Arkib Artikel                 

KENAPA SHARIFAH AINI MASIH GEMENTAR?

oleh Wanda Idris  (HAI: 17 Jun 2000)

Siapa yang mampu mempertikaikan keunggulan Sharifah Aini di persada seni suara?  Kemantapan vokal, penampilan yang anggun serta jenakanya yang bersahaja berjaya menguasai pentas sekali gus membuatkan persembahan Sharifah Aini menjadi kenangan abadi kepada peminat setianya.  31 tahun menghambakan diri dalam bidang seni, ternyata kehadiran Sharifah Aini yang mesra menggelarkan dirinya sebagai Kak Pah masih tidak boleh digugat atau diperlecehkan oleh penyanyi popular masa kini.  Maka tidak hairanlah dia diangkat sebagai Biduanita Negara.  Meminjam kata-kata Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, "Dia memberi jiwa kepada lagu yang didendangkan." Kerana itulah, kehadirannya tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Namun Sharifah Aini mengakui, dia tetap gugup dan gementar setiap kali muncul di pentas untuk mengadakan persembahan dan bertemu peminat. "Saya ni dah 31 tahun menyanyi ... Tapi setiap kali nak buat show, saya pasti gugup."  Itulah kata-kata Sharifah Aini yang mendapat tepukan gemuruh peminatnya yang menyaksikan Konsert Di Pinggir Kayangan, anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diadakan selama dua malam di Auditorium DBKL pada 10 Jun dan 11 Jun lepas.  Menjawab persoalan mengapa dia masih merasa gugup dan gementar biarpun sudah 31 tahun bergelar penyanyi dan berlatih selama 200 jam untuk konsert tersebut, kata Sharifah Aini yang ditemui selepas konsertnya: "Bagi Kak Pah, it's a good sign ... Itulah maknanya Kak Pah masih ambil berat tentang kerjaya Kak Pah.  Kalau kita dah tak gugup ... maknanya kita tak ambil pusing dengan apa yang kita lakukan.  Tapi bagi Kak Pah, Kak Pah memang sayangkan profesion ini."

TURUN BERAT BADAN

Pada malam pertama konsert, Sharifah Aini telah mendendangkan 29 buah lagu-lagu popularnya termasuk 'lagu sinonimnya' seperti 'Bunga Tanjung', 'Burung Pungguk' dan 'Teratai'.  Dia juga buat pertama kalinya mendendangkan semula lagu 'Bunga Labu' yang pernah dipopularkan oleh penyanyi Rubiah di awal tahun 40-an yang muziknya telah digubah semula oleh Johari Salleh.  Begitu juga dengan lagu Hindi versi Melayu yang liriknya ditulis sendiri oleh Sharifah Aini berjudul 'Kucurah Kasih Dalam Lagu' yang begitu popular di tahun-tahun 70-an yang tidak pernah dinyanyikannya di pentas sebelum ini.

Penonton di konsert tersebut juga bertuah kerana merekalah peminat pertama yang mendengar dua buah lagu terbaru yang bakal dimuatkan dalam albumnya yang ke 72 yang bakal dipasarkan Julai depan.  Masing-masing bertepuk tangan sewaktu Sharifah Aini bergelek mendendangkan lagu-lagu berentak Arab berjudul 'Ya Habibi Ya Nurul Ain' yang dipopularkan oleh Amr Diab dan pernah dipilih sebagai lagu popular Anugerah Grammy 1997 dan 'Ishar' (pernah dipopularkan oleh penyanyi Fairuz).  "Memang untuk menjayakan konsert ini, Kak Pah terpaksa berlari ke sana ke mari hinggakan berat badan turun 23 paun.  Mana taknya, dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang, Kak Pah berlatih untuk konsert.  Balik ke rumah sekejap, mandi dan bertemu anak-anak, Kak Pah berkejar pula ke studio rakaman dari jam 8.00 malam hingga 2.00 atau 3.00 pagi untuk menyelesaikan proses rakaman album baru," ceritanya.

