PENANGAN BIDUANITA NEGARA

oleh Zaidi Mohamad  (Berita Harian: Rabu, 11 November 2009)

SHARIFAH AINI MEMPESONAKAN HAMPIR 8,000 PEMINATNYA YANG MEMENUHI STADIUM TERTUTUP KALLANG, SINGAPURA, AHAD LALU

Benarlah kata majoriti pendapat umum bahawa suara Datuk Sharifah Aini memang tiada tolok bandingnya.  Tidak perlu hiasan pentas yang gemerlapan, memadai dengan tujuh pemain muzik muda dan enam penyanyi latar, Biduanita Negara itu berjaya memukau lebih 8,000 peminatnya yang membanjiri Stadium Tertutup Kallang di Singapura, Ahad lalu.  Muncul di pentas tepat jam 8.30 malam tanpa percikan bunga api atau pyrotechnic seperti lazimnya dalam sebuah konsert mega, penonton bagaikan terpukau dengan lagu pertama dendangannya malam itu, Nour El ‘Ain.  Maka bermulalah perjalanan konsert yang penuh dengan catatan kisah hidupnya sebagai seorang gadis bernama Aini.

Sedikit demi sedikit transisi hidup dan kerjaya seninya mula dibongkar secara bersahaja dengan suntikan pelbagai emosi bermula daripada beliau berkecimpung dalam arena seni pada 1968 sehinggalah kini.  Terlalu banyak sebenarnya yang mahu dikongsi mengenai perjalanan konsert Malam Lagenda Seri Dewi itu yang diadakan bersempena lebih 40 tahun baktinya disemai di persada seni.  Ternyata ia menjadi satu saat manis untuk dikenang Biduanita Negara ini serta peminat penyanyi kelahiran Kota Singa yang membesar di Johor Bahru itu.

Siapa sangka, pada usia 50-an konsert itu menjadi sangat istimewa kerana penyanyi yang acap kali membahasakan diri sebagai Kak Pah itu menjadi penyanyi Malaysia pertama diberi peluang beraksi secara solo di stadium yang pernah dijejaki penyanyi hebat dunia.  Konsert yang dibawa khas pertubuhan amal, Jamiyah Singapura ini mencatat kejayaan bermakna dan luar biasa atas dasar kemanusiaan.  Sebahagian daripada kutipan konsert itu akan disalurkan untuk kebajikan dan pendidikan.  "Bukan mudah menjadi bintang bernama Sharifah Aini, tetapi walau apa terjadi, Kak Pah masih tetap orang yang sama tetapi lebih matang.  Cuma banyak perubahan yang anda lihat sekarang.  Kalau dulu pinggang Kak Pah berukuran 27 ke 28 sentimeter.  Tetapi, ukuran pinggang sekarang, tak payahlah cakap," usiknya yang disambut gelak tawa penonton.

"Pernah terdetik dengan usia pembabitan seni Kak Pah yang sudah lama, mahu saja seperti nak berhenti.   Cakap saja nak berhenti, tapi tengoklah sampai sekarang masih menyanyi.  Kalau sudah jiwa seni, ia tetap akan memberontak dan mustahil Kak Pah meninggalkannya secara drastik.  Doa dan sokongan andalah (peminat dan rakan media) yang membuatkan Kak Pah terus bertahan.  Terima kasih kerana mendoakan Kak Pah.  Kak Pah tahu, ramai yang salah anggap dengan kenyataan untuk bersara sebelum ini.  Maksud Kak Pah sebenarnya mahu mengurangkan aktiviti seni bukan berhenti terus.  Maknanya Kak Pah lebih selektif untuk membuat persembahan," katanya yang mengenakan dua persalinan busana rona hitam tajaan butik Calvin Thoo dan
Mona J.

