NAIK KAPAL MEWAH DENGAN SHARIFAH AINI

oleh Joha Ahmad  (URTV: 1 November 2000)

Setelah hampir 31 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan, inilah kali pertama Sharifah Aini diberi peluang melancarkan CD-Rom album di atas kapal mewah bersama peminat.  Biduanita yang terkenal dengan tahi lalat yang banyak di wajahnya ini memberitahu, saat-saat seperti ini telah lama dinantikan dan apa yang dilakukan oleh syarikat rakaman EMI Malaysia untuk album terbarunya 'Seribu Mawar' adalah yang paling berharga baginya.  "Siapa yang tak bangga diberi penghormatan buat majlis perlancaran album CD-Rom di atas kapal pesiaran yang terbesar di Asia Pasifik ini, ala-ala Titanic gitu.  Kira kelas jugalah pelancaran 'Enhanced CD Seribu Mawar' Kak Ani ini.  Bukan Kak Ani nak bangga tak tentu fasal, tapi ikhlas Kak Ani katakan, biarpun hampir 30 tahun menyanyi, inilah kali pertama pengalaman yang Kak Ani dapat rasakan, bersama para peminat dan wartawan di majlis yang melibatkan pelancaran album," katanya dengan bersungguh-sungguh.

Kapal pesiaran StarVirgo yang di atasnya terbina hotel 13 tingkat itu pernah dijejaki oleh pelakon popular Hindustan, Amir Khan ketika menjayakan penggambaran filem 'Mann'.  "Kak Ani ingat filem 'Mann', tak sangka juga kita dapat naik kapal ni ya!  Tak apalah, setidak-tidak dapat juga kita tengok tempat Amir Khan berlakon," jelas Sharifah lagi.  Pada pelayaran itu Sharifah Aini ditempatkan dalam sebuah bilik di atas kapal itu yang nilainya RM1,119 seorang.  Bilik itu terletak di tingkat sembilan.  Dalam pelayaran itu, Sharifah Aini juga sempat mengadakan persembahan selama 45 minit di auditorium The Lido yang boleh memuatkan seramai 900 penonton.  Bayangkan betapa besarnya kapal SuperStar Virgo itu !

"Besar kapal ni ya, tak sangka macam sebuah hotel yang bergerak di atas laut," kata Sharifah Aini kagum.  Mana tidaknya, kapal SuperStar Virgo ini ada 18 buah restoran dan restoran yang paling besar ialah 'Bella Vista' yang boleh memuatkan seramai 636 tetamu dalam satu masa.  Dan di restoran itu jugalah rombongan kami diberi peluang menikmati makan malam pada hari pertama pelayaran.  Ingin tahu petugas di dalam kapal ini?  Tidak kurang 1,000 orang !  "Handsome-handsome you staff di sini, yang rupa hero Hindustan pun ada juga," tambah Kak Pah berseloroh.

Ketika tiba di bumi Kota Singa pada jam 12.30 tengahari, kami dibawa ke Hotel Pan Pacific, di Suntex City.  Ada di kalangan para rombongan mengambil kesempatan pergi membeli belah.  URTV sempat bertanya kepada Sharifah Aini, "Berapa budget Kak Ani shopping di sini?"  "Mana sempat shopping ... tak ada pun niat nak beli apa-apa.  Tapi tak apalah, tak shopping pun Kak Pah dah dapat hadiah cincin berbatu 'ruby' tiga bentuk bertatahkan berlian pemberian seorang peminat, Sharifah Lulu Syed Alsogoff, dari Beduk North, Singapura," cerita Sharifah Aini.

Pulang ke Kuala Lumpur, EMI Malaysia telah membawa rombongan menaiki Senandung Malam, KTM. Sharifah Aini biarpun bergelar biduanita, tetap setia bersama rombongan dan ikut serta naik keretapi.  "Dah 25 tahun Kak Ani tak naik keretapi !"  Itulah pengakuan biduanita negara itu.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Ada Kenangan Manis Di Atas Kapal Mewah (Media Hiburan – 21-27 Oktober 2000)

  Majlis Rai Sharifah Aini Meriah (Berita Minggu: Bi-Pop – 15 Oktober 2000)

  Sharifah Aini Takut Kahwin Lagi? (HAI – 15 Oktober 2000)

  Seribu Mawar Berkumandang Di Tengah Samudera (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 15 Oktober 2000)

  Sharifah's Sailing High (New Straits Times – Friday, October 13, 2000)

  Sharifah Aini Terus Bersinar (Harian Metro – Isnin, 9 Oktober 2000)

  Sharifah Aini Sambung Kontrak Dengan EMI (Utusan Malaysia – Isnin, 9 Oktober 2000)