SHARIFAH AINI BELAYAR BERSAMA PEMINAT oleh Roslen Fadzil (Berita Harian: Isnin, 9 Oktober 2000) |
Tiada pengalaman yang lebih indah bagi 25 peminat Sharifah Aini selain dapat belayar bersamanya dengan kapal persiaran mewah, SuperStar Virgo, sebesar Titanic, di perairan Selat Melaka, pada Khamis dan Jumaat lalu. Kesemua mereka yang bertuah itu terpilih menerusi kuiz anjuran Bi Pop (Berita Minggu), Pancaindera (Mingguan Malaysia), Radio Era serta Cit Cat Azwan. Pelayaran yang turut disertai sekumpulan editor serta wartawan hiburan tempatan itu anjuran EMI Malaysia dengan kerajasama Star Cruises serta Keretapi Tanah Melayu (KTM). Pada hari pertama, sesudah bertolak dari Pelabuhan Klang, Selangor, acara dimulakan dengan sidang media album Enhanced CD Seribu Mawar di lounge Galaxy of Stars. Album penerbitan khas berkenaan menyelitkan CD-Rom sejarah pembabitan penyanyi ternama itu dalam bidang seni bersama dengan album lagu Seribu Mawar. Sharifah mencatat sejarah kerana menjadi artis pertama di Malaysia yang memiliki Enhanced CD. Pada sebelah malam, tetamu dihiburkan dengan persembahan Diva Evergreen itu menerusi sebuah showcase di auditorium The Lido. Selama sejam, Sharifah mendendangkan lagu terbaru seperti Resah Bersalam, Seribu Mawar, Nour El Ain, Aku Sayang Padamu serta lagu lamanya, Bunga Tanjung, Dekatlah Padaku dan Kau Pergi Tanpa Pesan, Dia tidak ketinggalan memukau pelancong dengan lagu Inggeris Crazy, Blue Bayou dan Have You Ever Really Love A Woman. Pada hari kedua, rombongan tiba di Star Cruises di World Trade Centre Port, Singapura. Agenda diteruskan dengan sesi bertemu peminat di Tower Records, Suntec City. Ramai peminat di republik itu hadir untuk mendapatkan tandatangan serta bergambar dengan penghibur pujaan itu. Selain peminat Melayu, pengunjung Tionghua dan Inggeris turut tidak ketinggalan membeli cekera padat (CD) Seribu Mawar selepas kali pertama mendengar lagu Nour El Ain diputarkan. Kata mereka, lagu berirama padang pasir itu mempunyai elemen World Music yang begitu ketara dan tidak menyangka ia dinyanyikan oleh artis Melayu dari Malaysia. Bagi Sharifah sendiri, pelayaran di Selat Melaka bersama peminat itu amat bermakna kerana itulah kali pertama dianjurkan sejak dia menjadi penyanyi lebih 30 tahun lalu. "Selama ini saya memang sibuk dan inilah waktunya saya dapat bercuti sambil mendekati peminat saya," katanya yang selamat kembali semula ke Kuala Lumpur dengan keretapi Senandung Semalam. |