MISI TIGA PEREKA UBAH IMEJ KAK PAH oleh Nurulhisham Abdul Latiff (Berita Harian: Selasa, 7 Ogos 2007) |
Sentuhan Barat tetapi tidak abaikan ciri wanita Timur untuk Muzika Arabia Bukan mudah mengajak diva nan satu ini untuk melaram sakan ketika membuat persembahan terutama untuk sebuah konsert yang besar dan berprestij. Yang selalu kita lihat, Datuk Sharifah Aini akan memilih untuk bergaya ringkas tetapi tetap mengekalkan gaya elegan dan anggun. Kalau tiada sebarang persembahan dan sekadar memenuhi jemputan, penyanyi bersuara lunak merdu ini lebih gemar memakai baju kurung pesak saja. Sudah resmi orang Johor yang begitu bangga dengan busana kurung yang diakui sesuai semua majlis. Bagaimanapun untuk persembahan Muzika Arabia pada 16 Ogos hingga 18 Ogos ini di Istana Budaya, tiga pereka fesyen Calvin Thoo, Jovian Mandagie dan Michael Shu berjaya untuk meyakinkan Biduanita Negara ini untuk bergaya luar daripada biasa. Saya ingin mengubah imej Kak Pah yang sering tampil dengan imej tradisional, kata Jovian yang pernah menata busana beberapa selebriti popular seperti Ning Baizura dan Nikki. Bagaimanapun yang membuatkan pereka muda ini popular adalah apabila timbul kekecohan membabitkan penyampai radio Era, Linda Onn. Jovian akan menggabungkan rekaan Indonesia dan Arab untuk tiga busana rekaannya yang berwarna emas perak, biru itik nila dan champagne black itu. Kak Pah jangan risau kerana walaupun ada sentuhan Barat tetapi ia tidak lari daripada ciri wanita Timur. Potongan tak akan terdedah. Saya berterima kasih kepada Kak Pah kerana memberi kebebasan pada saya untuk mengubah imejnya pada malam itu, katanya. Calvin yang banyak bekerjasama dengan artis terkemuka tanah air seperti Misha Omar, Adibah Noor dan Jaclyn Victor juga amat teruja apabila diberitahu oleh Bill Bora, pengurus publisiti bagi Rafflesia Sdn Bhd memintanya untuk menyertai projek yang akan menyaksikan penyanyi malar segar itu mendendangkan lagu Arab. Saya akan menggunakan kain creep dan sifon dengan warna seperti merah jambu, ungu dan jingga untuk menampilkan Kak Pah sebagai wanita elegan. Kita tahu Kak Pah sering bergaya elegan dan imej itu tidak harus dikikis, kata Calvin yang menyediakan tiga busana elegan ringkas tetapi eksklusif untuk biduanita ini. Bagi Michael Shu pula yang memang terkenal dengan kepakarannya melakar motif batik dia mahu Sharifah Aini kelihatan sebagai permaisuri. Saya percaya rekaan batik yang akan ditampilkan menyerlahkan lagi penampilannya. Saya mahu Kak Pah kelihatan lain daripada yang lain pada malam itu, kata Michael yang mula sibuk menyiapkan pakaian yang akan diperagakan penyanyi itu. Mengiringi sembilan busana eksklusif rekaan ketiga-tiga pereka fesyen ini adalah aksesori tajaan Rafflesia yang bernilai lebih RM30 juta. Pengarah Urusan Rafflesia, Winnie Sin pula berkata dia juga amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan penyanyi itu dalam sebuah projek anjuran Legend Shine Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Astro. Kak Pah akan bergaya dengan aksesori daripada jenama Rafflesia dan Mandalay. Pihak kami juga akan berusaha untuk menempah set aksesori yang baru dari Hong Kong untuk diperagakan pada malam persembahan itu, kata Winnie yang ternyata amat teruja kerana inilah pertama kali syarikatnya bekerjasama dengan biduanita ini. Sebelum ini, Rafflesia banyak menaja aksesori selebriti popular yang lain termasuk Datuk Siti Nurhliza, Erra Fazira dan Nasha Aziz. Mahu Ke Dunia Arab Kembang Kerjaya? Pada ketika penyanyi dari Asia Barat kencang diundang mengadakan persembahan mahu pun konsert di negara ini