SHARIFAH AINI TAKUT KAHWIN LAGI? oleh Hamisma Hassan (HAI: 15 Oktober 2000) |
Selepas selesai persembahan konsert mininya di The Lido, sebuah auditorium besar di atas kapal terbesar Asia Pasifik itu, Sharifah Aini melayani pelbagai pertanyaan termasuk kisah peribadinya daripada para wartawan. Kami berbual sehingga ke dinihari berlatarbelakangkan pemandangan indah di tengah lautan. Paling menarik, Sharifah Aini secara terbuka memberitahu dia tidak takut berkahwin lagi buat kali ketiga meskipun telah gagal dalam dua perkahwinan yang lalu. "Perceraian merupakan sesuatu yang tidak menggembirakan saya. Walau bagaimanapun, saya percaya ada hikmah di sebalik perceraian itu. Saya gagal dalam dua perkahwinan dan kegagalan dalam perkahwinan kedua itu bukan berpunca akibat susah hidup bermadu. Kalau macam tu, saya tak payah tunggu selama 17 tahun untuk bercerai. Tetapi saya percaya pada qada dan qadar Tuhan. Apa yang berlaku mungkin ada kebaikannya yang saya sendiri tidak tahu pada masa depan. Antara saya dengan bekas suami, kami saling mencintai. Cuma kami merasakan dah tak boleh hidup bersama. Saya bersyukur kerana perceraian itu tidak menimbulkan sesuatu yang buruk." "Kalau ada jodoh untuk berkahwin kali ketiga, saya tak takut menghadapinya. Sebab saya percaya pada institusi kekeluargaan. Saya mahu bersuami dan berkeluarga bahagia. Mana tahu pada masa depan, saya bertemu lelaki yang sesuai. Siapa yang tidak mahu dicintai dan disayangi? Tetapi, buat masa ini, saya belum lagi keluar 'dating' dengan mana-mana lelaki selepas bercerai. Bohong kalau saya tak fikir soal kahwin. Bagi saya, biarlah jodoh itu datang sendiri. Sekarang, saya belum terfikir untuk berkahwin lagi. Lagipun, siapa yang mahukan saya? Saya bahagia dengan kehidupan bersama anak-anak. Saya seronok dengan kebebasan yang saya miliki sekarang dan saya tak sunyi," jelas Sharifah Aini.
Di samping itu, 'HAI' turut bertanyakan mengenai suatu perkara yang mungkin semua peminat ingin tahu iaitu tentang umur sebenar Sharifah Aini. Selama 31 tahun bergelar artis syarikat rakaman EMI, mungkin hanya segelintir peminat setia Sharifah Aini yang tahun umur sebenarnya. Namun, penyanyi bersuara merdu itu mempunyai jawapannya sendiri mengapa dia merahsiakan umurnya. "Saya boleh beritahu umur sebenar saya. Tetapi bukan untuk disiarkan dalam majalah. Sebenarnya, saya ada sebab mengapa saya tak suka memberitahu umur sebenar. Sebabnya, segelintir orang bila mendapat tahu umur sebenar saya, akan selalu bertanya, bila nak tutup kepala? Bagi saya, jawapan untuk pertanyaan itu adalah peribadi. Bila saya dah bersedia, insya-Allah esokpun boleh. Yang penting, hati harus baik dan ikhlas. Tak semestinya yang menutup kepala itu hatinya benar-benar baik. Itu antara sebab mengapa saya merahsiakan umur saya. Tetapi saya rasa ramai peminat yang tahu berapa umur sebenar saya," ujarnya.
'Pelayaran Seribu Mawar' yang dibawa secara eksklusif oleh sayarikat rakaman EMI bermula dari Pelabuhan Klang, Selangor sehingga ke World Trade Centre Port, Singapura, benar-benar meninggalkan sejarah indah dalam diari seni Sharifah Aini. Tidak keterlaluan, dengan status biduanita negara dan bergelar artis paling lama dengan EMI, Sharifah Aini berhak diberi layanan eksklusif tersebut. Pelayaran di tengah samudera itu turut disertai kira-kira 30 orang wartawan, jurugambar dan krew TV serta 25 orang peminat bertuah yang terpilih menerusi kuiz album 'Seribu Mawar'. Menurut Sharifah Aini, pelayaran itu bukan hanya untuk melancarkan enhanced CD Seribu Mawar, tetapi juga sebagai hadiah untuk wartawan serta peminat yang banyak menyokong perjuangan seninya. Enhanced CD itu bukan saja mengandungi lagu-lagu terbarunya tetapi turut mengandungi wajah-wajah Sharifah Aini serta profil dirinya. Lebih menarik, dalam pelayaran tersebut Sharifah Aini dibanjiri pelbagai hadiah pemberian peminat, termasuklah sebentuk cincin berlian daripada peminat setianya, Sharifah Lulu Syed Al Sagoff dari Bedok North, Singapura. Selama tiga hari bersama Sharifah Aini, dia benar-benar sibuk melayani pelbagai gelagat peminat. Dari atas kapal, dia turun ke daratan bertemu peminat di Tower Records, Singapura, sehinggalah pada waktu pulang ke Kuala Lumpur dari stesen keretapi Tanjung Pagar, Singapura. Meskipun penat, namun Sharifah Aini tetap tidak kedekut menguntumkan senyuman seribu mawarnya. Artikel lain yang berkaitan: Naik Kapal Mewah Dengan Sharifah Aini (URTV – 1 November 2000) Sharifah Aini Ada Kenangan Manis Di Atas Kapal Mewah (Media Hiburan – 21-27 Oktober 2000) Majlis Rai Sharifah Aini Meriah (Berita Minggu: Bi-Pop – 15 Oktober 2000) Seribu Mawar Berkumandang Di Tengah Samudera (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 15 Oktober 2000) Sharifah's Sailing High (New Straits Times – Friday, October 13, 2000) Sharifah Aini Terus Bersinar (Harian Metro – Isnin, 9 Oktober 2000) Sharifah Aini Sambung Kontrak Dengan EMI (Utusan Malaysia – Isnin, 9 Oktober 2000) |