SHARIFAH AINI TAK MAKAN SEMINGGU oleh Huzz (URTV: 1 Julai 2000) |
PENAMPILAN MENARIK Boleh dikatakan pakaian yang dipakai oleh Sharifah Aini di kedua-dua malam konsertnya cantik dan mendapat perhatian. Di malam pertama persembahannya, dia memakai dua helai pakaian. Salah satu daripada pakaiannya diperbuat dari songket berwarna biru yang ditaja oleh Haron dari Singapura. Sementara pakaian-pakaian lainnya termasuk untuk malam kedua adalah hasil ciptaan dan sentuhan pereka fesyen Sharifah Aini sendiri iaitu Jefri. Rambut dan solekannya pula begitu ceria. Kata Sharifah Aini, "Saya disolek oleh Sharmini Ramalinga, jurusolek Astro (Astro turut merakamkan konsert di kedua-dua malam itu). Dia adalah anak jurusolek kesayangan saya, mendiang V Ramalingam. Perasaan saya begitu tersentuh ketika Sharmini menyolekkan saya kerana cara dan gaya percakapannya sama dengan mendiang ayahnya. Sentuhan solekannya memang seperti mendiang ayahnya. AHMAD NAWAB MUNCUL Di malam pertama konsertnya, Auditorium Besar DBKL bukan hanya dipenuhi oleh peminat-peminatnya tetapi turut hadir ialah komposer Datuk Ahmad Nawab (yang banyak mencipta lagu untuk Sharifah Aini sepanjang lebih 30 tahun penglibatannya dalam dunia seni). Di malam kedua pula, penyanyi Syafinaz dan Khatijah Ibrahim (bersama kaum keluarga termasuk kakanya Sophia Ibrahim) turut hadir memberi sokongan moral. Kata Sharifah Aini, dia gembira kerana ramai kenalan, keluarga angkat, teman-teman, malah kenamaan termasuk Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Muhiyiddin Yassin dan isteri turut menyaksikan konsertnya. "Saya gembira kerana sokongan mereka. Selain itu, saya juga terkejut kerana konsert saya juga bagaikan menyambut harijadi kerana menerima banyak hadiah-hadiah bukan saja bunga tapi ada yang menghadiahkan jam tangan dan cincin sebagai hadiah. Ada juga hadiah daripada pasangan suami isteri dari Brunei berupa koleksi barang kemas yang sungguh mahal. ALIFF DATANG DENGAN KAWAN-KAWAN Anak teruna Sharifah Aini, Aliff pun turut hadir bersama teman-temannya menyaksikan persembahan mummynya. Kata Aliff, "Ini adalah persembahan mummy yang kedua saya tengok. Sebelum ini saya pernah menonton persembahan mummy secara 'live' di Menara Kuala Lumpur pada akhir tahun lalu." Bagi Siti dan Nina mereka gembira dapat menonton persembahan ibu tercinta secara 'live' kerana sebelum ini hanya berkesempatan menontonnya di kaca TV saja. Aliff malam itu menjadi perhatian ramai kenalan Sharifah Aini dan peminat-peminat membuatkan dia ada kala malu dan segan. Malah ketika diajak bergambar pun dia malu-malu. Cuma malam itu untuk menghimpunkan Sharifah Aini dan keluarganya tidak dapat dilakukan kerana selesai konsert Sharifah Aini dikerumuni peminat. Kata Sharifah Aini, "Memang jarang anak-anak saya berpeluang menonton persembahan saya secara 'live'. Malam ini mereka yang hendak datang, itulah yang membuatkan saya gembira bila di pentas. BEKAS SUAMI DATANG MENONTON Masih ingat lagi dengan nama Datuk Darling dalam hidup Sharifah Aini? Di kalangan peminat-peminat setia yang mengikuti perkembangan dan gosip tentang Sharifah Aini sudah tentu sinonim dengan nama Datuk 'S' atau Datuk Darling. Gelaran Datuk Darling itu diberikan oleh Sharifah Aini sendiri ketika sedang bercinta dan kemudian berkahwin dengan ahli perniagaan itu. Walaupun jodoh mereka tidak panjang (bercerai dua tahun lalu) namun hubungan mereka masih terjalin sebagai kawan baik. Di malam kedua persembahannya, Datuk Darling datang menemani anak-anak Sharifah Aini iaitu Aliff (18), Nina (14) dan Siti (12) yang memanggil Datuk Darling sebagai daddy. Datuk yang pernah menjadi suami Sharifah Aini ketika saya temui mengakui, "Konsertnya hebat. Saya sendiri kagum dengan persembahannya dan ada ketika berdiri bulu roma saya bila mendengarkan dia menyanyi. Memang saya tak pernah tengok konsertnya sebelum ini." Sebagai