KONSERT MUZIKA ARABIA SHARIFAH AINI DI ISTANA BUDAYA

oleh Roslen Fadzil  (Berita Minggu: Bi-Pop, 8 Julai 2007)

Berlangsung di Panggung Sari, selama tiga malam mulai 16 Ogos, bertujuan memeriahkan kunjungan hangat pelancong Asia Barat di ibu negara

Kebanjiran pelancong asing terutama dari Asia Barat dan Timur Tengah ke Kuala Lumpur memang tidak dapat dipertikaikan apatah lagi dengan adanya kempen besar-besaran bersempena Tahun Melawat Malaysia 2007.  Perubahan ketara dapat dilihat di persekitaran Bukit Bintang Kuala Lumpur apabila ia menjadi pusat tumpuan pelancong Arab sehingga mewujudkan banyak papan tanda serta pusat menjamu selera bertulisan jawi.  Keadaan ini mewarnakan lagi panorama Kuala Lumpur sebagai bandaraya metropolitan yang menjadi tumpuan pengunjung dari seluruh dunia.

Menyedari jumlah pelancong Asia Barat dan Timur Tengah semakin bertambah dengan pesat sekali terutama sekitar Julai dan Ogos setiap tahun, (tidak termasuk sebilangan besar warga Arab yang bekerja dan belajar di negara ini), Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKwa) serta Kementerian Pelancongan Malaysia tampil menyokong sebuah persembahan istimewa bulan depan.  Bergelar Muzika Arabia, konsert yang julung kali dianjurkan di Malaysia itu bakal menonjolkan kemampuan Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini, mendendangkan koleksi lagu Arab evergreen dan popular diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan.  Ia anjuran Legend Shine Sdn Bhd dan mengambil tempat di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 16 hingga 18 Ogos ini.

Mengumumkan perkara ini kepada Bintang Popular, di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, Pengerusi Legend Shine, Datuk Fuad Hassan, berkata penganjuran konsert Muzika Arabia bak sebuah jambatan yang menyambungkan tamadun kebudayaan di Malaysia dan Asia Barat.  "Kita sedar jumlah pelancong Arab ke Malaysia semakin bertambah.  Pada Julai dan Ogos saja tahun ini saja, kita menjangkakan sejumlah 300,000 pelancong Arab akan datang ke Malaysia.  Selama ini kita sudah sediakan pelbagai juadah yang enak, tempat beli-belah serta tempat rekreasi yang menarik, cuma dari segi hiburan yang sesuai, ia masih kurang.

"Jadi selepas berbincang dengan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, kita bersetuju untuk menganjurkan konsert Muzika Arabia pada 16 hingga 18 Ogos ini di Istana Budaya.  Dalam penelitian kita, tiada penghibur lain di negara kita selayaknya diberi penghormatan membuat konsert bersejarah ini selain Datuk Sharifah Aini.  Latar belakang beliau yang pernah bersekolah Arab dan menjadi qariah menjadi satu kelebihan diri.  Selama ini pun kita sudah banyak disogokkan dengan konsert Bollywood sedangkan budaya Arab lebih dekat dengan jiwa orang-orang kita. Inilah masa terbaik untuk kita menyemarakkan lagi lagu-lagu Arab dan kita berbangga dapat bekerjasama dengan Datuk Sharifah," kata Fuad.

Apa yang menarik, selama lebih dua jam setengah, Sharifah akan mendendangkan kira-kira 20 lagu yang pernah dipopularkan penyanyi irama padang pasir seperti Fairuz, Amr Diab, Shereen dan Fadl Shaker.  Antara lagu yang bakal didendangkan ialah Aaatini Nay, Kalby Ekhtarak, Nassam Alayna, Nour El Ain dan Nahne Wel Amar Jirane (lagu asal Di Malam Persandingan).  Selain itu, Sharifah tidak ketinggalan menyelitkan lagu hit Melayunya untuk diketengahkan kepada pelancong asing seperti Teratai, Bunga Tanjung, Hapuslah Airmatamu dan Inikah Balasannya.

Fuad berkata, pemilihan Sharifah juga disebabkan kehebatan beliau yang tiada tandingan dan pernah merakamkan kira-kira 50 lagu berentak Timur Tengah dalam albumnya selama bergelar artis rakaman di Malaysia dan Singapura.  "Sharifah Aini seorang penghibur yang sungguh versatile dan belum ada klon.  Sebutan dan penghayatan beliau terutama untuk lagu Arab memang mempesonakan.  Jadi beliaulah paling layak menjayakan Muzika Arabia ini bersama orkestra besar," tegas Fuad lagi.

