MAJLIS RAI SHARIFAH AINI MERIAH oleh Roslen Fadzil (Berita Minggu: Bi-Pop – 15 Oktober 2000) |
Untuk membawa artis hebat seperti Sharifah Aini belayar di samudera, ia juga memerlukan kapal yang hebat. Jadi pilihan terbaik adalah SuperStar Virgo - kapal pesiaran mewah antara yang terbesar di rantau Asia-Pasifik Lalu pada 5 dan 6 Oktober lalu, Diva Evergreen itu menghabiskan waktunya selama hampir 20 jam untuk bersantai di atas 'hotel terapung' seberat 76,800 tan itu yang menyusuri perairan biru Selat Melaka, bermula dari Pelabuhan Klang, Selangor hinggalah ke World Trade Centre Port, Singapura. Lebih istimewa, Sharifah yang lebih mesra dengan nama Kak Pah dan Kak Ani di kalangan wartawan, meluangkan masanya bersama 25 peminat bertuah yang terpilih menerusi peraduan anjuran Bi-Pop (Berita Minggu), Pancaindera (Mingguan Malaysia), Radio Era dan Cit Cit Azwan. Keceriaan jelas terlukis di wajah Biduanita Awet Muda itu apabila buat kali pertama menyertai program istimewa anjuran EMI Malaysia - syarikat rakaman yang dinaunginya sejak lebih 30 tahun lalu. Acara itu turut mendapat tajaan syarikat pemilik SuperStar Virgo iaitu Star Cruises serta Keretapi Tanah Melayu (KTM). Bagi meraikan Sharifah dalam pelayaran itu, boleh dikatakan semua 'orang penting' EMI 'naik kapal'. Ini termasuklah Naib Presiden Kanan EMI (Asia), Beh Suat Pheng; Pengarah Urusan EMI Malaysia, Darren Choy; Pengarah A & R, Mohd Arzmy Mohd; Pengurus Kanan Promosi, Normahiran Yusoff; Pengurus Kanan Pemasaran, Erland Kok; Penolong Pngurus Promosi, Shima Nekmat serta kakitangan lain termasuk Ikmal, Wan Kamaruddin, Yusri dan Alan Khoo. Turut menyertai rombongan itu ialah sekumpulan editor serta wartawan hiburan tempatan selain beberapa teman karib penghibur itu. Pada hari pertama, sesudah rombongan 'check-in' di atas kapal 13 tingkat itu, acara dimulakan dengan sidang media album 'Enhanced CD Seribu Mawar' di lounge Galaxy of Stars. Diva itu muncul dengan fesyen berkemeja, jeans dan mengenakan pashmina merah jambu - ringkas tetapi anggun. Suasana tidak sunyi dengan hilai tawa kerana ada saja perkara lucu. Usik mengusik antara pengacara 'tak sayang mulut', Azwan Ali, Sharifah serta peminat membuatkan tetamu tidak kering gusi. Malah kegembiraan Sharifah begitu ketara sehingga suatu ketika, dia tergelak besar sampai terjatuh dari kerusi !. Namun dalam berseronok-seronok itu pun, penyanyi 'Bunga Tanjung' itu membacakan sendiri doa selamat supaya pelayaran mahupun perjuangan seninya mekar dengan kesejahteraan. Pada sebelah malam, tetamu dihiburkan dengan persembahan beliau menerusi 'showcase' di Auditorium The Lido. Selama hampir sejam, Sharifah mengalunkan lagu terbarunya seperti 'Resah Bersalam', 'Seribu Mawar' dan 'Nour El Ain' serta lagu hit 'Bunga Tanjung', 'Dekatlah Padaku' dan 'Kau Pergi Tanpa Pesan'. Dia tidak ketinggalan menyanyikan lagu Inggeris 'Crazy', 'Blue Bayou' dan 'Have You Ever Really Loved A Woman'. Pada hari kedua, rombongan selamat tiba di jeti Star Cruises di World Trade Centre Port, Singapura. Agenda diteruskan