KERJA AMAL BERTERUSAN

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (Berita Minggu: Bi Pop, 29 April 2012)

KAK PAH DENDANG 25 LAGU MALAR SEGAR SEMPENA KONSERT HARI IBU DI HOTEL ROYALE CHULAN 12 MEI

Ketika ini, kesibukan Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini hanya dengan kerja amal.  Tiada apa yang lebih membahagiakan hati apabila melihat senyuman terukir pada wajah insan yang bernasib malang.  Sejak dulu lagi, apabila mendengar anak yatim, fakir miskin, warga emas dan sekolah atau madrasah tahfiz daif yang memerlukan bantuan, pantas tangannya merencanakan persembahan amal untuk menghulurkan sumbangan yang termampu.  Biarpun sikit, tapi itualah Sharifah Aini atau Kak Pah, besar hatinya mahu membantu mereka yang memerlukan.

Mungkin ada yang tidak tahu, Kak Pah melakukan kerja amal sejak muda lagi.  Bersama enam rakan baik, mereka sering menjejaki surau atau madrasah buruk yang memerlukan bantuan.  Malah, nasib anak yatim, fakir miskin, pelajar tahfiz dan warga tua tidak diabaikan.  Ada kala mereka menghantar makanan dan pakaian, ada ketika mereka mengusung permaidani, kipas angin, sejadah dan pelbagai lagi barangan kelengkapan yang diperlukan.

Kak Pah juga memperluaskan kerja amalnya apabila bergelar Duta Kemanusiaan Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia atau Islamic Aid Malaysia (IAM) sejak dua tahun lalu.  Bersama ribuan sukarelawan, Kak Pah turun padang menyelami kesusahan masyarakat di negara ini.  Walaupun jadual sentiasa padat, apatah lagi kini, kesibukannya berganda apabila menerima tanggungjawab sebagai juri tetap program Mentor 6 tetapi tidak menghalang penyanyi evergreen ini untuk melakukan persiapan persembahan amal sempena Hari Ibu – Malam Amal Kasihnya Ibu yang akan diadakan di Taming Sari Grand Ballroom, Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada Sabtu, 12 Mei ini, jam 8 malam.

Persembahan berkonsep makan malam itu dianjurkan Lime Events Management dengan kerjasama AIM, manakala Hotel Royale Chulan sebagai penaja lokasi persembahan.  Selain itu, persembahan amal itu juga mendapat tajaan Oman Air yang menaja satu tiket penerbangan ke Jeddah dan Jamu Mak Dara menaja enam tiket percuma ke Singapura dan melawat Universal Studio.  "Saya bahagia membuat kerja amal ini.  Walaupun ada kalanya dugaan berat menimpa, saya hanya tersenyum.  Kerja amal tetap diteruskan.  Saya bersyukur IAM bersama saya dengan projek amal Hari Ibu ini.  Saya juga mendapat tajaan Omar Air dan Jamu Mak Dara yang menyediakan hadiah menarik untuk pemenang yang bertuah.

"Sebanyak 50 peratus hasil sumbangan projek Hari Ibu ini akan saya serahkan pada IAM untuk diserahkan kepada sekolah tahfiz yang miskin, fakir miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya selain digunakan untuk membaiki madrasah yang uzur.  Jujurnya, saya melakukan kerja amal sudah lama, tapi bukan untuk publisiti.  Dengan rezeki sebagai penyanyi ketika itu, saya berkongsi dengan mereka yang memerlukan.  Bagi saya, kita tidak perlu kaya raya untuk menghulurkan bantuan.  Kini, masih lagi meneruskan kerja amal tapi usaha saya diperluaskan dengan mengajak peminat untuk sama-sama membuat kerja amal kebajikan.

"Alhamdulillah, setiap usaha saya menganjurkan persembahan amal sejak beberapa tahun ini mendapat sokongan peminat.  Untuk Hari Ibu, sambutannya agak menggalakkan dan saya akan menghiburkan tetamu yang membawa ibu mereka untuk meraikan Hari Ibu.  Saya akan menyampaikan 25 lagu malar segar yang dipetik daripada album saya seperti Kasihnya Ibu, Mawar Putih Untuk Mama, Ayah Dan Ibu, Ibu dan banyak lagi," katanya.  Artis naungan KRU Records itu berkata sayu hatinya melihat kedaifan dan kemiskinan ketika melawat sekolah tahfiz dan rumah kebajikan di Kedah dan Kelantan bnaru-baru ini.

"Saya dan IAM mempunyai matlamat sama iaitu mencari sekolah tahfiz dan rumah kebajikan yang amat memerlukan dana.  Saya dan pihak AIM menyerahkan sumbangan RM40,000 kepada dua sekolah tahfiz di Bachok dan Pasir Mas, baru-baru ini.  Sebelum itu, kami melawat rumah OKU, rumah fakir miskin dan merancang membina rumah penduduk yang hampir roboh, selain menghantar makanan di Kedah.  Saya gembira, waktu saya terisi dengan kerja amal.  Saya bukannya menyanyi setiap hari.  Apabila mempunyai masa terluang, saya berbesar hati apabila diajak masuk kampung dan menyelami kehidupan insan yang hidup dalam kesusahan.  InsyaAllah, saya dan pihak IAM akan melawat insan yang memerlukan di Pahang, Johor dan Perak pada Jun dan Julai ini.

"Perasan ingin menyertai aktiviti kemanusian bersama IAM timbul apabila sering dijemput membuat persembahan sejak dua tahun lalu.  Saya kagum kesungguhan warga IAM dan tertarik dengan badan bukan kerajaan (NGO) itu bagi misi membantu mengurangkan kemiskinan penduduk di negara ini.  Malah, apabila mengetahui pengurusan dana diterima IAM diuruskan dengan baik untuk kerja amal membuatkan saya lebih bersemangat membantu fakir miskin, ibu tuinggal, anak yatim, orang kurang upaya dan mangsa bencana," katanya yang baru selesai rakaman Konsert Eksklusif Datuk Sharifah Aini bersama Orkestra RTM di Dewan Perdana, Angkasapuri malam Rabu lalu.  Konsert itu akan disiarkan di RTM tidak lama lagi.

Sehubungan itu, peminat boleh membeli meja yang ditawarkan pada harga RM5,500 untuk 10 orang atau RM2,500 untuk 10 orang termasuk jamuan makan malam.  Tiket perseorangan berharga RM550 dan RM250 turut dijual.  Sesiapa berminat boleh memghubungi 019-3488054 (Shameem Faiz) atau 019-3973558 (Farouq) atau menghantar e-mel ke laman limeevent@gmail.com.  Untuk pembelian online peminat boleh layari www.iam.org.my.

Artikel lain yang berkaitan:

  Airmata Kak Pah Gugur Lagi (Berita Minggu: Bi-Pop – 20 Mei 2012)

  Nyanyian Sharifah Aini Buat Ibu Menangis (Harian Metro – Rabu, 15 Mei 2012)

  Kak Pah Beramal Melalui Lagu (Harian Metro – Sabtu, 28 April 2012)

  Bantu Si Miskin (Harian Metro – Jumaat, 16 March 2012)

  Kak Pah Rai Para Ibu (Kosmo – Sabtu, 10 March 2012)

  Kak Pah Janji Persembahan Meruntun Jiwa Sempena Hari Ibu (Berita Harian – 1 March 2012)