SHARIFAH AINI ADA KENANGAN MANIS DI ATAS KAPAL MEWAH oleh Ida Abd Aziz (Media Hiburan: 21-27 Oktober 2000) |
Menikmati percutian mewah bersama biduanita negara, Sharifah Aini tentunya menjadi kenangan paling manis kepada 25 peminat setianya. Mereka yang bertuah ini terpilih melalui beberapa peraduan yang diadakan di dua akhbar tempatan, radio dan sebuah program hiburan TV. Aktiviti anjuran EMI Malaysia dengan kerjasama Star Cruise serta Keretapi Tanah Melayu (KTM) ini turut disertai oleh beberapa editor, wartawan dan jurugambar hiburan tempatan. Pelayaran dari Port Klang ke Singapura di atas kapal SuperStar Virgo sememangnya indah. Ketika melihat kapal terbesar di Asia/Asia Pasifik ini dari terminal pelabuhan barat, Port Klang, hati sudah dapat menjangka kehebatannya. Teringat 'Titanic', kapal mewah dan cantik yang menyimpan sejarah luka 'Khaty'. Namun doa mengiringi langkah agar pelayaran kami selamat. Petang itu setelah selesai 'check in' di kabin dan berehat seketika, rombongan ke lounge 'Galaxy of Star' untuk pelancaran Album Enhance CD 'Seribu Mawar'. Majlis santai ini kemudiannya telah dimeriahkan dengan gelagat beberapa peminat meniru gaya dan suara Sharifah Aini. Gamat suasana apabila masing-masing menunjukkan pelbagai aksi. Paling tidak tahan apabila ada yang meniru gaya jalan kak Pah. Lucu sungguh hingga membuatkan kak Pah terduduk di atas lantai menahan tawa. Hingga lewat petang, kami dibawa melawat ke seluruh kapal sebelum menikmati hidangan makan malam di Bella Vista. Restoran dengan rekabentuk dan hiasan gaya Inggeris ini boleh memuatkan 600 tetamu. Kami menikmati hidangan barat di sini. Selain di sini, kami juga mempunyai dua plihan lain. Sama ada ingin menikmati hidangan 'buffet' antarabangsa di tepi kolam renang atau merasai masakan Cina di restoran Noble House. Sebelah malamnya pula selama sejam Diva Evergreen ini menghiburkan tetamu di auditorium The Lido dengan lagu-lagu baru dan lamanya. Suaranya memang mantap. Antaranya, 'Resah Bersalam, Seribu Mawar, Nour El Ain, Bunga Tanjung, Kau Pergi Tanpa Pesan, Crazy, Blue Bayou' dan 'Have You Really Love A Woman'. Hari kedua di atas kapal, kak Pah melayan peminatnya sarapan pagi di Mediterranean Buffet dan kemudiannya bergambar kenangan di tempat-tempat menarik sebelum kapal berlabuh di World Trade Centre Port, Singapura. Acara seterusnya sesi bertemu peminat di Tower Record, Suntec City. Ramai peminat kak Pah sudah datang awal agar tidak lepas peluang bertemu. Mereka beratur panjang untuk mendapatkan tandatangan dan bergambar kenangan. Sepanjang sesi ini, mereka turut dihiburkan dengan putaran lagu-lagu dari album terbaru 'Seribu Mawar'. Selepas makan malam di Riverwalk Tandoor, kami berangkat pulang dengan menaiki keretapi Senandung Malam. Walau badan letih, suasana di dalam keretapi masih meriah dan bising dengan gelak tawa serta usik mengusik. TIDAK AKAN ADA SHARIFAH AINI KE 2 31 tahun menongkah arus seni, Sharifah Aini tidak pernah sekali pun mengangkat bendera putih, sebaliknya kelahiran 'Seribu Mawar' bagaikan jantung baru untk meneruskan langkah seninya. Album yang ke 72 ini dihasilkan di bawah syarikat rakaman EMI Malaysia. Suaranya masih lunak gemersik. Memang sukar untuk diikuti atau ditiru, dan pasti tidak akan ada Sharifah Aini kedua. Penampilan dan karismanya sudah cukup untuk memberinya kelebihan. Dia juga begitu disenangi oleh peminatnya. Seperti kata mereka, Sharifah Aini begitu 'humble' dan akan melayani peminatnya tanpa mengira siapa mereka. Dan buat pertama kalinya EMI Malaysia menganjurkan pelayaran istimewa Star Cruise ini sebagai menobatkan Sharifah Aini sebagai penyanyi paling tabah menghadapi gelora seni dan dalam masa