Dengan pengalaman yang ditimba, penyanyi yang paling lama bertahan di bawah label EMI Malaysia ini bijak berkomunikasi dengan penonton.  Disokong dengan sistem bunyi yang baik, pemuzik iringan diketuai pengarah muzik, Mohd Yusoff Ibrahim (Chobib) dan penyanyi latar yang hebat, persembahan Sharifah Aini begitu mengasyikkan.  Keterujaan penonton juga cukup ‘berahi’ apabila siulan dan laungan I Love You bergema dan dengan selamba, beliau tak lokek apabila dengan nada berseloroh membalas laungan itu, "Yes darling, I love you too'.  Janji dengan saya jangan nakal.  Siapa nakal Kak Pah akan kucup anda dengan penuh ‘ghairah’.  Tapi jangan salah sangka pula, Kak Pah hanya akan cium pipi saja."

TIDAK LUPA SEJARAH SILAM

Dalam hilai tawa manjanya, sesekali, emosi Sharifah Aini mula tersentak ketika mengenang kisah lalu.  Sebagai manusia biasa, beliau tidak lepas menerima musibah dan kontroversi.  Bergelar selebriti, katanya, beliau sedar tirai kehidupan dirinya sering dicemburui, diintai, dikhianati tetapi itu semua tidak langsung melunturkan semangatnya.  "Kesabaran dan kecintaan Kak Pah terhadap bidang seni ini tiada dua biarpun tidak lepas diuji.   Namun tak adil untuk Kak Pah menyingkap cerita duka ini semata-mata kerana di sebalik lara itu, Kak Pah perlu bersyukur kerana Tuhan ada untuk mengurniakan sisi gembira.  Apa yang Kak Pah nikmati sekarang bukan datang bergolek.  Semuanya seakan-akan mustahil tapi dengan bermimpi diiringi usaha, Tuhan pasti menyebelahi kita.  Teruskan bermimpi dan tengok saya mimpi menjadi ‘besar’, ia menjadi kenyataan.  Ingat lagi Kak Pah dengan kisah membuat persembahan dibayar dengan 10 cucuk sate, RM5 dan RM10.  Kak Pah juga tak akan lupakan pengorbanan arwah ayah yang sanggup membeli kasut berharga RM13 untuk Kak Pah sebelum menyertai pertandingan Johan 1969 biarpun terpaksa membayarnya sebanyak tiga kali," katanya yang turut mendendangkan pilihan lagu dangdut dan era 70-an secara medley.

Lumrah mengadakan persembahan, tanpa diduga, kesilapan teknikal berlaku ketika penyanyi itu mendendangkan lagu Terbang Helang.  Mulanya tumpuan sedikit terganggu tetapi pengalaman memang mematangkan, lalu dengan bijak dan pantas beliau menanganinya secara profesional.  Malah, gara-gara kesuntukan masa kerana perlu berhenti persembahan sebelum jam 11.30 malam, Sharifah Aini akur apabila lagu yang dirancang awal untuk dinyanyikan tidak kesampaian.  Lagu Bunga Tanjung juga hampir tidak dinyanyikannya, bagaimanapun sejurus selepas lagu Simply The Best, beliau tidak menghampakan peminat untuk menyanyikan lagu itu.

"Kalau stadium ini boleh digunakan lama, bukan setakat lagu Bunga Tanjung saja, malahan lagu bunga tahi ayam pun boleh," katanya dalam nada berjenaka.  Masa memang begitu mencemburui kita tapi Kak Pah bersyukur kerana masih mampu menyanyikan lebih daripada 30 buah lagu biarpun pada awalnya Kak Pah berhasrat untuk menyanyikan 37 buah lagu termasuk lagu yang dinyanyikan secara medley.  Lagu 4 Dara dan Kau Racun Hidupku pun Kak Pah tak sempat nyanyi.  Tapi tak apalah, ada rezeki, Kak Pah mahu lagi menghiburkan peminat di sini.  Apa yang Kak Pah boleh simpulkan, ini bukanlah persembahan terbaik Kak Pah tapi inilah yang terbaik mampu Kak Pah berikan," katanya sambil tersenyum puas biarpun tidak cukup tidur kerana hanya sempat mengadakan latihan sehari sebelum konsert berlangsung.

