BANTU SI MISKIN

oleh Esme Johari Wahab  (Harian Metro: Jumaat, 16 March 2012)

Hati mana tidak tersentuh apabila mendengar ‘syurga terletak di bawah tapak kaki ibu’.  Kata-kata azimat ini sentiasa berada dalam fikiran Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini hingga saban tahun menjayakan sambutan Hari Ibu.  Sharifah Aini atau mesra disapa Kak Pah sekali lagi menjayakan Konsert Amal Majlis Makan Malam Amal Kasihnya Ibu pada 12 Mei ini bermula jam 8 malam di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Kata Kak Pah ketika ditemui pada sidang media acara itu berkata, pertunjukan itu dijayakan bagi mengumpul dana membantu ibu tunggal dan fakir miskin di seluruh negara.  "Inilah antara yang mampu Kak Pah buat bagi membantu masyarakat.  Dana yang kita kumpulkan akan Kak Pah salurkan bagi membantu beberapa sekolah dan keluarga fakir miskin di Kelantan.  Lagipun peluang ini cara terbaik untuk bertemu dan beramah mesra bersama peminat berada jauh dari Kuala Lumpur.   Dengan bantuan Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia atau Islamic Aid Malaysia, semua ini menjadi kenyataan dan sebagai artis, Kak Pah terharu dapat bertemu dan berkongsi pengalaman bersama mereka.  Hati sentiasa tersentuh melihat keadaan yang mereka yang tabah sekalipun serba kekurangan,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Presiden Islamic Aid Malaysia, Farouq@Faraatika Zauji, Pengurus Jualan Wilayah Oman Air, Kathleen Leong dan Penolong Pengurus Perhubungan Awam Royale Chulan Kuala Lumpur, Rizal Johan Van Geyzel.

Apa yang lebih menarik mengenai majlis makan malam itu, persembahan lagu disusun untuk menceriakan setiap yang hadir pada malam itu.  “Saya akan menyanyikan sekurang-kurangnya 13 lagu berkaitan ibu dan perasaan menyayangi ibu yang banyak berjasa terhadap seseorang anak.  Majlis ini adalah sesuatu yang sangat serius dan pemilihan lagu juga dibuat untuk disesuaikan dengan tema persembahan.  Paling penting, lagu-lagu ini dapat membangkitkan menggerakkan emosi kita terhadap hubungan kekeluargaan.  Ia ibarat air yang dicincang tidak akan putus.  Saya akan diiringi penyanyi latar dan pemuzik profesional,” katanya.

Antara lagu akan dinyanyikan beliau adalah Kasihnya Ibu, Mama, Mawar Putih Untuk Mama, Impian Tercapai, Ibu, Citaku, Ayah Dan Ibu serta banyak lagi.  Bagi berminat menghadiri Malam Makan Malam Amal Kasihnya Ibu bersama Sharifah Aini, tiket dijual melalui jualan meja.  Pakej pertama berharga RM5,500 untuk 10 orang sementara pakej kedua, RM2,500 untuk 10 orang.  Semua tempat duduk adalah bersama hidangan makan malam.

"Saya memberi penekanan terhadap jualan meja berharga RM2,500 kerana tidak mahu membebankan peminat yang mahu membawa ibu atau saudara-mara ke majlis ini.  Paling utama, kita dapat sama-sama buat kebajikan untuk keluarga yang susah.  Ini adalah cara terbaik dapat dilakukan artis untuk mencapai matlamat berjasa kepada masyarakat dan bukan sekadar mengajak mereka sekadar berhibur tanpa matlamat,” katanya.

Majlis makan malam terbabit dijayakan dengan kerjasama Seri Dewi Productions Sdn Bhd bersama Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur dan Lime Events Management.  Tiket untuk perseorangan juga turut dijual.  Sesiapa berminat boleh menghubungi Farouq (019-3973558) atau menghantar e-mel ke laman limeevent@gmail.com. Untuk pembelian online, peminat boleh layari www.iam.org.my.

Artikel lain yang berkaitan:

  Airmata Kak Pah Gugur Lagi (Berita Minggu: Bi-Pop – 20 Mei 2012)

  Nyanyian Sharifah Aini Buat Ibu Menangis (Harian Metro – Rabu, 15 Mei 2012)

  Kerja Amal Berterusan (Berita Minggu: Bi-Pop – 29 April 2012)

  Kak Pah Beramal Melalui Lagu (Harian Metro – Sabtu, 28 April 2012)

  Kak Pah Rai Para Ibu (Kosmo – Sabtu, 10 March 2012)

  Kak Pah Janji Persembahan Meruntun Jiwa Sempena Hari Ibu (Berita Harian – 1 March 2012)