yang sama mampu berada di singgahsana dengan terus mengekalkan popularitinya. Layanan EMI selama berpuluh tahun telah membuka era baru, apabila biduanita ini mungkin akan menyambung kontraknya lagi. Perbincangan telahpun diadakan oleh kedua-dua pihak. Apabila ditanya berapa lama. Sambil ketawa dia memberitahu cukup lama untuk meneruskan karier seninya sebelum menjawab, mungkin untuk tempoh lima tahun lagu. "Saya amat berterima kasih kepada EMI. Pelayaran ini adalah promosi dan peluang terbaik yang pernah saya dapat. Sememangnya saya sangat 'excited' sejak awal lagi. Tidak sabar rasanya untuk berlayar bersama peminat dan rakan wartawan. Pelayaran ini sememangnya sangat indah kerana saya dapat bersama peminat. Berbual, berkongsi cerita dan bermesra dengan mereka. Peminat sememangnya antara orang penting dalam karier saya," ujarnya sambil melayani peminatnya bergambar kenangan. Pelancaran album Enhanced CD 'Seribu Mawar' ini juga merupakan satu penerbitan khas yang menyelitkan CD-rom sejarah pembabitan penyanyi hebat ini dalam bidang seni bersama dengan album lagu 'Seribu Mawar'. Sharifah Aini mencatatkan sejarah kerana menjadi artis pertama di Malaysia yang memiliki Enhanced CD. Enhanced CD 'Seribu Mawar' memuatkan retrospektif Sharifah sepanjang kariernya selama 31 tahun. Peminat Biduanita Negara ini pasti berpuashati kerana CD ini terdapat pelbagai info termasuk permulaan pembabitannya dalam seni, hobi, aktiviti, senarai lagu, lirik dan sebagainya. Terdapat juga beberapa rakaman aktiviti Sharifah Aini ketika di rumah. Apa yang perlu, CD tersebut mestilah dibuka didalam komputer. APA KATA PEMINAT Azhar Abdullah KL – "Peluang belayar bersama biduanita ini sememangnya amat bermakna sekali bagi saya. Saya amat meminati beliau. Bukan sahaja suaranya yang hebat, lunak dan gemersik, penampilannya juga sentiasa memikat. Inilah peluang pertama saya dapati dan rasanya ia mencatit sejarah dalam diari saya. Saya juga kagum dengan caranya. Dia begitu 'humble' dan mudah mesra. Lagi satu istimewanya dia, tidak ada siapa dapat meniru cara dan suaranya. Itulah yang hebatnya." Betty Damansara Utama – Kata Betty, minatnya pada Sharifah Aini sudah lama. Suara Kak Pah memang bagus dan tidak muak didengar. Dia juga antara peminat paling aktif. Kalau duduk bersantai, pasti suaranya mendendangkan lagu Kak Pah. Ceritanya peluang belayar bersama Kak Pah amat bermakna baginya dan berterima kasih kepada mereka yang memilihnya sebagai pemenang dan seterusnya berpeluang bermesra dan kenal rapat dengan penyanyi pujaannya itu. Yusuf Abd Rahman, Singapura – "Sebenarnya saya hendak ikut serta dalam pelayaran tersebut. Nak tengok shownya atas kapal. Tapi hampa sebab kena pergi Perth. Saya baru balik dan hari ni pun ambil 'half day'. Minat saya pada Kak Pah tak boleh nak luahkan. Mana sahaja konsertnya, saya ikut. Semua program hiburan yang melibatkannya, saya ikuti. Tak boleh 'miss'. Saya suka pada suaranya. Inilah keunikannya. Tak ada siapa boleh nyanyi semerdu itu. Selain itu, dia layan peminat, 'first class' tanpa kira siapa mereka. Semoga dia terus hebat," ujar Yusuf tersenyum puas. Artikel lain yang berkaitan: Naik Kapal Mewah Dengan Sharifah Aini (URTV – 1 November 2000) Majlis Rai Sharifah Aini Meriah (Berita Minggu: Bi-Pop – 15 Oktober 2000) Sharifah Aini Takut Kahwin Lagi? (HAI – 15 Oktober 2000) Seribu Mawar Berkumandang Di Tengah Samudera (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 15 Oktober 2000) Sharifah's Sailing High (New Straits Times – Friday, October 13, 2000) Sharifah Aini Terus Bersinar (Harian Metro – Isnin, 9 Oktober 2000) Sharifah Aini Sambung Kontrak Dengan EMI (Utusan Malaysia – Isnin, 9 Oktober 2000) |