail.com.

"Lagu permintaan itu mungkin Kak Pah boleh pertimbangkan kepada pembeli meja yang awal membuat bayaran untuk menonton persembahan malam itu nanti.  Ikutkan hati Kak Pah nak puaskan hati semua yang akan hadir pada malam itu tapi masa pastinya mencemburui.  Tengok keadaan pada malam itu sama ada mengizinkan atau tidak.  Kepada yang ingin meminta lagu pilihan untuk dinyanyikan, boleh emel ke e-mel berikut selewat-lewatnya sebelum pertengahan Mac supaya Kak Pah boleh sesuaikan dengan susunan lagu yang bakal dipersembahkan nanti.  Setidak-tidaknya cadangan itu boleh Kak Pah jadikan sandaran untuk terus mempelbagaikan seleksi lagu yang berkenan di hati," kata Kak Pah yang ditemui Hip pada sidang media persembahan terbabit minggu lalu di Hotel Concorde.

Demi menjaga masa supaya tidak dibazirkan begitu saja, Kak Pah juga sepakat untuk hanya melaram satu busana miliknya sendiri saja.  Katanya yang sudah lebih 40 tahun berada dalam liga seni, pada malam itu bersesuaian dengan tema Inggeris, beliau akan bergaya seringkas mungkin tanpa sarat perincian.  Sambil berseloroh, Kak Pah memberitahu mungkin beliau akan mengenakan busana yang dipadankan dengan seluar saja dan tidak seperti lazimnya dengan memakai gaun.  Usiknya lagi, ketika ini juga, sudah mula terlintas untuk beliau tampil dengan rambut ikal mayangnya tanpa menggunakan rambut palsu.

"Semuanya masih dalam proses merancang.  Apa yang lebih penting, Kak Pah akan mengenakan pakaian yang lebih praktikal supaya senang bergerak dari satu meja ke satu meja.  Nak bergerak ke meja pun mengambil masa.  Kak Pah tidak akan memakai gaun meleret kerana bimbang pula kalau Kak Pah jatuh terjelepok, siapa yang nak angkat," katanya sambil tersenyum.  Tambah Kak Pah lagi, apa yang dilakukan kini adalah sebahagian untuk memastikan mereka yang berhak turut berkongsi kegembiraan.  Hanya dengan menjual suara, Kak Pah berharap ia mampu membuat mereka yang akan hadir terhibur dan pada masa yang sama yang kurang bernasib baik menerima bahagian masing-masing.

Jika keuntungan 100 peratus persembahan Datuk Sharifah Aini and Friends membabitkan Anuar Zain dan Adibah Noor Disember tahun lalu diserahkan kepada sekolah tahfiz Darul Huffaz, Puchong, Selangor.  Untuk persembahan April nanti pula, keuntungan akan diagihkan kepada Rumah Ijabah Anak Yatim & Al Hafiz di Subang Jaya.  "Apa yang dilakukan Kak Pah ini satu kepuasan abadi yang tersendiri dan tidak boleh diukur dengan wang ringgit sekalipun.  Sekurang-kurangnya perkongsian rezeki itu lebih luas dan ada manfaat kepada orang lain.  Rezeki itu dipanjangkan ke jalan yang diredai.  Insya-Allah," katanya yang anggun berbaju kurung ungu.

SAYANG AHMAD JAIS

Ditanya mengenai perkembangan lain, Kak Pah turut menjelaskan mengenai perancangannya untuk berkongsi pentas dengan penyanyi Ahmad Jais pada penghujung tahun ini.  Menurut Kak Pah, beliau akan mengadakan pertemuan dengan penyanyi itu secepat mungkin untuk merealisasikan persembahan yang diberi nama Nostalgia 60-an itu.  "Biarpun kami berlainan era, tapi itu bukan penghalang untuk Kak Pah menjadikan persembahan itu menjadi kenyataan.  Menurut teman korporat Kak Pah, memang mereka masih merindui persembahan Ahmad Jais.  Sebenarnya idea untuk mengadakan persembahan ini sudah lama.

"Cuma Kak Pah tidak berasa sesuai jika menggunakan Datuk Sharifah Aini and Friends dan sebaliknya digantikan dengan nama Nostalgia 60-an.  Kak Pah sendiri sebenarnya meminati lagu nyanyiannya antaranya seperti Kucupan Azimat dan Di Ambang Sore.  Kalau nak tahu, Kak Pah memang sayangkan Ahmad Jais seperti abang sendiri.  Sewaktu awal kemunculan Kak Pah, beliaulah yang selalu menolong Kak Pah daripada terus dibuli kawan-kawan lain.  Beliau memang mengambil berat terhadap diri Kak Pah kerana Kak Pah juga sudah seperti adiknya juga," katanya.

  INFO UP CLOSE AND PERSONAL WITH DATUK SHARIFAH AINI 

  Akan diadakan pada 17 April di Grand Ballroom, Hotel Concorde. Ia dibuat bagi memenuhi permintaan peminat yang tak puas mendengar suara Kak Pah ketika persembahan bersama Anuar dan Adibah diadakan sebelum ini.

  Kak Pah dijangka akan menyanyikan sekitar 25 buah lagu dalam tempoh tiga jam bermula dari jam 8 malam. Persembahan ini lebih bersifat intim dan mesra. Tempat juga terhad kerana penonton yang dijangka hadir dalam 350 orang. Menu makanan yang akan disajikan terarah kepada gaya Inggeris.

  Tiket atau jualan satu meja dijual pada harga RM6,500 dan RM3,500.

  Untuk yang berminat boleh menghubungi pihak Lime Event di talian, 019-3488054 atau 012-9332373. Ataupun emelkan pertanyaan ke limeevent@gmail.com

Artikel lain yang berkaitan:

  Datuk Sharifah Aini Lega (URTV 1 Jun 2010)

  Kak Pah Beramal (Harian Metro Sabtu, 8 Mei 2010)

  Resah Yang Terlerai (Berita Minggu 25 April 2010)

  Lembaran Rahsia Sharifah Aini (Utusan Malaysia Khamis, 22 April 2010)

  Kekuatan Vokal Tiada Tandingan (Harian Metro Rabu, 21 April 2010)

  Kak Pah Cari Bekal Akhirat (Harian Metro Rabu, 14 April 2010)

  With Love From Sharifah Aini (New Straits Times Monday, 8 February 2010)

  Konsert Amal Kak Pah (Utusan Malaysia Selasa, 2 Februari 2010)

  Kak Pah Terus Beramal (Harian Metro Rabu, 27 Januari 2010)
  Tidak Betah Duduk Diam (Berita Harian Jumaat, 15 Januari 2010)