MASIH KEKAL SIKAP HUMOR

oleh Nurulhisham Abdul Latiff  (Berita Harian: Jumaat, 29 Mei 2009)

Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini bakal membuat persembahan di Dewan Perdana Felda pada 17 Julai

Suasana di Restoran Spices, Hotel Concorde, petang Selasa lalu cukup ceria.  Dengan kehadiran agak ramai wakil media, terutama daripada stesen televisyen tempatan, sidang akhbar mengumumkan persembahan Dinner Show @ An Evening with Datuk Sharifah Aini berlangsung dalam keadaan meriah.

Biduanita Negara yang lebih selesa membahasakan dirinya Kak Pah juga kelihatan sungguh ceria.  Pada wajahnya, terpancar kegembiraan setiap kali mengucapkan terima kasih kepada wakil media serta rakan yang hadir memberikan sokongan.  Mungkin, hakikat dirinya jarang sekali muncul di khalayak ramai membuatkan hadirin ghairah untuk mendengar cerita terbaru penyanyi bersuara buluh perindu itu.  Beliau sendiri dengan senang hati bertanya khabar pada wakil media dari satu meja ke meja yang lain, sebelum sidang akhbar dimulakan.

Petang itu, acap kali Kak Pah menyelitkan unsur jenaka tatkala menjawab pelbagai pertanyaan daripada wartawan.  Kegirangan Kak Pah petang itu nyata menghidupkan lagi suasana.  Kedengaran juga komen spontan rakan media yang amat menyenangi sidang akhbar hari itu, yang memperlihatkan Kak Pah dengan nada lebih ceria.  Tiada topik kontroversi ditanya atau dibangkitkan, tiada juga jawapan memeritkan jiwa keluar daripada bibir penyanyi tersohor itu.  Malah, pada satu ketika, sambil ketawa kecil Kak Pah berkata, beliau hairan apabila ada sesetengah pihak mendakwa dirinya seorang penyanyi yang ada 'angin', sedangkan pada hakikatnya dia seorang yang cukup merendah diri.

Penganjur persembahan, Nor Anizah Che Ee, turut mengaku mendengar pelbagai cerita mengenai biduanita itu sehinggalah dia sendiri diperkenalkan kepada Kak Pah.  "Saya kenal Kak Pah tahun lalu setelah diperkenalkan kepadanya dalam satu majlis.  Beliau seorang yang suka merendah diri dan mudah diajak berbincang.  Kak Pah tidaklah seperti yang banyak saya dengar sebelum ini.  Beliau bukanlah penyanyi yang garang.  Berurusan dengannya amat menyenangkan, sehinggakan kami merancang beberapa lagi aktiviti selepas ini," kata Nor Anizah.

Bercerita mengenai persembahannya yang akan berlangsung di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, pada 17 Julai nanti, biduanita ini berkata, beliau tidak percaya pada gimik bodoh untuk menarik perhatian orang ramai menonton nyanyiannya.  Disambut gelak tawa hadirin, Kak Pah berkata, jika gimik dilakukan pada 30 tahun lalu, mungkin ia boleh diterima.  Tetapi, buat masa sekarang, beliau tidak terfikir untuk muncul dengan gimik bukan-bukan seperti mengenakan pakaian ala Tarzan.

"Persembahan ini lebih berupa perkongsian pengalaman Kak Pah selama 40 tahun dalam bidang seni.  Kak Pah ingin sekali berkomunikasi dengan peminat, bercerita mengenai suka-duka sepanjang pembabitan dalam bidang ini.  Inilah juga yang peminat ingin dengar dan lihat, berbanding gimik yang bukan-bukan," katanya yang meminta wartawan memanggilnya Kak Pah bukan Datuk.

Bakal muncul di pentas selama sejam 45 minit sehingga dua jam bermula jam 8 malam, penyanyi ini turut berasakan, jika peminat tidak puas dengan lagu yang dipersembahkan, dia tidak keberatan untuk terus mengalunkan beberapa lagi lagu pilihan mereka.  "Kak Pah seringkali menyediakan senarai lagu tambahan, sehingga 10 lagu jumlahnya, setiap kali mengadakan persembahan.  Kak Pah tidaklah kedekut apabila berada di pentas.  Paling penting, Kak Pah mahu peminat puas dengan persembahan itu.  Kita juga kena bersikap adil kepada peminat, jadi Kak Pah tidak akan mengadakan tema tertentu untuk persembahan itu nanti," ujarnya.

