KEMBALI GEGAR IB

oleh Zul Husni Abdul Hamid  (Berita Harian: Jumaat, 13 Julai 2007)

Konsert Muzika Arabia Tiga Malam

"Ia cukup istimewa dan belum pernah dibuat sebelum ini," kata Datuk Sharifah Aini dalam nada suara yang cukup teruja, tatkala berbicara mengenai perkembangan terbarunya.  Ogos ini, selama tiga malam bermula 16 Ogos, penyanyi bersuara lunak ini akan menjayakan persembahan istimewa berjudul Muzika Arabia.  Bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, keasyikan vokal Sharifah Aini mengalunkan lagu irama padang pasir akan berkumandang menghiburkan ribuan peminatnya.

"Memikirkan hari persembahan yang semakin dekat, hati saya tambah berdebar.  Konsert ini sedikit berbeza dan agak mencabar.  Saya berusaha keras untuk memastikan ia berjalan lancar" - Sharifah AiniPastinya konsert yang julung kali dianjurkan itu tidak hanya mensasarkan peminatnya di kalangan penduduk tempatan, malah turut menggamit pencinta seni luar, terutama masyarakat Arab.  Pada persembahan berkenaan, penyanyi bersuara emas itu akan mengalunkan hampir 20 lagu Arab daripada penyanyi popular Timur Tengah seperti Fairuz dan Amr Diab.

"Memikirkan hari persembahan yang semakin dekat, hati saya tambah berdebar.  Konsert ini sedikit berbeza dan agak mencabar.  Saya berusaha keras untuk memastikan ia berjalan lancar.  Apabila sudah diberi kepercayaan yang besar, mengapa tidak saya mencuba?  Ada ketika saya sendiri tertanya mengapa saya diberi kepercayaan untuk menjayakan konsert yang belum pernah dilakukan artis tempatan?  Selama 39 tahun menyanyi, konsert ini sangat bermakna dalam karier saya.  Saya akan memberikan yang terbaik walaupun saya tahu ia tidak mudah dilaksanakan kerana melodi dan gaya nyanyian lagu Arab sangat berbeza," katanya yang pernah membuat persembahan di IB kira-kira tiga tahun lalu.

Bakal mengundang penyanyi Yasin untuk berduet dengannya menerusi lagu Nour El Ain, Sharifah Aini berkata, ketika ini apa yang bermain di fikirannya ialah bagaimana untuk membina momentum persembahan itu.  Meskipun tidak menghadapi kesukaran dengan bahasa indah itu, dia tetap risaukan masalah sebutan.  Disebabkan itu, latihan memainkan peranan sangat penting dan ia sudah pun bermula sejak beberapa hari lalu.

"Saya sendiri sudah tidak sabar lagi untuk menjayakan konsert ini," katanya mengenai persembahan bagi mengisi kalendar aktiviti Tahun Melawat Malaysia 2007 dan bakal diterajui pengarah muzik terkenal, Mustafa Fuzer Nawi dan Mirza Abdullah.  Meminati lagu Arab terutama nyanyian Fairuz, Sharifah Aini berkata, dia kagum dengan penyanyi legenda itu yang disifatkannya mempunyai magis apabila berdiri di pentas.  Lebih membuatkannya kagum, persembahan penyanyi itu sentiasa dinanti oleh peminat yang sanggup bersesak hanya kerana ingin melihat kemunculannya.

"Bayangkan dia hanya perlu berdiri dan menyanyi.  Suaranya saja sudah cukup membuat peminat terpesona," katanya pada satu pertemuan bersama pihak media dan kenalan terdekatnya di Restoran Rebung, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.  Penyanyi yang bakal lahir dengan album baru yang mengangkat judul, Warisan Dan Irama Terindah Malaysia tidak lama lagi berkata, dia juga sedang mempersiapkan stamina untuk konsert itu dengan melakukan senaman ringan.  Setiap pagi, dia akan berjalan kaki selama tiga kilometer di samping menjaga pemakanan dan kesihatan supaya tampil bertenaga untuk konsert itu.

Untuk sebarang keterangan lanjut mengenai konsert ini hubungi Legend Shine di talian 03-91711245 / 91734890 (Noor Azila Othman) atau e-mel nora_zul@yahoo.com

  INFO Album terbaru Sharifah Aini 

  Menyifatkan Warisan dan Irama Terindah Malaysia sebagai sebuah album yang begitu diidamkannya, album yang menelan belanja besar ini dibuat menggunakan modal sendiri.  Memuatkan 40 lagu, ia ditangani dua pengarah muzik terkenal iaitu Ramli MS dan Pak Ngah.

  Dalam album itu juga, Sharifah Aini menyatakan penghargaannya kepada penyanyi tempatan seperti Jamal Abdillah, M Nasir, Noraniza Idris dan Ella apabila merakamkan semula lagu yang pernah dipopularkan mereka seperti Takdir Penentu Segala, Ghazal Untuk Rabiah, Bila Rumi Menari, Awallah Dondang dan Sembilu.

  Bakal diiringi 110 pemuzik dan sebahagian daripada susunan bunyian string dilakukan di Amerika syarikat, album itu menyatukan irama seperti ghazal, deli, pop dan balada dalam satu produksi

  Turut merakamkan sebuah lagu baru, Aku Masih Di Sini ciptaan Yasin, penyanyi itu turut terbabit dalam pembikinan 15 klip video lagu untuk album itu.  Malah, Sharifah Aini berharap album itu akan berada di setiap kediaman rakyat Malaysia kerana ia menghargai keindahan serta keasyikan komposisi tempatan.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Layak Digelar 'Permata Negara' (Berita Minggu: Bi-Pop 26 Ogos 2007)

  Arabian Splendour (New Straits Times Monday, 20 August 2007)

  Jelmaan Fayrouz (Berita Harian  Isnin, 20 Ogos 2007)

  Kak Pah Lawan Sakit Hibur Peminat (Harian Metro Sabtu, 18 Ogos 2007)

  Kelunakan Vokal Kah Pah Bergema Di IB Mulai Esok (Berita Harian Rabu, 15 Ogos 2007)

  Misi Tiga Pereka Ubah Imej Kak Pah (Berita Harian Selasa, 7 Ogos 2007)

  Aksesori RM30 Juta Iringi Nyanyian Sharifah Aini (Berita Minggu 29 Julai 2007)

  Debar Tunggu 16 Ogos (Harian Metro Jumaat, 27 Julai 2007)

  Kah Pah Teruja Konsert Muzika Arabia 16 Ogos (Berita Harian Selasa, 24 Julai 2007)

  Kah Pah Tunggu 40 Tahun (Harian Metro Khamis, 19 Julai 2007)

  Sharifah Aini Bakal Gegar IB (Harian Metro Isnin, 9 Julai 2007)

  Konsert Muzika Arabia Sharifah Aini Di Istana Budaya (Berita Minggu 8 Julai 2007)