SHARIFAH AINI MENCECAH PUNCAK KAYANGAN

oleh Saharudin Musthafa (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 18 Jun 2000)

Memukau ... Sharifah Aini dalam empat aksi berbeza ketika mengadakan persembahan di DBKL minggu lalu

Tiada kata yang dapat diucapkan mengenai 'Konsert Di Pinggir Kayangan Sharifah Aini' yang diadakan selama dua malam pada hujung minggu lalu kecuali pujian dan ucapan syabas kepada biduanita veteran itu dan Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pimpinan Ishak Ali Muda yang mengiringinya.  Setelah 31 tahun menyerikan pentas hiburan tanah air, Sharifah Aini ternyata masih mampu memberikan persembahan yang hebat dan memukau para penonton dengan suaranya yang lemak merdu dan tatkalanya lantang, sesuai dengan irama Melayu yang menjadi tema konsert tersebut.

Malah, andai mahu diibaratkan konsert ini sebagai hidangan, kesimpulan yang dicapai ialah konsert istimewa dan eksklusif itu bagaikan hidangan yang lengkap dengan segala ramuan.  Tanpa perlu menambah sebarang perisa mahupun garam, hidangan pada dua malam konsert itu nyata mengenyangkan khalayak.  Di hadapan penonton di auditorium DBKL yang terdiri daripada golongan menengah dan atasan, Konsert Sharifah Aini Di Pinggir Kayangan terus membuktikan personaliti yang juga seorang legenda muzik tanah air itu masih punya pengaruh tersendiri.

Mereka yang berkesempatan membuat pelaburan sehingga RM200 barangkali tidak mempunyai sebarang sebab untuk merungut mahupun mengungkit dengan pelaburan yang dibuat.  Ini kerana, setiap penonton pulang bukan sahaja dengan kegembiraan tetapi kepuasan memandangkan 'Konsert Di Pinggir Kayangan Sharifah Aini' berjaya menarik perhatian penonton dari segenap sudut.

Gembira ... senyuman penuh kepuasan daripada bintang legenda, Sharifah AiniSebagai seorang penghibur wanita yang berusia pertengahan 40-an, Sharifah Aini masih berjaya memukau khalayak dengan kekuatan stamina yang ada padanya kerana tidak semua penghibur yang lebih muda daripadanya mampu berbuat demikian.  Dia langsung tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda keletihan, sebaliknya senyuman kepuasan sentiasa terukir di wajahnya yang penuh dengan tahi lalat itu.  Mungkin juga Sharifah merasakan inilah sumbangannya kepada peminat yang selama ini setia memberi sokongan padu kepadanya dan kerana itu sebahagian daripada hasil kutipan konsert ini akan disalurkan kepada tabung kanak-kanak yang menghidap penyakit leukemia sebagai tanda terima kasihnya.

Sharifah yang menyambut sambutan ulang tahun ke-31 penglibatannya dalam bidang seni pastinya pada ketika ini boleh tersenyum dan sudah mampu untuk tidur lena kerana berjaya mencecah kayangan setelah tanggungjawab itu diselesaikan dalam suasana penuh harmoni dan romantis sekali.  Harmoni kerana sambutan penonton amat memberangsang khususnya pada malam pertama berbanding pada malam kedua di mana ada ketikanya Sharifah secara berjenaka mahu 'lari' ke Amerika Syarikat kerana tepukan yang kedengaran agak lemah.

Malah konsert itu juga meletakkan dirinya di tangga teratas sebagai penghibur tanah air yang tidak pernah jemu dan terus komited dengan karier seninya.  Sharifah bukan sahaja memukau perhatian penonton kerana suara emasnya tetapi juga dikagumi kerana semangat kental memperjuangkan muzik Melayu yang sebelum ini pernah dilabelkan sebagai muzik kelas kedua.

Pada dua malam konsert tersebut, Sharifah nyata menafikan segala pandangan songsang mengenai keindahan lagu-lagu Melayu yang sebelum ini pernah ditolak oleh sesetengah golongan yang kononnya jarang sekali mendengar lagu Melayu.  Menggunakan pengaruhnya yang sememangnya masih lagi besar, Sharifah juga menarik perhatian golongan korporat di samping beberapa kenamaan lain yang tidak ketinggalan hadir memberikan sokongan kepadanya.

