AIRMATA KAK PAH GUGUR LAGI

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (Berita Minggu: Bi-Pop, 20 Mei 2012)

Dalam tawa ria, ada kesedihan di hati yang tidak dapat dikawal lagi.  Airmata Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar jatuh bercucuran ketika menyampaikan lagu Kasihnya Ibu ketika mengadakan persembahan amal sempena Hari Ibu – Malam Amal Kasihnya Ibu di Taming Sari Grand Ballroom, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, Sabtu minggu lalu.  Bukan hanya terkenangkan anak tunggalnya, Aliff Omar, 30, yang jauh di mata.  Lebih daripada itu, penyanyi bersuara lunak merdu itu terkenangkan datuk dan nenek yang sudah dianggap seperti ibu bapa yang menjaganya sejak berusia tujuh bulan.  Walaupun sudah lama mereka meninggalkan alam fana, kasih sayang terhadap orang tuanya tidak pernah pudar.

Persembahan amal pada malam itu agak beremosi apabila persembahan Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah terhenti seketika.  Kak Pah dilihat mengesat airmata sebelum menyanyikan semula lagu Kasihnya Ibu.  Walaupun nadanya bergetar dan ada ketikanya, kedengaran sebak, tetapi Kak Pah tetap meneruskan nyanyian.  Airmatanya tidak putus berjuraian.  Sambil mengesat airmata, Kak Pah mengakui: "Saya suka persembahan Hari Ibu, tetapi selalunya saya akan sedikit emosional.  Saya terkenang mak abah yang sudah lama tiada.  Ketika menyanyikan lagu Kasihnnya Ibu, saya terbayangkan wajah mak abah lalu didepan mata.   Lebih syahdu, saya macam ternampak-nampak kesusahan saya dulu.

Saya asal bukannya orang senang.  Balik sekolah agama, saya menjaja kuih atau menjual nangka keliling Kampung Majidee, Johor Bahru.  Itulah rutin saya setiap hari untuk membantu mak dan abah.  Pendapatan abah sebagai pemandu teksi berapalah sangat."  Kak Pah menceritakan, dia juga pernah mengambil upah menggiling cili ketika usianya enam tahun untuk membantu ringan bebanan orang tuanya.  Sampaikan tangan saya rasa pijar apabila ke sekolah, tapi saya tidak kisah.  Saya sudah diajar bekerja ketika masih kecil lagi.  Hari ini, saya dilimpahi rezeki, atas kesusahan saya lalu.  Disebabkan pernah susah, saya mahu memanjang tangan untuk membantu mereka yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup.  Saya sudah puas rasa susah ketika kecil dulu.  Saya tahu bagaimana peritnya hidup serba kekurangan.  Tapi, walaupun hidup susah, saya bahagia dengan kasih sayang yang dicurahkan ibu bapa saya," katanya.

Persembahan dimulakan dengan bacaan Surah Isra', ayat 23 dan 24 yang dialunkan Kak Pah.  Tetamu dalam Taming Sari Grand Ballroom, Hotel Royale Chulan terpaku seketika mendengar kelunakan suara Kak Pah, apatah lagi jarang mana-mana persembahan artis dimulakan dengan membaca ayat suci al-Quran.  Kak Pah memulakan nyanyian menerusi lagu Ibu.  Akuinya: "Kadang-kala kita terlupa nak bagi tahu kita sayangkan ibu, kenapa harus kita rasa malu?  Hargai ibu selagi mereka bernyawa."  Seterusnya, Kak Pah mengalunkan lagu Tiada Kata Secantik Bahasa.

"Lagu ini, lagu kegemaran anak saya, Aliff ketika kecil.  Zaman itu hanya ada tape.  Saya pula selalu meninggalkan Aliff kerana keluar bekerja.  Lagu inilah dijadikan peneman Aliff pada waktu malam untuk mengingati saya."  Kak Pah menyampaikan lagi Dodoi Si Dodoi dengan petikan gitar dan piano.  Lebih 700 tetamu yang hadir begitu terbuai hingga ada menitiskan airmata mendengar nyanyian Kak Pah yang syahdu itu.  Kak Pah berkata: "Kita kena ingat segagah mana, setinggi mana pangkat, kita pernah menumpang rahim seorang ibu," pesannya.

