NOSTALGIA BAKAL BERULANG

oleh Roslen Fadzil  (Harian Metro: Rabu, 17 Mei 2000)

Sharifah Aini ... persiapan untuk Konsert Di Pinggir Kayangan di Auditorium DBKL, bulan depanSejurus wakil Harian Metro melangkah masuk ke bilik muzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Raja Laut, petang kelmarin, lagu 'Inikah Balasannya' berkumandang dengan iringan orkestra.  Sudah terlalu lama tidak mendengar Sharifah Aini menyanyikan lagu klasik yang pernah dipopularkan oleh penyanyi veteran dari Lebanon, Fairuz.  Lebih mengejutkan, Sharifah memulakan dendangan lagu itu dalam bahasa Arab dan kemudian menukarkannya ke bahasa Melayu.  Apa lagi yang hendak dikatakan mengenai hasilnya kalau si penyanyi itu bekas qariah!

Selepas itu, Sharifah dan orkestranya beralih pula ke sebuah lagi irama merdu, 'Kenang Daku Dalam Doamu' campuran rentak asli serta keroncong bergema dan seperti juga 'Inikah Balasannya', ia berjaya membangkitkan nostalgia bagi mereka yang sudah lama mengenali Sharifah Aini.  Namun dua lagu yang dinyanyikannya itu hanyalah sedikit.  Banyak lagi lagu lain yang akan didendangkan dalam 'Konsert Di Pinggir Kayangan - Perjalanan Muzik Dari Maghribi ke Malaya' pada Jumaat dan Sabtu ini.  Antaranya, 'Halimun Malam', 'Seri Mersing', 'Burung Pungguk', 'Teratai', 'Bunga Tanjung', 'Seroja', 'Dondang Sayang' dan 'Di Malam Persandingan'.

Pun begitu, sebelum kesemua lagu dapat dimainkan pada tarikh sebenar, persiapan rapi perlu dilaksanakan.  Untuk itu, Sharifah bersama lebih 70 pemuzik profesional giat membuat latihan sejak 12 Mei lalu setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 4 petang.  "Bukan senang membuat konsert sebegini yang menumpukan perhatian kepada lagu-lagu Melayu tradisional sahaja.  Ada lagu yang susah dan baru bagi saya seperti 'Bunga Labu' tetapi saya akan cuba menyanyikannya dalam cara tersendiri dengan sebaik mungkin, insyaAllah," katanya yang dijangka memulakan persembahannya dengan bersyair.

Selain dibantu Johari Salleh dan Ishak Ali Muda, penyanyi bersuara emas itu turut menggunakan khidmat pemuzik berpengalaman Ramli MS, Ramli Rebana dan Mohar yang sebelum ini terbabit dengan konsertnya di tempat lain.  Bagi Sharifah, 'Konsert Di Pinggir Kayangan' adalah hadiah kepada semua peminatnya yang memberikan sokongan selama lebih tiga dekad lalu.  "Saya mahu membangkitkan nostalgia melalui setiap lagu yang akan dinyanyikan pada kedua-dua malam itu.  Kalau ada yang hendak menangis ... menangislah ..." katanya sambil tersenyum.

Konsert bercorak amal itu mengenakan tiket berharga RM100 dan RM200.  Tiket masih boleh dibeli di Kaunter Bayaran Bendahari, Tingkat Bawah, DBKL, Jalan Raja Laut dan dijual setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 7 malam.

AArtikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tak Makan Seminggu (URTV, 1 Julai 2000)

  Sharifah Aini Mencecah Puncak Kayangan (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 18 Jun 2000)

  Keunggulan Terbukti (Berita Minggu: Bi-Pop – 18 Jun 2000)

  Kenapa Sharifah Aini Masih Gementar (HAI – 17 Jun 2000)

  Dodoian Sharifah Menakjubkan (Harian Metro – Selasa, 13 Jun 2000)

  Sharifah Tidak Sabar Menanti (Harian Metro – Selasa, 30 Mei 2000)

  Konsert Tradisional Sharifah (Harian Metro – Isnin, 6 Mac 2000)