DODOIAN SHARIFAH MENAKJUBKAN oleh Saniboey Mohd Ismail (Harian Metro: Selasa, 13 Jun 2000) |
Semuanya seperti menyelinap ke alam yang amat indah, melayang terbang ke tinggi di awan dan ia berlaku dalam tempoh dua jam 40 minit dengan iringan dendangan biduanita, Sharifah Aini dalam Konsert Di Pinggir Kayangan (Perjalanan Muzik Dari Maghribi ke Malaysia) di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabtu lalu. Sharifah membuai sambil mendodoi penonton dengan 29 lagu memberikan pesona suaranya yang menakjubkan, sekaligus mewujudkan kepuasan di tahap paling tinggi. Bicara dan jenakanya selamba tetapi setiap kali dia berdendang, memang ada mulut yang terlopong, ada mata yang tidak berkelip serta ada kaki yang berhentak mengikut melodi sambil fikiran melayang melayan nostalgia sendiri baik yang manis mahupun pahit. Sharifah memulakan sakti persembahannya kira-kira jam 8.40 malam dengan lagu Semalam Di Malaya dan sebelum itu pentas dihiasi dengan persembahan tarian yang begitu tipikal, seperti yang disering ditonton dalam rancangan terbitan RTM. Sesudah itu, Sharifah memberikan salutasinya kepada penonton serta menyebut bahawa dia berlatih dengan Orkestra DBKL pimpinan Ishak Alimuda itu selama 180 jam untuk melahirkan persembahan berkenaan. Kemudian tiba pula Fatwa Pujangga yang memang meremangkan bula roma kerana kesyahduannya. Pelbagai kenangan melintasi fikiran ketika suara Sharifah menembusi dinding jiwa penontonnya. Biarpun ada kalanya bicara Sharifah berjela, dia pantas menyemarakkan semula semangat penonton dengan lagunya termasuk Hiburkanlah Hatiku, Kenang Daku Dalam Doamu, Inang Baru dan keroncong Hanya Engkau. Ketika mendendangkan lagu ghazal, Pancaran Senja, suara Sharifah jadi makin hebat walaupun ketika itu dia sudah menyanyikan sembilan lagu secara berterusan. Nyata sekali, Sharifah begitu yakin dengan aksinya. Kekuatan vokal dan penghayatan nyanyian mungkin menjadi elemen utama kepada kehebatan konsert itu. Namun, sesekali kakitangan (atau pegawai) DBKL nyata tidak ada adab menonotn apabila ada di antara mereka yang masih berkeliaran di dalam auditorium walaupun konsert sudah bermula lebih setengah jam. Tidak cukup dengan itu, penonton masih dibenarkan masuk walaupun persembahan sudah berlangsung lebih 40 minit. Sharifah kemudian mendendangkan pula lagu Dondang Sayang, Tiba Tiba Rindu, Kucurah Kasih Dalam Lagu, Di Malam Persandingan dan Inikah Balasannya. Kesempatan konsert itu turut digunakan oleh Sharifah untuk mempersembahkan dua lagu barunya, Ishar dan Nour El Ain (berbahasa Arab). Sayang sekali persembahan hebat lagu berkenaan dibuat dengan menggunakan 'minus one' sedangkan ia boleh dinyanyikan dengan iringan orkestra berkenaan. Seterusnya Sharifah sekali lagi membuktikan dialah 'diva di antara diva' dengan lagu Seroja. Nada sentimental lagu itu amat menikam kalbu dan tidak cukup dengan itu tampil pula Bunga Tanjung dengan intro 'grand' seolah-olah permulaan sebuah skor muzik sebuah filem Hollywood. Dendangan Burung Pungguk pula menyaksikan Sharifah membawa penonton menggembara ke alam muziknya dengan manis sekali, manakala Sharifah juga pertama kali mendendangkan lagu Bunga Labu yang disusun semula oleh Pengarah Muzik DBKL, Johari Salleh. Lagu Teratai muncul selepas itu sebagai penutup konsert tetapi Sharifah kembali dengan 'encore' menerusi lagi Jauh Di Mata dan dia bukan sahaja mendapat tepukan gemuruh, malah penonton dalam auditorium berkenaan berdiri memberikan tanda hormat. Namun mungkin berdiri sambil bertepuk itu bukan sahaja sebagai tanda hormat, sebaliknya kekaguman kerana biduanita itu terlalu bertenaga. Dia mendendangkan 29 lagu dan mereka yang membeli tiket RM100 dan RM200 sudah pasti berasakan ia adalah satu pengalaman yang berbaloi. Di samping itu, penonton juga dihidangkan dengan makanan ringan ketika konsert itu berhenti 20 minit. Sementara itu, pada malam keduanya, kelmarin, persembahannya tetap bersemangat tetapi apa yang istimewa ialah dengan kehadiran tetamu khas iaitu bekas suaminya serta anak-anaknya. Malah, biduanita itu sendiri mengumumkan kehadiran bekas suaminya kepada penonton dengan melafazkan "I miss you, darling", walaupun mereka sudah berpisah tahun lalu, selepas 17 tahun bersama sebagai suami isteri. Lafaznya selamba kerana dia tulus menyampaikan isi hatinya yang dirasai pada ketika itu. Tiada kata secantik bahasa, untuk ku puji Sharifah Aini. Artikel lain yang berkaitan: Sharifah Aini Tak Makan Seminggu (URTV, 1 Julai 2000) Sharifah Aini Mencecah Puncak Kayangan (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 18 Jun 2000) Keunggulan Terbukti (Berita Minggu: Bi-Pop – 18 Jun 2000) Kenapa Sharifah Aini Masih Gementar (HAI – 17 Jun 2000) Sharifah Tidak Sabar Menanti (Harian Metro – Selasa, 30 Mei 2000) Nostalgia Bakal Berulang (Harian Metro – Rabu, 17 Mei 2000) Konsert Tradisional Sharifah (Harian Metro – Isnin, 6 Mac 2000) |