bekas suami, Datuk mengakui dia menyukai Sharifah Aini bukan saja kerana mengenalinya sebagai bekas isteri tetapi, "Dia seorang wanita yang cukup baik." Memiliki sifat pengasih dan seorang yang cantik, Sharifah dikatakan menyenangkan beliau. Kerana itulah hubungan mereka berkekalan sebagai sahabat walaupun jodoh mereka tak berpanjangan. Datuk yang duduk menonton dengan dua anak perempuan Sharifah Aini, Siti dan Nina nampak gembira sepanjang konsert. Bagaimanapun selesai saja konsert, Datuk dihantar oleh ketiga-tiga anak Sharifah Aini sampai ke kereta sebelum berlepas pulang dan tidak berkesempatan menemui Sharifah Aini yang ketika itu sedang dikerumuni oleh peminat-peminatnya. Waktu saya menemui Sharifah Aini di belakang pentas, dia mengakui gembira kerana kehadiran bekas suaminya. "Apa dia kata? tanya Sharifah Aini ingin tahu apakah komen bekas suaminya ketika menonton persembahannya malam itu. Kata Sharifah Aini, "Ya walaupun kami sudah bercerai dua tahun lalu setelah hidup sebagai suami isteri selama 17 tahun, tapi kami masih menjadi sahabat baik. Setiap dua hari sekali dia akan menghubungi saya dan kami berbual. Dia banyak bertanya soal anak-anak dan keluarga. Dia seorang yang baik dan begitu mengambil berat tentang saya dan anak-anak ... Memang ini kali pertama dia datang menonton persembahan saya barangkali sebelum ini dia sibuk dengan kerja. Kehadirannya menggembirakan saya." KONSERT BERNILAI LEBIH RM150,000 ! 'Konsert Di Pinggir Kayangan Sharifah Aini' yang diiringi oleh 60 orang pemuzik orkestra, penari dan empat penyanyi latar itu bernilai lebih RM150,000. Ini diakui oleh Johari Salleh selaku jawatankuasa persembahan. Pemimpin orkestra di kedua-dua malam konsert itu ialah saudara Ishak Ali Muda. Konsert dua malam yang diwarnai dengan persembahan 29 buah lagu selama dua jam pada setiap malam itu menjual tiket berharga RM100 dan RM200. Sebahagian daripada kutipan penjualan tiket itu disalurkan untuk tabung kebajikan. Pada persembahan kedua-dua malam konsert itu Sharifah Aini telah menyanyikan 29 buah lagu antaranya, Semalam Di Malaya, Anak Dagang, Fatwa Pujangga, Hiburkanlah Hatiku, Kenang Daku Dalam Doamu, Halimun Malam, Inang Baru, Keroncong Hanya Engkau, Pancaran Senja, Dondang Sayang, Tiba Tiba Rindu, Kucurah Kasih Dalam Lagu, Di Malam Persandingan, Inikah Balasannya, Di Pinggir Kayangan, Semenjak Kita Berpisah' dan 'Kain Songket'. Kemuncak konsertnya malam itu ialah lagu Bunga Labu dan Teratai yang merupakan lagu-lagu 'agak sukar' dinyanyikan. Dua buah lagu Arab yang telah dirakamkan untuk album terbarunya juga diersembahkan berjudul Ishar dan Ya Habibi Nurul Ain. Lagu-lagu itu diubah semula susunan muziknya oleh Ramli MS. Lagu Ishar merupakan lagu yang popular persembahan penyanyi Fairuz 30 tahun lalu. "Saya tak pernah menyangka akan dapat merakam dan menyanyikan lagu ini kerana dulu semasa belajar di sekolah Arab saya selalu mendengarkan lagu itu. Alhamdulillah saya boleh menghayatinya dan tidak mengambil masa lama merakamkannya." kata Sharifah Aini. Dalam album terbarunya ini nanti biduanita Sharifah Aini turut merakamkan lagu-lagu ciptaan LY dan M Nasir. Sharifah juga turut merakamkan semula lagu popular Broery Marantika, 'Hati Yang Terluka' khas untuk mendiang. "Isya-Allah saya akan muncuk dalam Konsert Pop di Dewan Merdeka PWTC Kuala Lumpur pada September ini," katanya. Artikel lain yang berkaitan: Sharifah Aini Mencecah Puncak Kayangan (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 18 Jun 2000) Keunggulan Terbukti (Berita Minggu: Bi-Pop – 18 Jun 2000) Kenapa Sharifah Aini Masih Gementar (HAI – 17 Jun 2000) Dodoian Sharifah Menakjubkan (Harian Metro – Selasa, 13 Jun 2000) Sharifah Tidak Sabar Menanti (Harian Metro – Selasa, 30 Mei 2000) Nostalgia Bakal Berulang (Harian Metro – Rabu, 17 Mei 2000) Konsert Tradisional Sharifah (Harian Metro – Isnin, 6 Mac 2000) |