Menurut Kak Pah, persembahan terbabit akan dibahagikan kepada lima segmen, mengikut lagu yang bakal didendangkan, dari era 60-an sehingga era terkini.  "Mungkin Kak Pah akan memperbanyakkan lagu yang disampaikan dalam bentuk medley bagi membolehkan lebih banyak lagu diperdengarkan kepada peminat.  Bayangkanlah, Kak Pah sudah menyanyi sejak empat dekad lalu dan sudah lebih seribu lagu Kak Pah nyanyikan.  Jadi, banyak sekali lagu yang penuh nostalgia Kak Pah ingin dendangkan buat peminat," katanya yang kini sedang menyusun senarai lagu terbaik untuk persembahan berkenaan.

Persembahan biduanita yang mula terjun ke dunia muzik menerusi pertandingan Bintang RTS di Singapura pada 1968 itu akan diiringi oleh kumpulan muzik diketuai Syed Sobri yang bermain keyboard, serta tiga pemain gitar dan tiga penyanyi latar.  Dianjurkan oleh Nacee Events & Advertising dengan kerjasama Lime Events Management, tiket persembahan dijual pada harga RM2,000, RM3,000 dan RM5,000 semeja, atau RM200, RM300 dan RM500 seorang.  Peminat boleh mendapatkan tiket dengan menghubungi Nora di talian 016-2252970, Shameem (019-3488054), Mas (016-2631303) atau Eja (016-2529995).

Difahamkan, persembahan di Dewan Perdana Felda itu diadakan sempena 40 tahun pembabitan Kak Pah dalam dunia hiburan dan beberapa lagi siri persembahan termasuk di Singapura bakal menyusul selepas ini.  Kemuncak keraian dikatakan sebuah konsert oleh penyanyi terkenal itu di negara ini, berkemungkinan besar pada tahun depan.  

Bukan menghilangkan diri

Ketika ditanya mengenai 'kehilangannya' buat beberapa ketika, Kak Pah memberitahu, sememangnya dia tidak banyak muncul pada pertunjukan umum yang sering diikuti pelbagai promosi.  Sebaliknya, dirinya masih aktif menerima undangan mengadakan persembahan korporat, bukan saja di negara ini, bahkan termasuk di beberapa negara Asia.  Pada masa yang sama, dia juga masih aktif dengan perniagaan sampingan dijalankan seperti hiasan dalaman dan gubahan menerusi syarikatnya, Pods & Petals.

"Kak Pah memang tak banyak muncul pada pertunjukan umum.  Lagipun, Kak Pah rasa, pertunjukan begitu tak lagi berapa sesuai dengan Kak Pah yang sudah agak berusia ini.  Katakanlah penganjur meletakkan sebaris penyanyi rock muda-muda di situ, apa pula Kak Pah nak buat di situ?   Pada masa yang sama, orang kita suka cepat menghukum.  Entah apalah yang mereka kata nanti kalau tiba-tiba Kak Pah muncul pada persembahan begitu.  Mereka lebih sukakan artis yang muda dan jelita.  Jadi, daripada dihukum sebegitu, baiklah Kak Pah tidak muncul pada persembahan umum seperti itu.  Namun, tidak bermakna Kak Pah akan menolak semua undangan sedemikian.  Jika kemunculan Kak Pah bersama penyanyi rock tadi mampu membuatkan orang ramai menderma untuk tujuan kebaikan, Kak Pah pasti membuat pengecualian," kata Kak Pah yang bakal menyambut ulang tahun hari lahir ke-56 pada 2 Julai ini.

Menyentuh perkembangan pembikinan albumnya ke-99 dan ke-100 yang masing-masing bakal menggunakan judul Warisan Melayu dan Irama Terindah Malaysia, penyanyi itu memberitahu, sehingga kini sebanyak 50 peratus usaha pembikinan dua album itu sudah dilakukan.  "Kak Pah sendiri sudah berbincang dengan komposer Ramli MS.  Kami memutuskan untuk muncul dengan single terlebih dulu, sebelum album penuhnya menyusul kemudian," katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Vintage Sharifah Aini (New Sunday Times 26 July 2009)

  20 Konsert Menjelang 2011 (Berita Harian Khamis, 23 Julai 2009)

  Bekalan Buat Peminat Setia (Harian Metro Isnin, 20 Julai 2009)

  Down Memory Lane With Kak Pah (New Straits Times Tuesday, 14 July 2009)

  Tak Sabar Jumpa Peminat (Berita Harian Isnin, 6 Julai 2009)