NYANYIAN SHARIFAH AINI BUAT IBU MENANGIS

oleh Roslen Fadzil  (Harian Metro: Rabu, 16 Mei 2012)

Bukan mudah bagi seseorang penghibur itu menyentuh emosi insan lain sehingga menangis apabila mendengar alunan lagunya.  Lebih daripada itu, bukan senang pula penyanyi itu sendiri melontarkan suaranya dalam keadaan sebak.  Begitulah yang terjadi apabila Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar atau Kak Pah mengalunkan lagu-lagu Melayu klasik dalam persembahan terbarunya bersempena Hari Ibu di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, malam minggu lalu.

Buat seketika, persembahan pada malam itu bertukar menjadi situasi cukup beremosi apabila ratusan tetamu yang padat memenuhi ballroom terdiam dan tersentuh hati mendengar Kak Pah mendendangkan lagu Kasihnya Ibu yang juga lagu yang pernah menjulang namanya sebagai penyanyi Melayu terunggul.  Dengan suara emas Kak Pah itu, bait-bait lirik seperti,

“Kasihnya ibu, membawa ke syurga

Kasihnya saudara, masa berada

Berkorban raga, rela binasa

Berkorban nyawa, tanda kasihnya...”

akhirnya membuatkan ramai ibu dan anak-anak mengesat air mata yang tumpah ke pipi tanpa disedari.

Seterusnya, jiwa penonton luluh lagi apabila Kak Pah menyanyikan lagu Ayah Dan Ibu selain Perigi Biru dengan mendayu-dayu.  Perigi Biru yang jarang-jarang dinyanyikannya adalah lagu yang pernah dipopularkan Allahyarham Kamariah Noor bagi filem klasik Bawang Putih Bawang Merah.

Sebelum itu, ‘Biduanita ‘bertahi lalat’ itu membuka tirai persembahan pada jam 8.45 malam dengan lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Ibu dan Tiada Kata Secantik Bahasa.  Bagi Kak Pah, kesemua lagu itu adalah lambang penghargaan beliau kepada pengorbanan serta kasih sayang yang dicurahkan semua ibunda kepada anak masing-masing.  “Kalau boleh, pegang dan genggam erat-erat tangan ibu di sebelah anda itu.  Janganlah kita malu untuk meluahkan rasa kasih sayang terhadap ibu kita sendiri.  Hargailah ibu kita ketika mereka masih hidup di dunia ini dan bagi ibu-ibu yang sudah pergi, kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah.”

Begitulah antara pesan Kak Pah di celahan lagu-lagu yang dialunkan.  Malam itu, Kak Pah tampak sungguh yakin dengan busana merah cili, bersedia dan melontarkan vokal dengan mantap.  Kemudian sebelum mendendangkan Dodoi Si Dodoi, Kak Pah sempat berkongsi cerita bahawa itu lagu kegemaran anaknya, Aliff Ali, sewaktu kecil.  Dulu apabila beliau keluar mencari rezeki dan mereka berjauhan, Aliff akan diperdengarkan lagu itu lalu terlelaplah matanya.  Kata penyanyi Bunga Tanjung itu lagi: “Saya bukanlah kaya raya tapi dalam soal cinta dan kasih sayang, sayalah orang yang paling kaya.”  Lalu, hadirin yang mendengar, terus bertepuk tangan.

Bersesuaian dengan tema sambutan, banyak lagi lagu merdu yang disampaikannya termasuk yang jarang-jarang dinyanyikan.  Antaranya lagu joget, Tiba-Tiba Rindu dan lagu rancak, Oh Di Mana serta Yang Ditunggu Tak Tiba.  Selain itu, Kak Pah tidak meminggirkan ‘lagu wajibnya’ seperti Bunga Tanjung, Di Malam Persandingan dan Seri Dewi Malam.  Beliau tidak lupa menghiburkan peminatnya termasuk yang datang dari Brunei Darussalam dan Singapura dengan melodi Kini Hatiku Telah Tertawan, Mawar Putih Untuk Mama, Di Manakan Ku Cari Ganti, Wulan, Kenangan Lalu, Que Sera Sera, Ingatan Manis Di Bulan September, Jangan Tinggalkan Daku serta lagu hit Allahyarham Datin Rafeah Buang, Citaku.

