DODOIAN SHARIFAH MENAKJUBKAN oleh Saniboey Mohd Ismail (Harian Metro: Selasa, 13 Jun 2000) |
Sharifah memulakan sakti persembahannya kira-kira jam 8.40 malam dengan lagu Semalam Di Malaya dan sebelum itu pentas dihiasi dengan persembahan tarian yang begitu tipikal, seperti yang disering ditonton dalam rancangan terbitan RTM. Sesudah itu, Sharifah memberikan salutasinya kepada penonton serta menyebut bahawa dia berlatih dengan Orkestra DBKL pimpinan Ishak Alimuda itu selama 180 jam untuk melahirkan persembahan berkenaan. Kemudian tiba pula Fatwa Pujangga yang memang meremangkan bula roma kerana kesyahduannya. Pelbagai kenangan melintasi fikiran ketika suara Sharifah menembusi dinding jiwa penontonnya. Biarpun ada kalanya bicara Sharifah berjela, dia pantas menyemarakkan semula semangat penonton dengan lagunya termasuk Hiburkanlah Hatiku, Kenang Daku Dalam Doamu, Inang Baru dan keroncong Hanya Engkau. Ketika mendendangkan lagu ghazal, Pancaran Senja, suara Sharifah jadi makin hebat walaupun ketika itu dia sudah menyanyikan sembilan lagu secara berterusan. Nyata sekali, Sharifah begitu yakin dengan aksinya. Kekuatan vokal dan penghayatan nyanyian mungkin menjadi elemen utama kepada kehebatan konsert itu. Namun, sesekali kakitangan (atau pegawai) DBKL nyata tidak ada adab menonotn apabila ada di antara mereka yang masih berkeliaran di dalam auditorium walaupun konsert sudah bermula lebih setengah jam. Tidak cukup dengan itu, penonton masih dibenarkan masuk walaupun persembahan sudah berlangsung lebih 40 minit.
Seterusnya Sharifah sekali lagi membuktikan dialah 'diva di antara diva' dengan lagu Seroja. Nada sentimental lagu itu amat menikam kalbu dan tidak cukup dengan itu tampil pula Bunga Tanjung dengan intro 'grand' seolah-olah permulaan sebuah skor muzik sebuah filem Hollywood. Dendangan Burung Pungguk pula menyaksikan Sharifah membawa penonton menggembara ke alam muziknya dengan manis sekali, manakala Sharifah juga pertama kali mendendangkan lagu Bunga Labu yang disusun semula oleh Pengarah Muzik DBKL, Johari Salleh.
Sementara itu, pada malam keduanya, kelmarin, persembahannya tetap bersemangat tetapi apa yang istimewa ialah dengan kehadiran tetamu khas iaitu bekas suaminya serta anak-anaknya. Malah, biduanita itu sendiri mengumumkan kehadiran bekas suaminya kepada penonton dengan melafazkan "I miss you, darling", walaupun mereka sudah berpisah tahun lalu, selepas 17 tahun bersama sebagai suami isteri. Lafaznya selamba kerana dia tulus menyampaikan isi hatinya yang dirasai pada ketika itu. Tiada kata secantik bahasa, untuk ku puji Sharifah Aini. Artikel lain yang berkaitan:
|