sejak akhir-akhir ini, Sharifah Aini tidak mahu menaruh harapan terlalu tinggi untuk mengembangkan sayap di negara Arab. Walaupun sudah hampir empat dekad menghambakan diri pada dunia seni, serta lagu Arab itu sendiri amat dekat dengannya, beliau tetap tidak mahu mengukir cita-cita yang menggunung itu bimbang apa yang diimpikan tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, wanita popular ini lebih suka mengambil sikap tunggu dan lihat, sama ada Konsert Muzika Arabia ini baik pada pandangan mata peminat atau sebaliknya. Sudah semestinya Kak Pah amat bersyukur seandainya ada undangan untuk mengadakan persembahan di negara Arab. Pada masa yang sama, Kak Pah tidak kecewa jika peluang sedemikian tidak menjelma. Kak Pah sudah 39 tahun menyanyi dan Kak Pah seboleh-bolehnya tidak mahu menyimpan impian terlalu tinggi. Namun, konsert itu nanti pasti akan dinilai oleh orang ramai yang datang menyaksikannya. Jika mereka berasakan Kak Pah layak untuk mengadakan persembahan di Asia Barat dan ada undangan untuk Kak Pah berbuat demikian, Kak Pah bersedia menerimanya, ujar penyanyi yang lebih mesra membahasakan dirinya sebagai Kak Pah ketika ditemui di Butik Calvin Thoo, Lot 10, Bukit Bintang. Mengenai Muzika Arabia, kami sendiri teruja untuk mengetahui sambutan orang ramai. Tiga malam itu sudah memadai, tetapi jika sambutannya luar biasa dan pihak penganjur berasakan Kak Pah harus menambah persembahan sehari lagi, Kak Pah bersedia. Ketika Kak Pah mengadakan konsert ghazal pada September 2004 dulu pun, persembahan tambahan turut diadakan bagi memenuhi permintaan penonton, katanya yang membayangkan kemungkinan untuk muncul dalam lebih banyak persembahan pada tahun depan apabila album terbaru muncul di pasaran. FAKTA Sharifah Aini akan menyanyikan kira-kira 20 lagu yang dipopularkan penyanyi veteran Asia Barat seperti Fairuz, Amr Diab, Shereen dan Fadl Shaker. Beliau akan turut menyanyikan empat lagu Melayu, untuk dinikmati peminat serta penonton asing. Lagu berkenaan ialah Teratai, Bunga Tanjung, Hapuslah Air Matamu dan Inikah Balasannya. Sharifah ialah penyanyi utama Konsert Muzika Arabia. Diundang sama pada persembahan itu nanti ialah Habibah Yakob, Yasin dan Mastura Hassan. Semua persembahan mereka akan diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan pimpinan Mustapha Fuzer dan Mirza Abdullah Latihan bersama pemuzik akan bermula 6 Ogos ini. Ketika ini, Sharifah banyak melakukan persiapan sendiri, dengan bantuan Yasin yang akan turut berduet bersamanya. Tiket menyaksikan Konsert Muzika Arabia dijual pada harga RM58, RM138, RM238 dan RM338. Ia boleh dibeli secara online dengan melayari laman web www.ticket2u.biz atau telefon 03-40265558 / 03-41498600. Artikel lain yang berkaitan: Sharifah Aini Layak Digelar 'Permata Negara' (Berita Minggu: Bi-Pop – 26 Ogos 2007) Arabian Splendour (New Straits Times – Monday, 20 August 2007) Jelmaan Fayrouz (Berita Harian – Isnin, 20 Ogos 2007) Kak Pah Lawan Sakit Hibur Peminat (Harian Metro – Sabtu, 18 Ogos 2007) Kelunakan Vokal Kah Pah Bergema Di IB Mulai Esok (Berita Harian – Rabu, 15 Ogos 2007) Aksesori RM30 Juta Iringi Nyanyian Sharifah Aini (Berita Minggu – 29 Julai 2007) Debar Tunggu 16 Ogos (Harian Metro – Jumaat, 27 Julai 2007) Kah Pah Teruja Konsert Muzika Arabia 16 Ogos (Berita Harian – Selasa, 24 Julai 2007) Kah Pah Tunggu 40 Tahun (Harian Metro – Khamis, 19 Julai 2007) Kembali Gegar IB (Berita Harian – Jumaat, 13 Julai 2007) Sharifah Aini Bakal Gegar IB (Harian Metro – Isnin, 9 Julai 2007) Konsert Muzika Arabia Sharifah Aini Di Istana Budaya (Berita Minggu – 8 Julai 2007) |