SHARIFAH AINI SAMBUNG KONTRAK DENGAN EMI oleh Rosli Manah (Utusan Malaysia: Isnin, 9 Oktober 2000) |
Sebelum ini, namanya telah dicatatkan di dalam Malaysia Book of Records sebagai penyanyi tempatan paling lama bernaung di bawah sebuah syarikat rakaman, selama 31 tahun. "Saya akan terus bersama EMI dan tidak akan berhijrah ke syarikat rakaman lain," kata Sharifah Aini pada sidang akhbar pelancaran cakera padat Enhanced Seribu Mawar. "Walaupun pernah mengalami masalah, namun akhirnya kami mencapai kata sepakat untuk kebaikan bersama," kata penyanyi itu lagi. Sidang akhbar tersebut diadakan di atas kapal persiaran mewah Superstar Virgo, Star Cruises yang belayar dari Pelabuhan Klang ke Singapura, baru-baru ini. Bagaimanapun, butiran mengenai kontrak akan diumumkan apabila penyanyi itu menandatangani kontrak nanti, kata Pengarah Urusan EMI, Darren Choy. "Kami berbangga dengan kejayaan yang diperoleh oleh Sharifah sepanjang bernaung di bawah EMI," kata Naib Presiden EMI Asia, Beh Suat Pheng yang turut hadir pada majlis itu. Cakera padat Enhanced yang dilancarkan itu memuatkan biodata, kata-kata ucapan dan gambar-gambar sepanjang pembabitannya dalam bidang seni suara. Versi Enhanced tersebut hanya boleh dipakai menggunakan komputer. Ia juga boleh digunakan sebagai cakera padat biasa. Sementara itu, pihak EMI sedang berusaha untuk mengetengahkan Sharifah Aini ke Timur Tengah apabila lagu-lagu Arab yang dirakamkan mendapat sambutan. Lagu-lagu tersebut telah diperdengarkan kepada pihak EMI Arab Saudi dan mereka menunjukkan minat untuk mengetengahkan nyanyian Sharifah Aini ke sana. Malah, penyanyi itu juga turut mendapat beberapa undangan mengadakan persembahan di Dubai dan beberapa negara Arab lain. Pihak EMI sentiasa memandang ke hadapan untuk membawa nama besar Sharifah Aini ke peringkat yang lebih jauh. "Saya juga berharap dapat menembusi pasaran luar menerusi album yang dihasilkan di Malaysia," katanya. Pelayaran itu juga turut membawa beberapa pemenang peraduan yang dianjurkan oleh beberapa akhbar termasuk Mingguan Malaysia. Sharifah Aini turut mengadakan konsert mini di kelab The Lido di atas kapal pesiaran terbesar di Asia Pasifik itu. Konsert tersebut mendapat sambutan daripada orang asing yang turut belayar di atas kapal pesiaran itu. Selain menyanyikan lagu-lagu daripada album terbaru, dia juga turut menyanyikan lagu-lagu 'evergreen' seperti Bunga Tanjung, Hapuslah Airmatamu, Pergi Tanpa Pesan, Dekatlah Padaku dan beberapa lagi. Sementara itu, ketika di Singapura, penyanyi itu muncul pada sesi bertemu peminat di Kedai Muzik Tower Records. Artikel lain yang berkaitan: Naik Kapal Mewah Dengan Sharifah Aini (URTV – 1 November 2000) Sharifah Aini Ada Kenangan Manis Di Atas Kapal Mewah (Media Hiburan – 21-27 Oktober 2000) Majlis Rai Sharifah Aini Meriah (Berita Minggu: Bi-Pop – 15 Oktober 2000) Sharifah Aini Takut Kahwin Lagi? (HAI – 15 Oktober 2000) Seribu Mawar Berkumandang Di Tengah Samudera (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 15 Oktober 2000) Sharifah's Sailing High (New Straits Times – Friday, October 13, 2000) Sharifah Aini Terus Bersinar (Harian Metro – Isnin, 9 Oktober 2000) |