KONSERT TRADISIONAL SHARIFAH

oleh Roslen Fadzil  (Harian Metro: Isnin, 6 Mac 2000)

Gema suaranya yang lemak merdu itu berjaya menawan warga Singapura di Victoria Concert Hall, 8 Februari lalu.  Kembali semula ke Malaysia, Ratu Seni Suara – Sharifah Aini, tidak leka bergoyang kaki.  Dalam diam-diam, penyanyi lagu 'Bunga Tanjung' itu kini memulakan persiapan untuk menjayakan sebuah konsert yang lebih istimewa sekaligus memenuhi permintaan peminatnya sejak bertahun-tahun.  Mungkin ramai pernah melihat Sharifah dalam konsert pop sebelum ini tetapi pastikan anda akan bersamanya lagi di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 28 dan 29 April nanti kerana dia akan menyanyikan lagu-lagu berirama tradisional sahaja.  "Saya namakan persembahan itu sebagai 'Konsert Di Pinggir Kayangan'.  Ia adalah satu perjalanan muzik dari Maghribi ke Malaysia," kata Sharifah kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Katanya, dengan iringan Orkestra DBKL, seramai 75 pemuzik profesional, dia akan menyanyikan lagu-lagu popularnya yang terselit pengaruh Arab, Parsi, Hindi, deli, inang, joget, asli, ghazal dan keroncong.  "Selama ini saya sudah merakamkan kira-kira 300 lagu dalam rentak asli.  Jadi saya ingin dendangkan lagu-lagu terpilih itu dalam 'Konsert Di Pinggir Kayangan' supaya ia menjadi kenangan-kenangan kepada semua," kata Sharifah.  Antara lagu popularnya yang boleh dikategorikan sebagai lagu tradisional dan etnik ialah 'Seri Mersing, 'Kasihnya Ibu', 'Di Pinggir Kayangan', 'Bunga Tanjung', 'Kini Hatiku Telah Tertawan', 'Sayang Musalmah', 'Teratai', 'Halimun Malam', 'Fatwa Pujangga', 'Burung Pungguk' dan 'Di Malam Persandingan'.

Dalam memperkatakan lebih lanjut mengenai konsert terbaru itu, Sharifah berterima kasih kepada DBKL terutama Johari Salleh yang sudi berkerjasama lagi dengannya selepas mereka berjaya menganjurkan konsert solonya di tempat yang sama pada 1995.  "Ya, saya seronok dan puas bila menyanyi dengan Orkestra DBKL.  Saya selesa bila Ishak Ali Muda memimpin persembahan saya bersama orkestra itu.  Saya bercadang menyampaikan kira-kira 25 hingga 27 lagu dalam konsert itu.  Buat masa ini saya masih mengenal pasti senarai lagu-lagu yang akan dinyanyikan kelak," ujarnya.

Di samping membuat persiapan untuk konsert itu, Sharifah kini berada di studio rakaman bagi menyiapkan album pop terbarunya terbitan EMI Malaysia.  Antara lagu yang dirakamkan adalah ciptaan LY, M Nasir dan Art Fazil. "Lagu ciptaan LY sahaja ada lima yang terpilih.  Saya banyak mengambil lagu LY kerana inginkan pembaharuan.  Dari M Nasir pula ada dua lagu manakala sebuah lagu ciptaan Art Fazil turut dipilih.  Sejak dulu lagi saya memang sukakan karya-karya M Nasir kerana melodi ciptaanya unik.  Nasir juga tahu menyesuaikan lagu dengan tahap kemampuan seseorang artis.  Untuk album pop terbaru ini, saya ingin berduet lagi dengan Nasir dalam sebuah lagu.  Walaupun album ini berkonsepkan pop, saya cuba menyelitkan sekurang-kurangnya sebuah lagu joget" kata Sharifah yang sudah memiliki 71 album, kombinasi Melayu dan Inggeris.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tak Makan Seminggu (URTV, 1 Julai 2000)

  Sharifah Aini Mencecah Puncak Kayangan (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 18 Jun 2000)

  Keunggulan Terbukti (Berita Minggu: Bi-Pop – 18 Jun 2000)

  Kenapa Sharifah Aini Masih Gementar (HAI – 17 Jun 2000)

  Dodoian Sharifah Menakjubkan (Harian Metro – Selasa, 13 Jun 2000)

  Sharifah Tidak Sabar Menanti (Harian Metro – Selasa, 30 Mei 2000)

  Nostalgia Bakal Berulang (Harian Metro – Rabu, 17 Mei 2000)