Selain itu, Kak Pah turut menyampaikan 28 lagu termasuklah Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Ayah Dan Ibu, Citaku, Mama, Que Sera Sera, Tiba TIba Rindu, Kenangan Lalu, Seri Dewi Malam, Bunga Tanjung, Di Malam Persandingan, Kau Pergi Tanpa Pesan, Kini Hatiku Telah Tertawan, Dari Masa Hingga Masa, Jangan Tinggalkan Daku, Ingatan Manis Di Bulan September, Wulan, Yang Ditunggu Tak Tiba, Mustika Hati, Surat Dari Seberang, Empat Dara dan banyak lagi.

MASAK KEK UNTUK PEMINAT BERTUAH

Kak Pah yang juga Duta Kemanusiaan Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia atau Islamic Aid Malaysia (IAM) mengakui, tahap kemampuan suaranya kini sudah tidak sama lagi dengan era kegemilangannya dulu, iaitu tidak sehalus zaman awalnya menyanyi pada era 1970-an.

"Saya tahu ada yang cakap suara saya sudah lain.  Saya bukannya muda lagi, suara pun begitu juga.  Menyanyi ketika tahun 70-an, memang tak sama.  Takkan saya nak menyanyi seperti tahun 70-an, suara halus tapi keadaaan sayang yang bentuk badan seperti hari ini.  Pinggang pun tak ramping lagi (berseloroh).  Tapi saya selesa dengan keadaan sekarang, Alhamdulillah," katanya.

Suasana pada mulanya penuh emosi bertukar menjadi gamat dengan telatah tetamu yang hadir dari serata pelusuk Malaysia termasuk Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak.  Kelihatan ramai peminat hadir bersama ibu mereka untuk meraikan Hari Ibu bersama Kak Pah.  Paling lucu apabila ada tetamu VIP yang sanggup mebalikkan kerusi diduduki untuk mencari kad bertuah yang menawarkan kek dimasak sendiri oleh Kak Pah.  "Saya bangun seawal jam 4 pagi untuk menyediakan 12 kek untuk peminat bertuah.  Saya tidak sangka peminat menyukainya kerana apalah sangat pemberian ini.  Tapi, ia cukup bermakna buat saya," katanya.

Taming Sari Grand Ballroom penuh sesak dengan tetamu itu juga ceria dan meriah apabila tukang masak handalan, Chef Yang Jamil naik ke pentas untuk mengiringi persembahan Kak Pah.  Untuk tidak menghampakan permintaan Chef Yang Jamil yang mahu Kak Pah menyampaikan lagu dangdut, Kak Pah menyampaikan lagu Kau Pergi Tanpa Pesan sambil Chef Yang Jamil bergelek sakan.

Persembahan amal itu dianjurkan Lime Events Management dengan kerjasama IAM, manakala Hotel Royale Chulan sebagai penaja lokasi persembahan.  Persembahan itu juga mendapat sokongan Oman Air yang menaja satu tiket penerbangan ke destinasi Eropah dan Jamu Mak Dara menaja enam tiket penerbangan ke Singapura dan melawat Universal Studio Singapura.

Artikel lain yang berkaitan:

  Nyanyian Sharifah Aini Buat Ibu Menangis (Harian Metro – Rabu, 15 Mei 2012)

  Kerja Amal Berterusan (Berita Minggu: Bi-Pop – 29 April 2012)

  Kak Pah Beramal Melalui Lagu (Harian Metro – Sabtu, 28 April 2012)

  Bantu Si Miskin (Harian Metro – Jumaat, 16 March 2012)

  Kak Pah Rai Para Ibu (Kosmo – Sabtu, 10 March 2012)

  Kak Pah Janji Persembahan Meruntun Jiwa Sempena Hari Ibu (Berita Harian – 1 March 2012)