SHARIFAH AINI MASIH BERBISA

oleh Norhadiani Baharom  (Harian Metro: Rabu, 11 November 2009)

Pukau 8,000 penonton di Singapura Indoor Stadium dalam Konsert Malam Lagenda Seri Dewi

Apabila biduanita negara, Datuk Sharifah Aini mengumumkan bakal mengadakan konsert Malam Lagenda Seri Dewi di Singapura dalam satu sidang media pada 18 Ogos lalu, ada memandang rendah kemampuan penyanyi berusia lebih setengah abad ini.  Apakah penyanyi yang mula dikenali ketika usia remaja masih mempunyai aura untuk mengajak peminat menonton konsertnya?   Bagaimana pula dengan 'energy' suara termasuk keseluruhan persembahan nanti?  Apakah penyanyi mesra dengan panggilan Kak Pah ini masih berstamina dan paling menguatkan telahan apabila dimaklumkan konsert MLSD ini dilangsungkan di Singapore Indoor Stadium (SIS).

Penganjur konsert, Jamiyah Global Pte Ltd juga mensasarkan kehadiran 8,000 penonton hingga terfikir apakah pemilik bersuara merdu itu mempunyai peminat seramai itu di negara moden berkenaan?  Hari berganti hari, masa yang dinanti tiba apabila pada 8 November lalu, segalanya menjadi kenyataan apabila MLSD akhirnya dijayakan.  Saat menyusuri laluan berhampiran SIS (Singapore Indoor Stadium) sekitar jam 7.45 malam, kelibat ribuan manusia mula kelihatan membanjiri lokasi berkenaan dan ini memberi gambaran jelas konsert MLSD mendapat sambutan hangat.

Sementara, 15 minit sebelum konsert dimulakan jam, 8.30 malam ruang legar stadium yang boleh memuatkan kapasiti 8,000 penonton mulai penuh sekali gus terbit perasaan bangga terhadap Kak Pah yang sudah mengabdikan dirinya di persada seni suara selama 41 tahun.  Tambahan pula, Kak Pah satu-satunya artis negara ini yang diberi peluang mengadakan persembahan di stadium yang pernah menjadi lokasi Anugerah Planet Muzik dan konsert penyanyi popular Amerika, Gwen Stafeni, dua tahun lalu.  Yang jelas, tidak hanya penonton biasa yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan kaum, persembahan Kak Pah turut diserikan dengan wakil kenamaan dari Singapura, Indonesia dan Timur Tengah.

Konsert MLSD dimulakan dengan klip video kerja amal, Jamiyah Singapore yang memakan masa hampir tujuh minit sebelum Kak Pah mengemudi pentas dengan persembahan pembukaan menerusi lagu, Nour El 'Ain.  Lontaran vokalnya yang hebat terus membelai halwa telinga penonton dengan lagu yang bertanggungjawab melonjakkan namanya di persada seni suara, Seri Dewi Malam.  Usai menyampaikan lagu yang dirakamkan sekitar 1968 itu, Kak Pah menghiburkan pula penonton dengan medley lagu 70-an seperti Kenangan Indah (Yang Menyayat), Hapuslah Air Matamu, Jatuh Cinta, Tiada Maaf Bagimu, Kau Tinggi Di Awan Biru dan Ku Curah Kasih Dalam Lagu.

Diikuti medley dangdut, Pertemuan, Percayalah dan Janji sebelum artis muda Singapura mengambil alih pentas bagi membenarkan Kak Pah ke bilik persalinan.  Sarah Akila juga pemenang program realiti popular Singapura, Anugerah, membawakan lagu Seksa.   Manakala Khairul, Kunjung dan Wawan menyanyikan lagu Pasangan Bahagia secara trio.  Sementara, Imran Ajmain yang popular dengan lagu Seribu Tahun dan Radio melagukan, Sabar Menanti.  Bagaimanapun, suasana bertukar riuh sebaik pelawak Alias Kadir mengemudi pentas dengan menyanyi secara 'miming' dan melakonkan kembali aksi Kak Pah menerusi lagu Kuda Ku Lari.  Selepas 20 minit berlalu, Kak Pah muncul semula meneruskan persembahan untuk set kedua dengan lagu Inggeris, One Way Ticket, Forever And Ever dan I Have A Dream.

Terdapat 35 lagu dinyanyikan termasuk Sabar Menanti, Terbang Helang, Putus Kasih, Zapin Budi, Simply The Best sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu Bunga Tanjung.  Membuatkan perjalanan konsert selama tiga jam ini bertambah menarik dan tidak menjemukan, apabila setiap lagu disampaikan punya catatan kisah menarik di sebaliknya dapat dikongsikan bersama Kak Pah bersama peminat tersayang.  Misalnya, lagu Putus Kasih yang dirakamkan pada 1982 dan ketika itu Kak Pah sedang sarat mengandungkan anaknya, Aliff.  "Kalau ikutkan lagu Putus Kasih itu sebuah lagu sedih, tetapi masa itu saya rasa gembira sangat kerana bakal melahirkan anak dan bergelar ibu.  Bayangkan, masa itu juga berat saya hampir mencecah 200 paun dan kalau tidak silap sayalah, 10 hari selepas merakamkan lagu itu saya melahirkan Aliff," katanya.