Sepanjang melibatkan diri dalam bidang nyanyian, Sharifah telah merakamkan lebih tujuh ratus buah lagu dan menulis lirik lebih tiga ratus buah lagu.  Namun keistimewaannya yang tiada tandingan ialah kemerduan suaranya
mendendangkan pelbagai lagu irama tradisional seperti keroncong. inang, zapin, ghazal dan joget hingga membuatkan penonton terpukau.  Bagaimanapun, penonton pada malam pertama agak kecewa apabila dia tidak mendendangkan lagu 'Di Pinggir Kayangan'.  "Kak Pah ada sebab mengapa menarik lagu itu di saat-saat akhir.  Pada malam ini (malam pertama) kebanyakan lagu-lagu yang kak Pah nyanyikan bernada tingggi.  Kak Pah tak mahu buat silap. 'So to play safe', Kak Pah tak bawa lagi itu.  Bukannya apa, nanti kerana kesilapan satu lagu, orang akan hentam kak Pah balik," terangnya.

STANDARD ANTARABANGSA

Menyaksikan persembahan Sharifah Aini yang diiringi Orkestra Kuala Lumpur, pimpinan Ishak Ali Muda membuatkan ramai tertanya-tanya, mengapa Biduanita ini tidak mengadakan persembahannya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang bertaraf dunia?  Sedangkan baru-baru ini, dia pernah mengadakan persembahan apabila dijemput oleh Sinapore Symphony Orchestra (SSO).  "Maybe I'm not up to their standard ...  Anyway, if they are interested, I'm here," katanya dalam nada sinis.  "Tapi, macam manapun saya sangat berpuas hati dapat mengadakan persembahan bersama DBKL."  Dia juga memberitahu bahawa sebahagian kutipan tiket akan disalurkan kepada tabung kanak-kanak leukemia dan rumah anak yatim, Kuang, Selangor.

Mengenai album terbarunya itu, khabarnya, pihak EMI sedang merancang untuk memasarkannya ke luar negara.  "Memang pemilihan lagu-lagu Arab itu untuk memancing pasaran luar negara dan kami merancang untuk memasarkannya di bawah label World Music.  Bagaimanapun ia semua bergantung kepada perbincangan dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab," jelas Pengarah Urusan EMI (M), Darren Choy.

TETAMU ISTIMEWA

Memang jika Sharifah Aini menghibur, pasti ramai orang kenamaan yang hadir.  Pada malam pertama, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datin Paduka Zaleha Ismail hadir menyaksikan persembahannya.  Manakala Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isterinya hadir pada malam kedua.

Namun selain kehadiran VIP, ada insan lebih istimewa di hati Sharifah Aini yang turut hadir memberi sokongan kepadanya iaitu bekas suami yang pernah dikahwininya selama 17 tahun.  Dia hadir bersama-sama lima orang anak Sharifah Aini pada malam kedua.  Sharifah Aini sendiri sempat berlawak di pentas ketika memberitahu si dia turut hadir menyaksikan persembahannya pada malam itu.  Para peminat juga bersorak apabila Sharifah Aini memberitahu, sekalipun mereka tidak lagi hidup bersama, tetapi mereka masih berbaik.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tak Makan Seminggu (URTV, 1 Julai 2000)

  Sharifah Aini Mencecah Puncak Kayangan (Mingguan Malaysia: Pancaindera 18 Jun 2000)

  Keunggulan Terbukti (Berita Minggu: Bi-Pop 18 Jun 2000)

  Dodoian Sharifah Menakjubkan (Harian Metro Selasa, 13 Jun 2000)

  Sharifah Tidak Sabar Menanti (Harian Metro Selasa, 30 Mei 2000)

  Nostalgia Bakal Berulang (Harian Metro Rabu, 17 Mei 2000)

  Konsert Tradisional Sharifah (Harian Metro Isnin, 6 Mac 2000)