Keadaan ini mengingatkan kita apakah bintang legenda tanah air itu masih tidak boleh diberi peluang mengadakan persembahan di dewan yang lebih eksklusif dan berprestij seperti Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dan Istana Budaya?  Adalah sesuatu yang cukup malang jika hakikat mengenai apa yang sudah dibuktikan oleh penghibur kelahiran Johor Bahru itu dinafikan oleh pihak pengurusan kedua-dua dewan eksklusif itu.

Bersama 65 pemuzik daripada orkestra DBKL, Sharifah turut menggabungkan sepenuhnya kekuatan stamina serta gaya komunikasi termasuk celoteh dan gurauan yang nyata menghiburkan.  'Kiblat' Sharifah pada kedua-dua malam konsert itu ialah irama lagu Melayu yang nyata punya keindahan dan kedudukan tersendiri, apatah lagi dengan gabungan susunan muzik yang dilakukan oleh Johari Salleh.

Sejumlah 29 lagu yang dipersembahkan Sharifah dengan dibantu oleh empat penyanyi latar (remaja ini juga tidak kurang hebatnya) termasuk dua lagu Arab yang bakal dimuatkan dalam album terbarunya.  'Semalam Di Malaya', 'Tiba Tiba Rindu', 'Kain Songket', 'Kenang Daku Dalam Doamu' serta lagu yang dicipta pada tahun 40-an, 'Bunga Labu' didendangkan sebaik mungkin oleh Sharifah.  Malah lagu-lagu yang pernah dirakamkan oleh Sharifah dan menjulang namanya di persada seni tanah air seperti 'Teratai', 'Burung Pungguk', 'Fatwa Pujangga' dan 'Bunga Tanjung' didendangkan dengan penuh syahdu.

Syafinaz dan Khadijah Ibrahim memuji persembahan Sharifah AiniBagi Sharifah dan rakan-rakan terdekat pula pastinya merakamkan kejayaan konsert pada malam itu sebagai sesuatu yang cukup bermakna dan romantis dengan kehadiran anaknya, Muhd. Aliff dan seorang insan yang pernah beraja di hatinya selama 17 tahun.  Di hadapan Datuk Salleh, lelaki yang pernah mengisi kehidupannya suatu ketika dulu, penghargaan disuarakan oleh Sharifah dalam suasana penuh syahdu yang mungkin juga merupakan suara hatinya.

Sedikit yang turut mengecewakan pada kedua-dua malam konsert itu ialah kurangnya kehadiran khususnya daripada golongan artis tempatan.  Sepatutnya, inilah kesempatan yang patut direbut oleh artis tempatan khususnya penyanyi remaja untuk hadir dan memberi sokongan kepada seorang kakak yang sudah begitu lama menghambakan diri dalam dunia seni suara.  Malangnya, bilangan rakan seperjuangan yang datang memberi sokongan kepada Sharifah boleh dibilang dengan jari.  Yang kelihatan pada malam kedua persembahannya hanyalah Khadijah Ibrahim dan Syafinaz. Mana pergi yang lain?

Kenyataan sebenar kriteria dan elemen yang perlu ada dalam diri seorang penghibur terbukti sudah di malam konsert itu oleh seorang penghibur istimewa bernama Sharifah Aini dan apakah masih ada di antara kita yang akan terus menafikan hakikat itu. Tepuk dada tanya selera!

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tak Makan Seminggu (URTV, 1 Julai 2000)

  Keunggulan Terbukti (Berita Minggu: Bi-Pop – 18 Jun 2000)

  Kenapa Sharifah Aini Masih Gementar (HAI – 17 Jun 2000)

  Dodoian Sharifah Menakjubkan (Harian Metro – Selasa, 13 Jun 2000)

  Sharifah Tidak Sabar Menanti (Harian Metro – Selasa, 30 Mei 2000)

  Nostalgia Bakal Berulang (Harian Metro – Rabu, 17 Mei 2000)

  Konsert Tradisional Sharifah (Harian Metro – Isnin, 6 Mac 2000)