Saat mahu menyampaikan lagu Darah Muda yang turut dimuatkan dalam soundtrack Hapuslah Air Matamu, Kak Pah sempat mengimbau pengalaman membintangi filem box-office yang diterbitkan pada 1977 itu.  "Setiap kali menyanyikan lagu Darah Muda saya teringat kenangan berlakon dalam filem Hapuslah Air Matamu.  Masa itu Sharifah Aini seksi, pakai baju 'bare back' dan seluar pendek seperti anak muda lain.  Tetapi sekarang, bagilah berapa pun upah sekalipun saya tidak sanggup menonton lakonan saya kerana malu lebih-lebih lagi dengan anak.  Tapi itulah saya juga manusia biasa dan tidak terkecuali melalui proses kehidupan," katanya.

Secara keseluruhan, konsert MLSD bukan saja mencatat satu pencapaian luar biasa buat Kak Pah, tetapi juga bagi artis Malaysia.  Pun begitu, adat dalam perjalanan sebuah konsert pasti sedikit sebanyak 'tercela' dek gangguan teknikal.  Sayangnya kesilapan kecil ini berlaku saat penghujung persembahan sewaktu biduanita itu menyampaikan lagu Terbang Helang.  Sebagai mematuhi syarat ditetapkan stadium supaya konsert harus berakhir sebelum jam 11 malam, tempoh persembahan juga terpaksa dipendekkan menyebabkan beberapa lagu hit seperti Empat Dara, Ini Balasannya, Tiba-Tiba Rindu dan Di Malam Persandingan tidak dapat disampaikan.

Komposer dan penulis lirik veteran, Yusnor F, yang hadir menyaksikan konsert MLSD menyifatkan persembahan Sharifah Aini masih berbisa.  Katanya, persembahan Sharifah Aini masih mantap begitu juga suaranya.  "Saya bangga melihat pencapaian biduanita itu kerana sewaktu album pertamanya Seri Dewi Malam dihasilkan saya sempat menyumbang empat buah lirik.  Antaranya Yang Mula Dan Akhir, Temanku dan Di Malam Persandingan.  Malah saya sempat coret kata-kata buat Sharifah di belakang kulit albumnya mengenai harapan serta keyakinan saya bahawa suatu hari dia akan menjadi penyanyi terkenal yang berjaya," katanya.

Seorang lagi tetamu istimewa yang hadir, Sharifah Nor Syed Ahmad, 75, juga ibu Sharifah Aini, menyuarakan rasa terharunya melihat kejayaan Kak Pah yang sehingga kini masih disanjung peminat.  Turut hadir, Presiden Jamiyah Singapura, Datuk Seri Paduka Abu Bakar Maidin; Pengurus Sumber Manusia Jamiyah Singapura, Mohd Nor Mohd Said dan Superintenden Darul Takrim Jamiyah Singapura, Shariff Yatim.

Persembahan malam itu tidak mungkin berjaya tanpa bantuan pemuzik iringan iaitu Faizal Uzir selaku pemain piano, Isyam Swardy (gitar 2), Syamsul Kamal (drum), Azman Mutaffa (bes), Zainuddin Yunus (percussion), Rosmadi Ramlee (keyboard kedua), Zulfikari (juruteknik komputer) dan Mohd Khairul Zainal Abidin (juruteknik gitar).  Termasuk penyanyi latar, Mohd Salleh Mohd Denl, Akbar Azmi, Norakmal Kamarulzaman, Juanita Ismail, Tijah Md Nor dan Zaiyanis Mohd Zin.  Semua pemuzik dan penyanyi latar yang diterbangkan khas dari Kuala Lumpur ini dipimpin pemuzik handalan, Mohd Yusoff Ibrahim (Chobib) yang bertindak sebagai pengarah muzik.

Kak Pah yang ditemui dalam sidang media sebaik selesai konsert berkata, dia gembira dapat menyempurnakan konsert itu dengan jayanya.  "Ia bukanlah konsert terbaik, saya tetapi apa yang boleh saya katakan saya sudah melakukan yang terbaik malam ini.  Alhamdulillah, malam ini saya tidak mengalami sebarang gangguan suara.  Biasanya sebelum membuat sesuatu persembahan atau konsert saya perlu mendapatkan tidur yang cukup sembilan hingga ke 10 jam.  Tetapi dengan latihan yang dimulakan lewat kerana masalah pentas dan kami hanya selesai menjalani latihan kira-kira jam 5 pagi (Ahad), saya sangat-sangat bersyukur kerana nyanyian saya tidak mengalami sebarang gangguan.  Saya berpuas hati dengan sistem bunyi yang diguna serta terharu dengan sambutan penonton," katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tiada Tara (Berita Minggu: Bi-Pop – 15 November 2009)

  Penangan Biduanita Negara (Berita Harian – Rabu, 11 November 2009)

  Kak Pah Terus Berbakti (Harian Metro – Jumaat, 6 September 2009)

  Sharifah's Night In The Lion City (New Sunday Times – Friday, 4 September 2009)

  Ikut Selera Peminat (Berita Harian – Jumaat, 28 Ogos 2009)