BEKALAN BUAT PEMINAT SETIA oleh Wan Asrudi Wan Hasan (Harian Metro: Isnin, 20 Julai 2009) |
Kah Pah beri kejutan umum persaraan pada 2011 dalam "An Evening With Datuk Sharifah Aini" Biarpun berdepan kontroversi berhubung persiapan album ke-99 beliau sebelum ini, persembahan biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini tetap tidak menghampakan. Persembahan An Evening With Datuk Sharifah Aini yang berlangsung di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur Jumaat lalu tetap berlangsung meriah. Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah, 55, menghiburkan lebih 1,000 peminat pelbagai lapisan usia menerusi lagu nostalgia dan terbaik sepanjang pembabitannya selama lebih 40 tahun dalam arena seni. Persembahan anjuran Nacee Events & Advertising dengan kerjasama Lime Events Management, mengubat kerinduaan peminat dengan lenggok lagu dan suara merdu Kak Pah. Di samping menghiburkan peminat dengan himpunan lagu terbaiknya, Kak Pah turut berkongsi pengalaman melalui penceritaan pembabitannya dalam bidang seni. Daripada seorang gadis kampung, Kak Pah berbangga dengan kejayaannya melakar nama dalam dunia seni. Kak Pah dikenali menerusi lagu seperti Kasih, Bunga Tanjung, Hatiku Dicuri Lagi, Kau Tinggi Di Awan Biru dan Burung Pungguk turut berkongsi suka duka sehingga menitiskan air mata ketika bercerita mengenai penyertaannya dalam pertandingan nyanyian walaupun dalam keadaan serba kekurangan ketika usia belasan tahun. Penyanyi yang memulakan kerjaya nyanyian sekitar 1968 dan menjadi penyanyi profesional selepas mendapat tempat ketiga pertandingan talentime anjuran Radio & Televisyen Singapura (RTS, kini dikenali sebagai TV Mediacorp) dan terus dilamar EMI Singapura untuk menjadi artis rakaman pada 1969. Kak Pah bukan saja berkebolehan menyanyi lagu Melayu klasik malah pelbagai rentak seperti pop, balada, ghazal, deli dan kontemporari. Lebih istimewa, boleh menyanyi lagu Inggeris dengan baik hingga merakamkan lapan album Inggeris serta mencipta sejarah sebagai penyanyi Malaysia pertama merakamkan album Inggeris. Melodi lagu Inggeris bagaikan cukup sinonim dengan Kak Pah. Malah menerusi persembahan khas itu, Kak Pah turut berduet bersama Syed Sobri yang juga pemain keyboard menyanyikan beberapa lagu Inggeris dan petikan lagu Seiring Sejalan dari filem lakonannya, Hapuslah Airmatamu. Tidak dilupakan, persembahan tribute kepada Datuk Ahmad Nawab menerusi lagu Hati Seorang Kawan, Daun-Daun Berguguran pula ditujukan kepada A Ramlie, Jeffrydin dan Allahyarham Datin Rafeah Buang. Beberapa lagu nostalgia turut disampaikan seperti Inilah Laguku, Hapuslah Air Matamu, Tiada Maaf Bagimu selain beberapa lagu medley Terbang Helang, Nurul Ain dan Kuda Ku Lari. Dalam asyik menghiburkan penonton, Kak Pah turut membuat pengumuman akan persaraannya dari dunia seni tanah air pada 2011 yang ternyata mengundang kejutan kepada peminat setia yang hadir menyaksikan konsert itu. Penonton turut dihiburkan dengan telatah lucu pengacara, Dee. Menurut Kak Pah, memang dia bertekad bersara daripada dunia seni pada 2011. Begitupun, dia tidak menolak jika masih ada yang mengundang menjayakan persembahan kebajikan. "Memang saya nekad untuk bersara apatah lagi usia pula semakin meningkat. Begitupun, saya tidak menolak jika ada yang menjemput untuk menjayakan persembahan biasa atau membabitkan program kebajikan. Saya sudah merancangnya cukup lama," katanya. Kak Pah ketika ditemui selepas persembahan ternyata berpuas hati sehingga tidak ada apa yang perlu dirungutkan atau dibangkitkan selepas lebih dua minggu berusaha keras menjalani latihan untuk menjayakan persembahan itu. Malah, dia gembira dengan sambutan yang diberikan penonton. "Saya menyanyikan 29 lagu termasuk medley. Alhamdulillah, maklum balas penonton juga amat baik. Yang penting mereka terhibur. Biarpun berdepan musibah sebelum persembahan ini berlangsung, saya bersyukur kerana peminat masih bersama dan memberi sokongan sehingga persembahan ini berjaya diselesaikan. "Persembahan ini juga adalah sebahagian daripada sambutan sebelum persaraan. Saya mempunyai lebih 20 persembahan lagi menjelang 2010. Perjalanannya masih panjang. Saya rasa menerusi jadual persembahan akan datang, saya sudah memberikan bekalan yang cukup kepada peminat sebelum persaraan nanti," katanya. Malah dia bersyukur kerana bakat seni masih dihargai sehingga ada yang sanggup menganjur dan seterusnya menaja persembahannya pada malam itu. Biarpun dalam keadaan sekarang apabila artis tempatan sukar mendapat tajaan mahupun diberi berkesempatan menjayakan konsert berskala besar. "Menerusi persembahan ini masyarakat tahu saya penyanyi yang dedikasi terhadap kerja dan bersungguh-sungguh ketika menjayakan setiap tugas yang diamanahkan. Setiap kali menjayakan persembahan, saya tetap memberikan yang terbaik. Saya tidak malu berkongsi kisah dan pengalaman yang dilalui sepanjang bergelar anak seni. Malah saya tidak malu menangis dan berterus terang ketika bercerita. Saya juga gembira kerana nampak lebih ramai peminat generasi muda menyaksikan persembahan ini. Harapan saya, mesej menerusi persembahan ini sampai. Tidak ada apa yang hendak disembunyikan dan saya sudah lakukan yang terbaik," katanya. Jika tiada aral Kak Pah akan mengadakan konsert khas anjuran sebuah pertubuhan Islam, Jamiyah Singapura, mengimbas kembali perjalanan hidupnya sebagai seorang anak seni, bertempat di Stadium Nasional Singapura, Kallang pada 8 November ini. Artikel lain yang berkaitan: Vintage Sharifah Aini (New Sunday Times – 26 July 2009) 20 Konsert Menjelang 2011 (Berita Harian – Khamis, 23 Julai 2009) Down Memory Lane With Kak Pah (New Straits Times – Tuesday, 14 July 2009) Tak Sabar Jumpa Peminat (Berita Harian – Isnin, 6 Julai 2009) Masih Kekal Sikap Humor (Berita Harian – Jumaat, 29 Mei 2009) |