JELMAAN FAYROUZ

oleh Zul Husni Abdul Hamid  (Berita Harian: Isnin, 20 Ogos 2007)

Kak Pah layarkan impian di Panggung Sari

Empat dekad mengabdikan dirinya kepada dunia seni betapa jauh di sudut hatinya, kepuasan yang dicari masih belum ditemui.  Perjalanan panjang itu menghimpun impian menggunung yang tidak pernah bertepi, tidak berpenghujung.  Dia masih mahu melayari mimpi indahnya dan malam Khamis lalu, saat dia mahu melelapkan mata ketika ucapan selamat malam singgah di cuping pendengarannya, bibirnya sudah mampu tersenyum puas.   Betapa mimpi yang sekian lama tersimpan di lubuk hatinya yang dalam bertukar menjadi realiti manis sepanjang hampir 40 tahun dia menimba pengalaman di pentas seni.

Konsert Muzika Arabia dengan penampilan khas biduanita unggul, Datuk Sharifah Aini yang berlangsung selama tiga malam di Panggung Sari, Istana Budaya, mengakhiri penantiannya selama ini.  Betapa luahan keinginan itu tidak langsung lekang di bibirnya yang sentiasa tersenyum manis ketika tirai persembahan diselak pada malam 16 Ogos lalu.  Ketika dirinya dihambat masalah paling digeruni setiap insan seni bernama penyanyi iaitu sakit tekak, semangatnya sedikit pun tidak luntur untuk memberikan persembahan sebaik mungkin.

Betapa kelunakan suara emas yang sudah agak lama tidak berkumandang di pentas bertaraf antarabangsa itu begitu dirindui, justeru walaupun sebahagian besar penonton tidak memahami lagu yang disampaikan ternyata ia masih mampu menghiburkan.  Sempadan bahasa berjaya diruntuhkan dan seni muzik yang tiada sempadan menyatukan umat manusia daripada seluruh pelusuk untuk turut sama menghayati keasyikan dan kelunakan lagu yang dialunkan bersilih ganti dengan penuh penghayatan.

Tirai persembahan Konsert Muzika Arabia diselak penyanyi berdarah kacukan, Yasin Sulaiman yang mempersembahkan penuh bertenaga dua lagu, Bat Haddah Al A'lam (Cabaran Terhadap Dunia) yang dipopularkan Saber Al Roba'i dan Sadaqny Khalas (Percaya Padaku) milik Amr Diab.  Menyusul nyanyian yang menyentuh perasaan lewat Habibi yang pernah dipopularkan Julia Boutrous dialunkan dengan vokal berkarisma daripada Habibah Yacob, sebelum Sharifah Aini mengambil alih pentas.

Kekagumannya terhadap legenda Timur Tengah, Fayrouz jelas apabila sebahagian besar lagu yang dipersembahkannya pada malam itu ialah milik penyanyi wanita yang masyhur di hati pencinta irama Arab.  Aatini Nay (Ku Dendangkan), El Bent Chalabia (Anakku Chalabia), Habbaitak Bi Sittin (Cinta Di Musim Panas), Akhir Iya Mil Saifiyih (Perpisahan Di Musim Panas) dan Sa'lu Lin Nas (Ku Mohon Padamu) adalah antara lagu nyanyian Fayrouz yang disampaikannya pada malam itu.  "Nyanyian saya mungkin tidak sebaik Fayrouz tetapi saya akan membawakan lagu nyanyiannya dengan sebaik mungkin," kata Sharifah Aini merendah diri, sesekali memohon maaf kerana masalah kesihatan yang mengganggu kelancaran persembahannya malam itu.

Membesar dengan lagu Arab, penyanyi kelahiran Johor itu yang menggayakan rekaan Jovian Mandagie serta set barangan kemas daripada Rafflesia The Pearl Centre pada malam itu masih sempat berkongsi cerita dengan penonton.  Untuk malam kedua dan terakhir, biduanita malar segara itu melaram dengan pakaian rekaan Calvin Thoo dan Michael Shu.  "Fayrouz ialah antara penyanyi yang ingin saya temui tetapi saya tahu perkara itu mustahil akan berlaku.  Sebab itu malam ini saya abadikan sebahagian besar lagu nyanyiannya kerana bahasanya yang indah," katanya.  Selepas berehat seketika, tetamu dihiburkan kembali dengan kelunakan suara Habibah yang membawakan lagu Ta'awadna Alayk (Aku Serah Padamu) serta kerancakan persembahan Mastura Hassan menerusi lagu Oheboka Geddan (Dikau Amat Ku Cintai).

Menyusul segmen kedua, lagu Melayu yang pernah dipopularkannya pada era 70-an termasuk Hapuslah Air Matamu, Di Malam Persandingan dan Inikah Balasan.  Saat itu juga penyanyi yang akrab disapa sebagai Kak Pah ini meluahkan kerisauannya terhadap sakit tekak yang dialaminya.  "Saya rasa macam nak menangis apabila menyanyi tidak sampai.  Mungkin kerana kami bekerja terlalu keras, berlatih setiap hari dan akhirnya perkara yang paling ditakuti penyanyi pun berlaku iaitu sakit tekak," katanya tidak malu mengakui kekurangan pada persembahan pertamanya pada malam Khamis lalu.  Selain lagu yang pernah dipopularkannya, penyanyi itu tidak lupa menitipkan You're Still You daripada Josh Groban dan Smile (Frank Sinatra).

Kalau tidak diberitahu, penonton tidak akan tahu bahawa biduanita itu mengalami sakit tekak kerana dia masih mampu melontarkan suaranya dengan begitu merdu.  Walau pun berdepan dengan cabaran itu persembahan yang diiringi pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mirza Abdullah, menyaksikan kesungguhan penyanyi ini dalam memartabatkan sentuhan indah untuk dinikmati bersama peminat muzik rantau ini.  Dan Sharifah Aini akan tetap menyinar di langit seni sebagai bintang yang terus mengerdip di maya muzik Melayu dan akan dikagumi oleh penggemar yang menyukai kelunakan suaranya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Layak Digelar 'Permata Negara' (Berita Minggu: Bi-Pop 26 Ogos 2007)

  Arabian Splendour (New Straits Times Monday, 20 August 2007)

  Kak Pah Lawan Sakit Hibur Peminat (Harian Metro Sabtu, 18 Ogos 2007)

  Kelunakan Vokal Kah Pah Bergema Di IB Mulai Esok (Berita Harian Rabu, 15 Ogos 2007)

  Misi Tiga Pereka Ubah Imej Kak Pah (Berita Harian Selasa, 7 Ogos 2007)

  Aksesori RM30 Juta Iringi Nyanyian Sharifah Aini (Berita Minggu 29 Julai 2007)

  Debar Tunggu 16 Ogos (Harian Metro Jumaat, 27 Julai 2007)

  Kah Pah Teruja Konsert Muzika Arabia 16 Ogos (Berita Harian Selasa, 24 Julai 2007)

  Kah Pah Tunggu 40 Tahun (Harian Metro Khamis, 19 Julai 2007)

  Kembali Gegar IB (Berita Harian Jumaat, 13 Julai 2007)

  Sharifah Aini Bakal Gegar IB (Harian Metro Isnin, 9 Julai 2007)

  Konsert Muzika Arabia Sharifah Aini Di Istana Budaya (Berita Minggu 8 Julai 2007)