dengan sesi bertemu peminat di Tower Records, Suntec City, jam 6 petang. Ramai juga peminat di republik itu muncul mendapatkan tandatangan serta bergambar dengan penghibur kesayangan mereka itu. Tepat jam 10 malam, rombongan akhirnya bertolak kembali ke Malaysia dengan kereta api Senandung Malam dari stesen Tanjung Pagar. Walaupun keletihan, hati puas. PEMINAT SHARIFAH AINI SEBAK Hati siapa yang tidak terharu apabila dapat bertemu artis kesayangan apatah lagi sejak kecil lagi membesar dengan lagu penyanyi itu. Begitulah rata-rata perasaan peminat Sharifah Aini apabila ditemui Bi-Pop ketika pelayaran tempohari. Masri Kajah, 38, pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perpatih, Gemas, Negeri Sembilan, mengakui dewasanya dia adalah bersama suara lemak merdu Sharifah, sejak album pertama lagi. "Saya masih ingat, EP pertama kak Pah ialah Seri Dewi Malam (terbitan 1970). Ia ada empat lagu, 'Kini Hatiku Telah Tertawan', 'Seri Dewi Malam', 'Dari Masa Hingga Masa' dan 'Jasa Ninda'. Sejak EP pertama lagi saya sudah tertarik dengan suaranya itu menyebabkan saya tidak pernah terlepas daripada membeli setiap albumnya. Bagi saya, kak Pah layak digelar Tokoh Seni atau Biduanita Negara kerana semangat juangnya tidak pernah padam-padam sejak tiga dekad lalu dan yang penting, dia masih menyanyi sampai sekarang." kata Masri yang sebak apabila melihat sikap Sharifah yang tidak langsung menyombong diri. Katanya lagi: "Mungkin Kak Pah dulu tidak sempat bersekolah tinggi tetapi ilmu seninya sangat tinggi." Azhar Abdullah yang mendapat jolokan nama Chef Wan gara-gara wajah dan suaranya pula berkata, dia tertarik dengan Sharifah kerana penyanyi itu tahu mengikuti peredaran zaman, baik dari segi imej atau rakaman lagu. "Pun begitu, saya harap kak Pah dapat merakamkan semula lagu karya S Atan dan Datuk Ahmad Nawab. Saya juga mencadangkan kepada EMI supaya dia berduet semula dengan M Sani. EMI juga boleh merakamkan semula lagu lamanya dengan gubahan muzik terbaru yang segar," kata Azhar yang meminati lagu "Engkau Pendusta".
Syed Alwi Syed Sopi, 23, yang menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, dalam jurusan Sains Komputer berkata, dia mula meminati Sharifah sejak album terbaru, 'Seribu Mawar' diterbitkan. "Ibu saya meminati
Kak Pah, cuma saya mula tertarik sejak album 'Seribu Mawar'. Lagu
Nour El Ain jelas ada unsur 'world music' dan sesuai dipasarkan ke luar negara," katanya yang turut bergambar dengan penyanyi pujaannya itu.
Artikel lain yang berkaitan:
Naik Kapal Mewah Dengan Sharifah Aini
(URTV
– 1 November 2000)
Sharifah Aini Ada Kenangan
Manis Di Atas Kapal Mewah
(Media Hiburan
– 21-27 Oktober 2000)
Sharifah Aini Takut Kahwin
Lagi?
(HAI
–15 Oktober 2000)
Seribu Mawar Berkumandang Di
Tengah Samudera
(Mingguan
Malaysia: Pancaindera
– 15 Oktober 2000)
Sharifah's Sailing High
(New Straits Times
– Friday,
October 13, 2000)
Sharifah Aini Terus Bersinar
(Harian Metro
– Isnin,
9 Oktober 2000)
Sharifah Aini Sambung Kontrak
Dengan EMI
(Utusan Malaysia
– Isnin,
9 Oktober 2000) |