TAK SABAR JUMPA PEMINAT oleh Zaidi Mohamad (Berita Harian: Isnin, 6 Julai 2009) |
Kontroversi terbaru yang tercetus di antara Datuk Sharifah Aini dan komposer S Atan tidak sedikitpun menggugat persiapan Biduanita Negara itu terhadap persembahannya pada 17 Julai ini di Dewan Perdana Felda. "Kak Pah masih boleh fokus dan memberi perhatian menyeluruh terhadap persembahan itu kelak. Apa yang berlaku tidak sesekali menggugat kekuatan dan semangat kak Pah untuk terus menghiburkan tetamu pada malam itu. Malah kak Pah bagaikan tak sabar untuk bertemu peminat," katanya ketika ditemui minggu lalu di Cosmic Silk yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Diberi nama An Evening With Datuk Sharifah Aini, persembahan bermula jam 8 malam itu adalah anjuran Nacee Events & Advertising dipadatkan dengan kerjasama Lime Events Management. Mungkin ada yang mengandaikan kehadirannya ke gedung fabrik itu adalah untuk membuat persiapan sempena kehadiran Ramadan dan lebaran tetapi sebenarnya Kak Pah ke sana untuk memilih fabrik sesuai untuk busananya yang akan direka pereka tersohor, Calvin Thoo ketika membuat persembahan pada malam itu nanti. "Alhamdulillah di atas kerjasama yang terjalin di antara pihak penganjur persembahan ini dengan butik Cosmic Silk, Kak Pah berbesar hati untuk menerima tajaan tiga pasang kain ela eksklusif daripada fabrik sifon berlabuci penuh. "Konsep busana yang Calvin reka lebih kepada gaya romantik dan setiap rekaan itu akan dipakai mengikut segmen persembahan yang ditetapkan. Besar kemungkinan juga kak Pah akan pakai dua busana sendiri. Apa-apapun di kesempatan ini, kak Pah ingin mengucapkan terima kasih kepada butik ini yang sudi bermurah hati menaja sekali gus melancarkan rangka perjalanan persembahan nanti. Selepas ini juga, kak Pah tidak akan teragak-agak untuk mengajak kawan untuk membeli kain di sini menjelang Ramadan," katanya yang sudah 40 tahun membabitkan diri dalam dunia seni. Mengenai pemilihan fabrik, kak Pah menjelaskan dia lebih suka memilih rona warna kain yang lebih lembut. Padanan warna yang bijak antara kunci terbaik untuk nampak anggun dan glamor di atas pentas. "Dengan saiz badan kak Pah ini, kak Pah harus berhati-hati dalam soal memilih fabrik dan warna pakaian. Silap percaturan, kak Pah mungkin akan menjadi mangsa fesyen pula. Untuk busana terutamanya yang akan dipakai ketika membuat persembahan, kak Pah selalunya memilih kain yang nampak cantik dan terletak supaya dapat menampakkan aliran busana yang akan dipakai," katanya. Bercerita lanjut mengenai konsep persembahan, penyanyi yang sudah 13 tahun hidup bersendirian tanpa ditemani seorang lelaki bernama suami itu akan memanfaatkan masa selama dua jam setengah mengalunkan sekitar 25 hingga 30 buah lagu malar segar dan popular nyanyiannya. "Setiap persembahan yang sering Kak Pah lakukan, Kak Pah lebih suka memilih corak nyanyian yang lebih 'straight forward'. Di samping itu, Kak Pah tidak akan lupa untuk berinteraksi dengan tetamu yang hadir," katanya. Ketika berada di sana, Kak Pah dibantu Pengarah Urusan Cosmic Silk Sdn Bhd, Mohd Zakir Hussain dan staf butik itu yang setia melayannya. Menurut wakil butik itu iaitu Hanoliza Hashim yang bertindak sebagai Pengurus Bahagian, mereka berbangga dapat terbabit sama memastikan kelangsungan persembahan itu. Beroperasi sejak setahun di Jalan Tuanku Abdul, butik itu bukanlah nama asing di kalangan masyarakat setempat kerana sudah pun terbabit dalam dunia peruncitan sejak 20 tahun lalu. Pelawaan penganjur tidak sesekali ditolak, lalu, tanpa bersoal panjang kerjasama ini terus berjalan. Malah sejak sidang media persembahan ini diadakan di Hotel Concorde, Cosmic Silk sudah pun menaja barangan cenderahati seperti tali leher, skaf dan baucar pembelian untuk rakan media dan tetamu yang hadir. "Ini adalah langkah terbaik kami untuk mempromosikan jenama Cosmic Silk di mata umum. Dengan persaingan sengit di antara butik kami dan premis yang lain, inilah masanya untuk kami terus memperkenal dan memperluaskan legasi butik ini. Pemilihan artis untuk ditaja juga adalah strategi yang sering dipraktikkan syarikat tertentu untuk mempopularkan jenama atau produk. "Begitu juga dengan kerjasama julung kali yang terjalin di antara kami dan Sharifah Aini. Beliau di antara diva tersohor yang masih unggul dalam liganya yang tersendiri, lalu, kami berbangga dapat menjadi sebahagian cebisan untuk sejarah yang bakal tercipta kelak bersempena persembahannya. Kami juga tidak menyangka beliau sudi menerima tajaan kami," kata Hanoliza Hashim. INFO AN EVENING WITH DATUK SHARIFAH AINI Jangan lupa temu janji anda dengan Biduanita Negara itu pada 17 Julai di Dewan Perdana Felda Persembahan biduanita yang mula terjun ke dunia muzik menerusi pertandingan Bintang RTS di Singapura pada 1968 itu akan diiringi oleh kumpulan muzik diketuai Syed Sobri yang bermain keyboard, serta tiga pemain gitar dan tiga penyanyi latar Dianjurkan oleh Nacee Events & Advertising dengan kerjasama Lime Events Management Tiket persembahan dijual pada harga RM2,000, RM3,000 dan RM5,000 semeja, atau RM200, RM300 dan RM500 seorang
Peminat boleh mendapatkan tiket dengan menghubungi Nora di talian 016-2252970, Shameem
(019-3488054), INFO COSMIC SILK Terletak di Wisma Cosmic, nombor 83 dan 85 di Jalan Tuanku Abdul Rahman Mempunyai enam tingkat dengan pengkhususan bahagian tertentu seperti kain langsir, fabrik pakaian dan sebagainya Selain fabrik pakaian untuk wanita, pilihan kain untuk lelaki dan kanak-kanak turut ada. Malah turut dijual, kain telekung sembahyang Selain masyarakat tempatan, pembeli yang kerap berkunjung ke butik itu terdiri daripada negara Singapura, Indonesia, Brunei, Dubai, London dan Perancis Sebarang pertanyaan boleh hubungi, 03-26942008 Artikel lain yang berkaitan: Vintage Sharifah Aini (New Sunday Times – 26 July 2009) 20 Konsert Menjelang 2011 (Berita Harian – Khamis, 23 Julai 2009) Bekalan Buat Peminat Setia (Harian Metro – Isnin, 20 Julai 2009) Down Memory Lane With Kak Pah (New Straits Times – Tuesday, 14 July 2009) Masih Kekal Sikap Humor (Berita Harian – Jumaat, 29 Mei 2009) |