20 KONSERT MENJELANG 2011 oleh Serimah Mohd Sallehuddin (Berita Harian: Khamis, 23 Julai 2009) |
Tatkala peminat asyik menikmati alunan suaranya yang merdu pada majlis An Evening With Datuk Sharifah Aini, Jumaat lalu di Dewan Perdana Felda, Biduanita Negara itu membuat kejutan apabila mengumumkan hasrat hati untuk bersara dari dunia seni suara dalam tempoh dua tahun lagi. Keputusan itu bukan gimik Sharifah Aini tetapi nekad hatinya apabila album ke-99 dan 100 siap, dia akan mengucapkan selamat tinggal kepada peminat yang sentiasa menyokong kerjayanya sepanjang 40 tahun bergelumang dalam dunia yang penuh pahit dan manis itu. Kedengaran suara peminat yang tidak rela dengan keputusan dibuat penyanyi itu apabila menyatakan hasrat hati untuk bersara pada 2011. Bagaimanapun penyanyi yang senang disapa Kak Pah itu nekad dengan keputusan yang dibuat. Bukan mahu meraih simpati sesiapa tetapi sengaja Kak Pah mengumumkan keputusannya itu lebih awal agar peminat setianya lebih bersedia dengan keputusan yang dibuat. Namun, Kak Pah tidak meninggalkan mereka begitu saja sebaliknya dia menyediakan bekal yang mencukupi buat mereka sebelum menjelang tarikh dimaksudkan. "Kak Pah sudah 40 tahun menyanyi, Kak Pah memang nekad apabila album ke 99 dan 100 berada di pasaran awal tahun depan, Kak Pah akan bersara menyanyi. Kak Pah ada 20 konsert lagi untuk dijayakan dalam tempoh dua tahun ini, malam ini adalah yang pertama, jadi Kak Pah rasa bekalan yang disediakan untuk peminat mencukupi sebelum Kak Pah mengucapkan selamat tinggal kepada mereka. Kak Pah akan mengadakan konsert perpisahan khusus untuk peminat nanti. Walaupun sudah bersara, Kak Pah akan tetap menyanyi jika ada undangan yang berkaitan dengan amal. Kak Pah berasa bertuah kerana peminat sentiasa berada di belakang menyokong Kak Pah," katanya yang ditemui sebaik usai persembahannya. Kontroversi yang menimpa penyanyi itu baru-baru ini ternyata tidak menjejaskan majlis An Evening With Datuk Sharifah Aini apabila kira-kira 890 peminat hadir menyaksikan persembahannya yang berlangsung empat jam. Biarpun persembahannya bermula hampir jam 10 malam, peminat setia penyanyi itu yang datang dari serata negeri termasuk negara jiran Singapura, begitu sabar menanti. Mereka juga bagaikan tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing biarpun jarum jam sudah menunjukkan satu pagi. Masing-masing seakan tidak puas menyaksikan persembahan penyanyi yang pernah menerima pengiktirafan Penyanyi Paling Popular Satu Dekad 1970 hingga 1980 oleh Papita. Biarpun sudah lebih dua 20 buah lagu dialunkan penyanyi itu bersama rentetan cerita perjalanan hidupnya. Malah, saat penyanyi itu mahu mengundur diri, penonton masih sempat meminta Sharifah Aini mengalunkan sebuah lagu lagi. Untuk tidak menghampakan peminatnya yang masih tidak berganjak, beliau memenuhi permintaan mereka. Sharifah Aini seperti melepaskan geram malam itu setelah lebih setahun tidak membuat persembahan sebegini. Dalam usianya yang sudah mencecah setengah abad, dia seakan tidak mengenal erti penat walaupun waktu sudah melewati tengah malam. Dia menyangkal cuba melepas geram, sebaliknya kekuatan itu datang kerana kesetiaan yang ditunjukkan peminatnya. "Kak Pah bukan mahu melepas geram. Lihat sendiri macam mana peminat Kak Pah, mereka masih setia walaupun malam sudah semakin lewat. Kak Pah cuma mahu berseronok. Kak Pah juga seorang penyanyi yang berdedikasi. Setiap kali membuat persembahan Kak Pah akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk peminat supaya mereka puas hati," kata penyanyi itu yang memilih membuka tirai persembahannya dengan memulakan bicara mengenai sejarah hidupnya sebelum mendendangkan lagu Seri Dewi Malam. Tampil dengan gaun malam rona merah dan hitam rekaan pereka terkenal Calvin Thoo, ada getaran di suara penyanyi itu tatkala mula mendendangkan lagu pertamanya. Penyanyi itu tanpa berselindung memberitahu betapa dia gementar untuk berhadapan peminatnya. Katanya, perasaan gementar sering dialami setiap kali membuat persembahan biarpun sudah empat dekad bergelar penyanyi. Jika tiada perasaan sedemikian, katanya, itu petanda yang tidak baik untuk kerjayanya. Kisah hidupnya yang sebelum ini menjadi rahsia dikupas satu persatu dengan begitu telus oleh penyanyi ini. Tiada rahsia antara Kak Pah dengan peminatnya malam itu, sesekali derai tawa memecah kesunyian malam itu dan ada ketika emosinya terusik apabila mengenang kepayahan menjadi anak seni terutama pengorbanan arwah datuknya yang bersusah payah memenuhi kehendaknya, agar cucu dikasihi mengecap apa yang dimahukan sebagai penyanyi. Kepayahan bergelar anak seni, kisah ditipu penganjur persembahan hinggalah kisah tragis pemergian tunang tersayang, kepada kisah kebahagiaan rumah tangga yang dikecapi bersama bekas suami dan kehadiran bayi comel bernama Aliff Omar yang melengkapi hidupnya dikongsi telus dengan peminat. "Hidup saya penuh warna warni, saya tidak perlu berlakon seperti malaikat dan tiada apa yang hendak dimalukan untuk dikongsi bersama peminat malam ini. Cerita yang saya kongsi bersama peminat malam ini lahir secara spontan, bukan dikarang terlebih dulu," katanya. Diiringi petikan muzik dari Syed Sobri, Bell, Bujang dan Chobib, Sharifah Aini mendendangkan 39 buah lagu. Antara lagu yang didendangkan malam itu adalah Dari Masa Hingga Masa, Hapuslah Air Matamu, Tiada Maaf Bagimu, Putus Kasih, Kau Tinggi Di Awan Biru (yang ditujukan khas buat arwah tunangnya, seorang juru terbang yang meninggal dunia lapan bulan sebelum mereka mendirikan rumah tangga), Tiga Malam dan If Tomorrow Never Come. Sebelum meninggalkan peminatnya malam itu, Kak Pah juga masih sempat meluangkan masa dengan bergambar dan beramah mesra dengan mereka sekalipun kepenatan. Dia meluangkan masa hampir setengah jam bersama mereka, di antara puluhan peminat yang mengerumuni penyanyi itu, ada yang secara terbuka menyatakan kesetiaan mereka untuk memberikan sokongan kepadanya walau apa saja yang berlaku kepada penyanyi kesayangan mereka. Artikel lain yang berkaitan: Vintage Sharifah Aini (New Sunday Times – 26 July 2009) Bekalan Buat Peminat Setia (Harian Metro – Isnin, 20 Julai 2009) Down Memory Lane With Kak Pah (New Straits Times – Tuesday, 14 July 2009) Tak Sabar Jumpa Peminat (Berita Harian – Isnin, 6 Julai 2009) Masih Kekal Sikap Humor (Berita Harian – Jumaat, 29 Mei 2009) |