Dr Sheikh Muszaphar kagumi Datuk Sharifah

Selain Datuk Sharifah Aini, penyanyi dan komposer lagu etnik popular, Yassin (Mimpi Laila, Kerna Dia) akan turut memantapkan Muzika Arabia.  Yassin yang agak lama menyepikan diri akan menyampaikan beberapa lagu Arab popular seperti Sadaqny Khalas dan Omri Kellou.  Seorang lagi penyanyi veteran akan diundang sama iaitu Habibah Yaakub (penyanyi lagu Malam Ini Kita Berpisah).  Apa yang pasti, sebagai persiapan, Sharifah akan mula berlatih dengan giat bersama barisan pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustaffa Fuzer Nawi serta Mirza Abdullah (suami Salimah Mahmood).

Penampilan Sharifah kelak akan ditaja butik barang kemas terkenal, Rafflesia The Pearl Centre & Mandalay.  Selain busana sentuhan pereka fesyen tanah air terkenal, beliau juga akan bergaya dengan koleksi barang kemas Rafflesia yang ditempah khas buat dirinya.  "Saya amat berterima kasih kepada pihak kementerian dan Datuk Fuad Hassan yang sudi menyokong konsert istimewa ini.  Memanglah menyanyi nampak macam senang tapi tanggung jawabnya sungguh berat.  Saya berazam memberikan corak persembahan yang terbaik kepada semua penonton pada ketiga-tiga malam itu," kata Sharifah ketika ditemui di Restoran Rebung, Bangsar, malam Rabu lalu.

Pada majlis itu, Sharifah beramah mesra dengan ramai editor majalah dan akhbar tempatan, sekali gus meraikan ulang tahun hari jadinya yang jatuh pada 2 Julai lalu.  Pada majlis yang sama, kebetulan bakal angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor turut hadir sama sambil bermesra dengan penghibur kesayangan ramai itu serta semua tetamu.  Dr Sheikh Muszaphar berkata, dia begitu mengagumi Sharifah sejak di bangku sekolah lagi.  "Datuk Sharifah Aini adalah tokoh dan legenda seni negara kita.  Sejak dulu hingga sekarang, suaranya tetap lunak dan memukau," katanya Dr Muzaffar yang tampak semakin segar dan kacak sejak menetap di Russia.

Bagi peminat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai konsert Muzika Arabia serta harga tiket, mereka bolehlah menghubungi Legend Shine di alamat Wisma Zelan, Suite 19.08, Tingkat 19, Jalan Tasik Permaisuri 2, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Tel: 03 -9171 1245 / 9173 4890 atau faks: 03- 9171 1251.  Sidang media mengenai konsert ini akan berlangsung di ibu negara minggu depan dan nantikan juga kemunculan Sharifah di kaca TV dan radio tempatan untuk memperkatakan lebih mendalam mengenai persembahan itu.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Layak Digelar 'Permata Negara' (Berita Minggu: Bi-Pop 26 Ogos 2007)

  Arabian Splendour (New Straits Times  Monday, 20 August 2007)

  Jelmaan Fayrouz (Berita Harian  Isnin, 20 Ogos 2007)

  Kak Pah Lawan Sakit Hibur Peminat (Harian Metro Sabtu, 18 Ogos 2007)

  Kelunakan Vokal Kah Pah Bergema Di IB Mulai Esok (Berita Harian Rabu, 15 Ogos 2007)

  Misi Tiga Pereka Ubah Imej Kak Pah (Berita Harian Selasa, 7 Ogos 2007)

  Aksesori RM30 Juta Iringi Nyanyian Sharifah Aini (Berita Minggu 29 Julai 2007)

  Debar Tunggu 16 Ogos (Harian Metro Jumaat, 27 Julai 2007)

  Kah Pah Teruja Konsert Muzika Arabia 16 Ogos (Berita Harian Selasa, 24 Julai 2007)

  Kah Pah Tunggu 40 Tahun (Harian Metro Khamis, 19 Julai 2007)

  Kembali Gegar IB (Berita Harian Jumaat, 13 Julai 2007)

  Sharifah Aini Bakal Gegar IB (Harian Metro Isnin, 9 Julai 2007)