Konsert hebat ini turut disertai juara dan finalis program realiti Anugerah menerusi segmen tribute kepada Kak Pah.  Ia dilakukan pada pertengahan konsert ketika Kak Pah ke belakang pentas untuk menukar pakaian.  Mereka ialah Sarah Aqilah, Khairul, Kunjung dan Wawan.  Pelawak Alias Kadir turut menggeletek hati penonton dengan persembahan ‘miming’ ketika menyanyikan lagu Kudaku Lari, selain Imran Ajmain juga diberi kesempatan berharga membuat persembahan.

KHAZANAH BERHARGA

Sementara itu, ketika sidang media diadakan selepas berakhir konsert, Pengarah Program dan Pembangunan Jamiyah Singapura, Datuk Mohd Hasbi Abu Bakar menyifatkan konsert ini sebagai berjaya dan mencapai sasaran membantu mereka yang kurang bernasib baik.  “Biarpun kita tidak lepas dengan masalah teknikal dan masa, saya mewakili pihak Jamiyah Singapura berterima kasih kepada Kak Pah dan pihak yang terbabit secara langsung mahupun tidak dalam memastikan kelancaran konsert ini.  Sepatutnya konsert ini perlu ditamatkan sekitar jam 11 hingga ke 11.30 malam tapi dek masalah terlebih masa kita tidak mampu menjangka perkara sebegini.  Pada masa yang sama, stadium ini harus dikosongkan sebelum jam 3 pagi kerana keesokannya ada acara lain yang menanti.  Dari segi kutipan dan derma, konsert ini tercapai matlamatnya.  Lebih S$800,000 berjaya dikumpul,” katanya.

Menurutnya lagi dengan kejayaan yang dilakar pada malam itu di samping kerjasama yang pernah terjalin beberapa kali di antara Sharifah Aini dan Jamiyah Singapura bermula tahun 1981, pihaknya merancang untuk mengadakan konsert berskala besar sekali lagi.  “Kak Pah terus menjadi khazanah negara yang berharga dan tidak kira Malaysia atau Singapura.  Perbincangan yang berjalan sejak enam bulan lalu, alhamdulillah akhirnya membuahkan hasil yang sangat bermakna,” katanya.  Turut hadir di sidang media ialah Presiden Jamiyah Singapura, Datuk Seri Abu Bakar Maidin dan Pengurus Sumber Manusia, Mohd Noor Mohd Said.

TANGISAN IBU KAK PAH

Paling menarik perhatian ialah kehadiran ibu Sharifah Aini iaitu Sharifah Nor Syed Ahmad, 75 yang datang menonton konsert bersama ipar duai dan anak saudara penyanyi itu.  Ketika lagu Bunga Tanjung dialunkan anaknya, jelas kelihatan air mata si ibu ini bergenang dan sesekali mengelapnya dengan tisu.  Barang kali lagu itu mempunyai kenangan tersendiri buatnya.  Biarpun tidak menjaganya sejak kecil dan hanya mendapat kasih sayang nenek dan datuk saja, Sharifah Nor cukup menyayangi anak kesayangannya itu.  Kata Sharifah Nor, dia sangat terhibur pada malam itu.  “Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Ikutkan semua lagu dendangannya, makcik minat tapi mungkin lagu Bunga Tanjung ada kisah tersendiri,” katanya yang kini menetap di Bedok, Singapura.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tiada Tara (Berita Minggu: Bi-Pop – 15 November 2009)

  Sharifah Aini Masih Berbisa (Harian Metro – Rabu, 11 November 2009)

  Kak Pah Terus Berbakti (Harian Metro – Jumaat, 6 September 2009)

  Sharifah's Night In The Lion City (New Sunday Times – Friday, 4 September 2009)

  Ikut Selera Peminat (Berita Harian – Jumaat, 28 Ogos 2009)