SHARIFAH TIDAK SABAR MENANTI

oleh Roslen Fadzil  (Harian Metro: Selasa, 30 Mei 2000)

Persiapan demi persiapan terus dilakukan dengan rapi oleh Ratu Seni Suara, Sharifah Aini, bagi menjayakan Konsert Di Pinggir Kayangan, di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada 10 dan 11 Jun ini.  Konsert amal yang sepatutnya berlangsung pada 19 dan 20 Mei lalu tetapi ditunda atas sebab-sebab teknikal itu akan menyaksikan persembahan istimewa Sharifah Aini menyanyikan lagu-lagu tradisional Melayu diiringi Orkestra DBKL seramai 70 pemuzik.

"Buat masa ini semua persiapan yang perlu sudah saya lakukan.  Saya akui inilah konsert paling mencabar pernah saya rancangkan sejak menjadi penyanyi lebih 30 tahun lalu.  Maklumlah 'Konsert Di Pinggir Kayangan' ini bukannya persembahan pop tetapi menonjolkan lagu-lagu yang susah lenggoknya.  Bagaimanapun, dengan bantuan pemuzik seperti Johari Salleh, Ishak Ali Muda dan Ramli MS, saya tidak berdepan dengan masalah.  Malah saya tidak sabar untuk bertemu semua peminat pada kedua-dua malam itu," katanya kepada Harian Metro, kelmarin.

Menurut Sharifah, pihaknya menerima banyak tempahan tiket daripada badan korporat yang berminat untuk berhibur sambil beramal kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik termasuk yang menghidap leukemia.  "Saya harap lebih ramai lagi pihak individu mahupun badan korporat akan tampil menghulurkan derma kepada mereka yang memerlukan," katanya yang bersiap sedia dengan 20 hingga 25 lagu yang merdu.  Antara lagu itu ialah 'Inikah Balasannya', 'Kenang Daku Dalam Doamu', 'Halimun Malam', 'Seri Mersing', 'Burung Pungguk', 'Teratai', 'Bunga Tanjung', 'Seroja', 'Dondang Sayang' dan 'Di Malam Persandingan'.  Selain lagu yang pernah dirakamkan, Sharifah juga akan menyanyikan lagu-lagu asli yang dipopularkan artis lain seperti 'Kain Songket', 'Bunga Labu' dan 'Gurindam Jiwa'.

Bagi Sharifah, 'Konsert Di Pinggir Kayangan' yang bertemakan Perjalanan Muzik Dari Maghribi ke Malaya itu adalah hadiah istimewa buat semua peminatnya yang memberikan sokongan selama lebih dekad lalu.  Konsert itu mengenakan tiket berharga RM100 dan RM200.  Tiket masih boleh dibeli di Kaunter bayaran Bendahari, Tingkat Bawah, DBKL, Jalan Raja Laut dan dijual setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 8 malam.  Tempahan juga boleh dibuat dengan menghubungi talian 012-6520812 atau 03-7547016.  Perlu diulangi, mereka yang sudah membeli tiket bertarikh 19 Mei lalu boleh menggunakannya bagi persembahan pada 10 Jun nanti manakala tiket 20 Mei pula bagi 11 Jun.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tak Makan Seminggu (URTV, 1 Julai 2000)

  Sharifah Aini Mencecah Puncak Kayangan (Mingguan Malaysia: Pancaindera 18 Jun 2000)

  Keunggulan Terbukti (Berita Minggu: Bi-Pop 18 Jun 2000)

  Kenapa Sharifah Aini Masih Gementar (HAI 17 Jun 2000)

  Dodoian Sharifah Menakjubkan (Harian Metro Selasa, 13 Jun 2000)

  Nostalgia Bakal Berulang (Harian Metro Rabu, 17 Mei 2000)

  Konsert Tradisional Sharifah (Harian Metro Isnin, 6 Mac 2000)