KEUNGGULAN TERBUKTI

oleh Hanisah Selamat  (Berita Minggu: Bi-Pop, 18 Jun 2000)

Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergema dengan gemersik suara biduanita Sharifah Aini yang melagukan syair, petanda pembuka tirai 'Konsert Di Pinggir Kayangan'.  Di lokasi sama lima tahun dulu, suara penerima Seri Wirama di Anugerah Industri Muzik 2000 itu berkumandang di segenap ruang dewan, namun kali ini persembahannya lebih istimewa.  Sepanjang tiga jam malam kedua persembahan konsertnya, penyanyi 'evergreen' yang mengenakan sepasang songket hijau dan kebaya pendek merah jambu itu menyampaikan 28 lagu popular sepanjang tiga dekad pembabitannya di persada seni.  Tema 'Perjalanan Muzik Dari Maghribi Ke Malaysia' di angkat bagi meletakkan martabat seni Melayu di tangga teratas tambahan pula irama tradisional banyak menerima pengaruh muzik Timur Tengah.

Iringan 65 pemuzik orkestra di bawah pimpinan Ishak Ali Muda dan Johari Salleh juga cukup mengagumkan.  Sentuhan muzik dan dendangan penghibur begitu serasi hingga tidak sedar masa berlalu.  Sesekali Sharifah Aini secara berjenaka menyelitkan nostalgia lama.  Bibirnya yang menguntum senyuman mengucapkan penghargaan kepada mereka yang membawa namanya ke puncak.  Tidak rugi melaburkan sejumlah wang demi menghayati setiap bait puitis yang keluar dari mulut 'Seri Dewi Malam' itu tambahan pula sebahagian daripada kutipan itu bakal disumbangkan kepada persatuan leukemia dan anak yatim di Kuang, Selangor.

Antara lagu yang dipersembahkan termasuk 'Anak Dagang', 'Fatwa Pujangga', 'Inang Baru', 'Dondang Sayang', 'Jauh Di Mata', 'Di Malam Persandingan', 'Di Pinggir Kayangan', 'Seri Siantan', 'Zapin Budi', 'Seroja' dan 'Bunga Tanjung'.  Tidak ketinggalan satu lagu popular sekitar tahun 1940-an, 'Bunga Labu' nyanyian biduanita Rubiah, ciptaan Lilis Suhairy yang digubah semula dengan sentuhan klasik Johari Salleh.  Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.  Itulah yang mampu diluahkan apabila dendangan merdu menyingahi pendengaran penonton yang seakan-akan terpaku dari saat alunan 'Semalam Di Malaya' hingga ke lagu terakhir, 'Teratai'.

Penonton yang terpukau dengan persembahan itu dibuai pula dengan lagu penyanyi Lebanon, Fairuz berjudul 'Ishar' hasil gubahan semula Ramli MS.  Kemudian lagu 'Ya Habibi Ya Nurul Ain' pula mengambil tempat.  Kedua-dua lagu itu bakal dimuatkan dalam album ke 72 Sharifah Aini yang bakal diedarkan akhir Jun ini.  Biarpun tidak memahami maksud lirik, vokal lantang dan lenggok tersendirinya membuatkan lagu itu kedengaran lebih istimewa, malah itulah kunci utama penghibur itu bertahan lama di lapangan seni suara.

Tidak sia-sia latihan 200 jam dilakukan setiap hari bermula 12 Mei lalu kerana hasil yang ditonjolkan untuk dua hari persembahan begitu memberangsangkan.  Biarpun tidak kedengaran langsung lagu Barat atau rentak moden seperti konsert sebelumnya, ia tetap meninggalkan kenangan manis buat peminat yang nyata terhibur. Jelas, tiket bernilai RM100 dan RM200 bukan bebanan bagi peminat yang ingin menghayati keunikan suara penghibur pujaan mereka membawakan irama zapin, inang, joget, keroncong, deli dan asli.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Tak Makan Seminggu (URTV, 1 Julai 2000)

  Sharifah Aini Mencecah Puncak Kayangan (Mingguan Malaysia: Pancaindera 18 Jun 2000)

  Kenapa Sharifah Aini Masih Gementar (HAI 17 Jun 2000)

  Dodoian Sharifah Menakjubkan (Harian Metro Selasa, 13 Jun 2000)

  Sharifah Tidak Sabar Menanti (Harian Metro Selasa, 30 Mei 2000)

  Nostalgia Bakal Berulang (Harian Metro Rabu, 17 Mei 2000)

  Konsert Tradisional Sharifah (Harian Metro Isnin, 6 Mac 2000)