KAK PAH TERUS BERBAKTI

oleh Norhayati Nordin  (Harian Metro: Jumaat, 6 November 2009)

Bantu Jamiyah Singapura kumpul dana memalui Konsert Malam Lagenda Seri Dewi, Ahad ini

Adat hidup anak seni, selagi ada kudrat dan sokongan peminat pasti terus berbakti.  Itulah yang dilakukan biduanita tersohor tanah air, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar demi menghargai kasih peminatnya di Singapura untuk menonton aksi beliau di pentas.  Selepas lapan tahun tidak muncul dengan persembahan berskala besar di negara jiran itu, Konsert Malam Lagenda Seri Dewi yang akan berlangsung Ahad ini di Stadium Tertutup Kallang, Singapura tentunya sangat bermakna buat Sharifah Aini.

Apatah lagi, sambutan peminat yang luar biasa apabila tiket berharga SGD169 (RM422). SGD125 (RM312) dan SGD65 (RM162) habis dijual.  Ia sekali gus menaikkan semangat bintang lagenda tanah air itu untuk memastikan persembahannya berjaya.  Sharifah Aini berkata, dia bersyukur dan tidak menyangka kehadirannya di Singapura mendapat sambutan begitu hangat.  Katanya, apa yang penting kini beliau perlu berehat dengan cukup untuk mengumpul tenaga selain sibuk membuat latihan.

"Sebagai individu yang sudah lebih 40 tahun berkecimpung dalam seni, saya sangat terharu dengan sokongan peminat di Singapura.  Justeru, pada malam konsert itu nanti saya akan menghiburkan penonton dengan 37 lagu termasuk medley.  Malah, lagu era 70-an dan 80-an saya nyanyikan secara medley bagi mengimbau nostalgia lalu.  Apa yang pasti, selain lagu Bahasa Melayu, saya juga akan mempersembahkan lima lagu Inggeris dan dua Arab merangkumi pelbagai genre muzik," katanya.  Menurut Sharifah Aini lagi, dia mempelbagaikan persembahannya supaya penonton tidak jemu.

Katanya, tiada apa yang lebih penting melainkan memberi persembahan terbaik.  "Sudah menjadi pegangan hidup saya selama ini memberi yang terbaik buat penonton.  Lagipun, saya sudah selalu menjayakan persembahan di sini (Singapura).  "Tahun ini saja, saya sudah mengadakan lapan persembahan untuk majlis korporat.  Konsert ini sangat bermakna kerana saya membuat persembahan terbuka untuk peminat.  Lebih-lebih lagi, penganjuran konsert juga bertujuan amal untuk mengumpul dana bagi Jamiyah Singapura membantu insan memerlukan.  Saya juga sudah lama bekerjasama dengan Jamiyah Singapura selaku badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menganjurkan pelbagai program masyarakat, kebajikan dan pendidikan.  Sehubungan itu, diharapkan perjalanan konsert ini lancar," katanya.

Menyentuh mengenai pengisian lagu yang akan didendangkan, Sharifah Aini berkata, Seri Dewi Malam dan Bunga Tanjung pasti diperdengarkan buat peminat.  Katanya pada persembahan itu, beliau akan diiringi tujuh pemuzik dan enam suara latar.  Menurut biduanita berusia 55 tahun ini, konsert berkenaan memang dinantikan peminatnya di Singapura selepas kali terakhir mengadakan persembahan (konsert) di Victorian Concert Hall, sekitar tahun 2000.

Sementara itu, Pengarah Program dan Pembangunan Jamiyah Singapura, Dr Mohd Hasdi Abu Bakar berkata pihaknya memilih Sharifah Aini kerana hubungan baik dan kerjasama yang sudah terjalin sekian lama.  Katanya ia bermula sejak awal 80-an lalu.  "Sharifah Aini pernah menyertai program Maulidur Rasul anjuran kami pada 1981 di Stadium Negara Singapura yang dihadiri kira-kira 40,000 pengunjung.  Malah, pada April lalu bersempena Program Maulidur Rasul juga, beliau hadir di Terminal Stadium Singapura.  Ketika itu, majlis berkenaan dihadiri seramai 20,000 pengunjung.  Bagaimanapun, ilham untuk kerjasama menjayakan konsert amal ini mula dibincangkan sejak awal tahun lagi.  Oleh itu, konsert akan berlangsung selama tiga jam," katanya.

Menurut Dr Mohd Hasdi, konsert bermula dari jam 8 hingga 11 malam itu dijangka turut dihadiri tetamu kenamaan daripada kedutaan dan presiden negara asing.  Katanya, Jamiyah Singapura yang ditubuhkan 1932, berperanan membantu golongan memerlukan tidak mengira kaum dan agama.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tiada Tara (Berita Minggu: Bi-Pop – 15 November 2009)

  Penangan Biduanita Negara (Berita Harian – Rabu, 11 November 2009)

  Sharifah Aini Masih Berbisa (Harian Metro – Rabu, 11 November 2009)

  Sharifah's Night In The Lion City (New Sunday Times – Friday, 4 September 2009)

  Ikut Selera Peminat (Berita Harian – Jumaat, 28 Ogos 2009)