SHARIFAH AINI TIADA TARA oleh Zaidi Mohamad (Berita Minggu: Bi Pop, 15 November 2009) |
Namanya pasti akan terus dikenang sebagai lagenda dan khazanah seni negara yang tiada tolok bandingnya. Sekalipun, jika Datuk Sharifah Aini, 55, memilih untuk tidak lagi aktif dalam bidang seni yang dicintai, suara dan auranya sebagai penghibur pasti dirindu. Apabila beliau pernah menyuarakan hasrat untuk bersara sebelum ini, ada pihak yang tersalah anggap menyangkakan itu isyarat awal bahawa beliau akan menoktahkan perjalanan seninya. Selepas lebih 40 tahun menghambakan diri dalam bidang yang dicintainya itu, ironinya, tiada alasan konkrit untuk beliau mengucapkan selamat tinggal. Contohnya, konsert yang dirancang pada 2011 bagaikan satu petanda bahawa dirinya sudah bersedia untuk bersara. Hakikatnya penyanyi yang mesra disapa Kak Pah tiada hasrat untuk berhenti menyanyi. Katanya dalam nada berseloroh beliau bukan pekerja kerajaan, lalu tiada istilah untuk bersara. "Kak Pah mahu betulkan sedikit mengenai perihal bersara itu. Sebenarnya sudah lama Kak Pah rasa seperti mahu berhenti menyanyi. Tapi cakap saja macam nak berhenti, tengoklah sampai sekarang, Kak Pah masih tegar menyanyi. Jiwa Kak Pah masih memberontak untuk menyanyi. Apa yang Kak Pah maksudkan sebelum ini ialah untuk mengurangkan aktiviti seni dan bukannya untuk berhenti terus. Mungkin agak mustahil untuk Kak Pah meninggalkannya secara drastik. Tapi Kak Pah harus bersyukur ke hadrat Ilahi dan dengan sokongan peminat, Kak Pah masih terus bertahan. Kak Pah bangga diberi peluang untuk membuat konsert berskala besar seperti di Singapura ini. Tak sangka di kala usia kini, Kak Pah masih diberi kesempatan berharga. Ingatkan dengan usia yang semakin larut ini, Kak Pah hanya diundang untuk persembahan kecil-kecilan saja," katanya memulakan bicara. Bertemunya dua hari sebelum konsert amal Malam Lagenda Seri Dewi bersama Datuk Sharifah Aini di Stadium Tertutup Singapura di Kallang, Kak Pah sempat berkongsi debaran menjelang konsert anjuran Jamiyah Singapura itu. Penampilannya ketika menyambut rombongan media, penyanyi latar dan pemuzik dari Malaysia cukup ringkas. Namun, kejelitaannya cukup mempesonakan. Tersilap pandang, macam wanita Arab. Bukan pelikpun, darah campuran Arab mengalir di dalam badannya. Menariknya penampilannya ketika itu dengan mendedahkan rambut hitam ikal mayang ternyata berbeza sekali dengan gaya pentasnya yang lebih senang mengenakan rambut palsu. Sekali dipuji mengenai rambut aslinya yang baru dibikin kerinting, Kak Pah tersenyum lebar. Sepanjang berada di sana sejak Jumaat lalu, peluang mendekati Kak Pah secara dekat cukup terbentang luas. Kak Pah ramah melayan biarpun kepalanya runsing memikirkan konsertnya. "Sepanjang hidup, Kak Pah tak pernah mewarnakan rambut dengan produk yang mengandungi bahan kimia. Cuma dalam sebulan itu adalah beberapa kali Kak Pah akan melakukan rawatan rambut. Itu antara rutin biasa. Kak Pah memang jarang membuat persembahan dengan rambut asli tapi sesekali patut juga rasanya Kak Pah tampil dengan rambut sebenar untuk membuat persembahan," ungakpanya mengenai rambut hitamnya itu ketika majlis menyambut kedatangan rombongan Malaysia diadakan di JS Work & Grill. TAK LUPA PESAN PAK SAMAD
Tambah Kak Pah lagi, beliau masih mengingati pesan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said untuk menyanyi dengan penuh jiwa. Baginya, mengadakan persembahan mahupun konsert bukanlah perkara mudah kerana banyak perkara yang perlu dititikberatkan. "Nak menyenaraikan pendekkan lagu yang sesuai dalam durasi masa yang ditetapkan pun bukan kerja mudah. Ikutkan hati, Kak Pah mahu nyanyikan semua lagu yang perminat suka. Paling penting, konsert Kak Pah takkan sempurna tanpa deretan pemuzik yang diketuai Chobib atau Mohd Yusoff Ibrahim dan penyanyti latar diketuai Zaiyanis Mohd Zin. Kak Pah bersyukur semuanya berjalan lancar dan apa yang diharapkan pihak Jamiyah juga mencapai sasaran. Masalah teknikal dan soal terlajak masa itu sukar dijangka. Semuanya di luar bidang Kak Pah. Kak Pah selalu menganggap setiap persembahan yang dilakukan bukan yang terbaik tapi Kak Pah cuma boleh katakan Kak Pah sudah berikan yang terbaik," katanya selepas selesai konsert menyanyikan lebih 30 buah lagu. TAK KISAH MAKAN TEPI JALAN
Catatan perjalanan ini pastinya memberikan sisi indah buat Kak Pah yang terus bernyawa untuk menghiburkan peminatnya. Legasi seninya terus berpanjangan dan Kak Pah terus unggul di liganya yang tersendiri. Malaysia perlu berbangga mempunyai bakat seni sepertinya. Mungkin selepas ini, siapa tahu, Kak Pah bakal mengadakan konsert di Malaysia pula sebelum konsert pra selamat tinggalnya dua tahun lagi. Harapnya permata bernilai yang satu ini akan terus bergemerlapan cahayanya. Datuk Sharifah Aini memang tiada dua. "Cita-cita Kak Pah pada mulanya mahu bergelar doktor tapi mungkin inilah destinasi Kak Pah untuk menjadi penyanyi dan penghibur. Tak dapat jadi doktor dan menyelamatkan orang, Kak Pah, masih boleh tersenyum puas untuk menyanyi dengan harapan dapat menghiburkan orang," katanya yang sudah merakamkan lebih 1,000 buah lagu. Corat-Coret
Artikel lain yang berkaitan:
|