DEBAR TUNGGU 16 OGOS

oleh Norhayati Nordin  (Harian Metro: Jumaat, 27 Julai 2007)

Kak Pah berdoa badan sihat untuk puaskan peminat pada Konsert Muzika Arabia di Istana Budaya

Pertama kali bersuda dengannya, terpegun melihat betapa jelita Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar.  Terus terang, biduanita negara itu nampak begitu menawan.  Pastinya ada 'rahsia' di sebaliknya.  Apakah kerana akan menjayakan Konsert Muzika Arabia di Istana Budaya (IB) pada 16 hingga 18 Ogos ini maka Sharifah Aini terpaksa berdiet?

Sharifah Aini yang mesra dengan panggilan Kak Pah berkata, dia tidak mengamalkan apa-apa diet tetapi mengakui penjagaan stamina amat penting.  "Sebagai penghibur, menjaga stamina cukup mustahak.  Justeru saya memandang berat kesihatan diri.  Mengambil kira itu, saya sentiasa memastikan tahap kesihatan sentiasa baik.  Saya memang tidak mengamalkan sebarang petua.  Kalau ada pun, cuma menjaga diri daripada penyakit seperti deman dan selsema.  Malah paling ditakuti mengalami 'masalah tekak'.  Terus terang, penyakit paling ditakuti setiap penyanyi ialah masalah tekak.  Oleh itu, saya berdoa kepada Tuhan semoga semuanya berjalan lancar dari awal hingga akhir," katanya.

"Kecantikan itu lahir dari dalam.  Saya seorang yang sangat reda dan tidak pernah berdendam.  Malah, saya juga jauhkan tekanan dalam diri.  Saya jalani hidup dengan gembira," katanya.  Penyanyi yang popular dengan lagu Hapuslah Airmatamu dan Seri Dewi Malam itu berkata, beliau juga gementar menjayakan persembahan di Konsert Muzika Arabia bulan depan.

"Biar pun sudah 39 tahun menjadi penyanyi, saya akui masih gementar untuk menjayakannya.  Maklumlah, konsert itu besar dan rasa gementar itu memang tidak dapat dielakkan.  Tidak kiralah beberapa lama seseorang itu sudah menyanyi.  Kalau ditanya soal perasaan, tetap gementar sehinggalah kita dapat tahu konsert itu berjaya.  Saya bertekad ingin membuat persembahan terbaik dalam konsert ini nanti.  Ia penting kerana saya mahu peminat yang datang ke IB menyaksikannya dengan puas," katanya.  Katanya, dia perlu melakukan persiapan rapi kerana peminat sanggup membayar harga yang mahal, jadi semestinya mereka mengimpikan persembahan hebat.  Kak Pah harapkan mereka dapat apa yang diinginkan.

Selain persiapan stamina, Kak Pah juga dipersiapkan dengan perhiasan mewah dan pakaian hebat rekaan pereka terkenal.  Sharifah Aini menggayakan set aksesori Mutiara Hitam Tahiti bernilai RM1.1 juta tajaan Rafflesia The Pearl Centre (Rafflesia) di Hotel Parkroyal baru-baru ini.  Pada konsert itu nanti, Kak Pah dijangka menggayakan aksesori mutiara, jed dan delima daripa Rafflesia bernilai hampir 30 juta selama tiga malam persembahan.

Selain itu, Sharifah Aini juga akan menggayakan sembilan busana khas rekaan tiga pereka fesyen berbakat, Michael Shu, Calvin Thoo dan Jovian Mandagie.  Mengenai persediaannya menjelang Konsert Muzika Arabia itu, Sharifah Aini akan memulakan latihan di IB bermula 5 Ogos sehingga 15 Ogos ini.  Katanya, dia kini sedang mengumpul tenaga.  "Saya akan menyanyikan kira-kira 20 lagu yang pernah dipopularkan penyanyi irama padang pasir epeerti Fairuz, Amr Diab, Shereen dan Fadlhil Shaker.  Saya juga akan berduet dengan Yasin dalam lagu Nour El-Ain," katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Layak Digelar 'Permata Negara' (Berita Minggu: Bi-Pop 26 Ogos 2007)

  Arabian Splendour (New Straits Times  Monday, 20 August 2007)

  Jelmaan Fayrouz (Berita Harian  Isnin, 20 Ogos 2007)

  Kak Pah Lawan Sakit Hibur Peminat (Harian Metro Sabtu, 18 Ogos 2007)

  Kelunakan Vokal Kah Pah Bergema Di IB Mulai Esok (Berita Harian Rabu, 15 Ogos 2007)

  Misi Tiga Pereka Ubah Imej Kak Pah (Berita Harian Selasa, 7 Ogos 2007)

  Aksesori RM30 Juta Iringi Nyanyian Sharifah Aini (Berita Minggu 29 Julai 2007)

  Kah Pah Teruja Konsert Muzika Arabia 16 Ogos (Berita Harian Selasa, 24 Julai 2007)

  Kah Pah Tunggu 40 Tahun (Harian Metro Khamis, 19 Julai 2007)

  Kembali Gegar IB (Berita Harian Jumaat, 13 Julai 2007)

  Sharifah Aini Bakal Gegar IB (Harian Metro Isnin, 9 Julai 2007)

  Konsert Muzika Arabia Sharifah Aini Di Istana Budaya (Berita Minggu 8 Julai 2007)