Lucu pula di tengah-tengah persembahan, salah seorang peminat setia Kak Pah yang kini sudah bergelar tukang masak, Chef Yang Jamil, bersungguh-sungguh meminta Kak Pah menyanyikan lagu dangdut.  Akhirnya Kak Pah menghadiahkan Kau Pergi Tanpa Pesan.  Sambil menyanyi, Chef Yang Jamil ligat bergelek sehingga Kak Pah mengusik rupanya dah macam Datuk M Daud Kilau!  Menariknya Kak Pah sebelum persembahan itu, turut bersengkang mata membakar sendiri beberapa kek sebagai hadiah kepada peminat.  Di samping hadiah kek, acara cabutan bertuah turut diadakan dengan menawarkan pelbagai hamper sumbangan penaja serta hadiah tiket penerbangan ke destinasi percutian di Eropah.

“Haa, peminat yang muda-muda tu, jangan takut-takut pula nak jamah Kek Kak Pah, Akak tak ‘mandrem’ (guna-guna) tau...” seloroh Kak Pah yang sempat mengusik.  Apa yang nyata, selepas tiga jam berlalu menghampiri detik tengah malam, peminat Kak Pah enggan pulang.  Mereka terus meminta lagi lagu dan sebagai tidak menghampakan permintaan, penghibur yang pernah mendapat jolokan nama ‘Elizabeth Taylor Malaysia’ itu tampil dengan lagu Empat Dara, sambil beberapa peminatnya menari bersama-sama.

Selain peminat pelbagai keturunan termasuk India, Cina dan Serani, kelihatan juga beberapa rakan artis pada malam itu seperti Vanidah Imran yang membawa ibunya.  Turut kelihatan, penyanyi veteran Helen Vellu yang ditemani suami.  Persembahan pada malam itu diiringi tiga pemuzik termasuk Belle sebagai Pengarah Muzik dan dua penyanyi latar.  Dari sudut vokal jelas bahawa lagu-lagu berirama asli, ghazal, joget, inang dan keroncong umpama makanan sebenar Kak Pah di pentas.

Seperti mana yang sering menjadi amalan rutin Kak Pah, persembahan pada malam itu juga bertujuan mencari dana bagi disedekahkan kepada rumah-rumah kebajikan yang sangat memerlukan.  Bagi Kak Pah, sokongan setiap penderma hanya mampu dibalas dengan pahala berganda oleh Allah SWT.  Tahun ini juga menyaksikan Kak Pah begitu sibuk mengatur jadual kerjaya seninya kerana selain terbabit dengan banyak persembahan pentas dan menjadi juri tetap program Mentor 6, beliau turut diundang menjayakan rakaman konsert legenda bersama Orkestra RTM, baru-baru ini di samping membintangi filem Penanggal arahan Ellie Suriaty.

Artikel lain yang berkaitan:

  Airmata Kak Pah Gugur Lagi (Berita Minggu: Bi-Pop – 20 Mei 2012)

  Kerja Amal Berterusan (Berita Minggu: Bi-Pop – 29 April 2012)

  Kak Pah Beramal Melalui Lagu (Harian Metro – Sabtu, 28 April 2012)

  Bantu Si Miskin (Harian Metro – Jumaat, 16 March 2012)

  Kak Pah Rai Para Ibu (Kosmo – Sabtu, 10 March 2012)

  Kak Pah Janji Persembahan Meruntun Jiwa Sempena Hari Ibu (Berita Harian – 1 March 2012)