SERIBU MAWAR BERKUMANDANG DI TENGAH SAMUDERA

oleh Ruhaidini A Kadir  (Mingguan Malaysia: Pancaindera,  15 Oktober 2000)

Berlian yang sering dikaitkan dengan tanda kasih sayang abadi, symbol kemewahan dan kecantikan sejati bukan saja batu permata bernilai yang paling keras tetapi juga tertua pernah ditemui di dunia.  Keunggulan berlian sukar ditandingi batu permata lain, sekali gus menjadi pujaan bagi pengumpul barang perhiasan yang sentiasa mengidamkan kelainan pada setiap koleksi pilihan mereka.  Bagi pemuja batu permata ini, berlian diminati kerana sifat yang tersirat di sebalik misteri dan keunikan semula jadinya.  Dan umpama berlian yang ditemui dalam perut bumi dengan semarak cahayanya demikianlah juga nilai yang paling cocok untuk menggambarkan kehebatan biduanita Sharifah Aini dalam dunia seni suara.

Begitulah nilai yang diletakkan oleh syarikat rakaman EMI (M) Sdn. Bhd. ke atas kesetiaan Sharifah Aini yang telah bersama syarikat itu selama 31 tahun, umpama sebutir berlian 45 karat.  "Sharifah Aini telah bersama EMI selama 31 tahun dan beliau merupakan satu-satunya penyanyi Malaysia yang mampu mempertahankan kejayaan sejauh ini," kata Naib Presiden EMI Asia, Beh Suat Peng.  Mengenali Sharifah Aini sejak penyanyi itu bergelar anak dara dengan badan langsing, Beh berkata, kontraknya yang bakal tamat tidak lama lagi akan disambung untuk lima tahun lagi.  "Berani saya katakan bahawa Sharifah Aini merupakan penyanyi yang paling lama bernaung di bawah syarikat rakaman," katanya.  Beh membuat pengakuan itu di majlis pelancaran cakera padat Enhanced Seribu Mawar.

Seperti Beh, Pengarah Urusan EMI, Darren Choy juga mengakui, sesuai dengan nilai 'sebutir berlian 45 karat', EMI telah memilih kapal persiaran mewah Superstar Virgo yang juga merupakan kapal terbesar di Asia Pasifik untuk pelancaran Enhanced Seribu Mawar. "Pelayaran ini sebagai menghargai kejayaan demi kejayaan yang telah diraih oleh Sharifah Aini sepanjang 31 tahun bersama EMI," katanya.  Menyentuh mengenai Enhanced Seribu Mawar, cakera padat itu memuatkan retrospektif Sharifah Aini sepanjang kariernya dalam seni.  "Melalui Enhanced Seribu Mawar selama 15 minit ini, peminat dapat mengenali Sharifah Aini dengan lebih mendalam," ujarnya.

Pelayaran pada 5 dan 6 Oktober lalu dari Pelabuhan Klang ke Singapura itu disertai oleh 'orang kuat' EMI seperti Arzmy Mohd. (Pengarah Artis & Repertoire), Normahiran Yusof (Pengurus Kanan Promosi) dan Shima Nikmat (Pegawai Perhubungan Awam).  Selain wakil media massa, pelayaran itu turut diserikan oleh peminat bertuah termasuk 10 peminat yang telah memenangi kuiz Pelayaran Seribu Mawar anjuran EMI bersama Pancaindera.  Yang pasti, bukan sekadar wakil media massa dan peminat bertuah sahaja yang terhibur tetapi juga pelancong-pelancong lain yang mengikuti pelayaran Superstar Virgo apabila 'suara berlian' Sharifah Aini berkumandang di Kelab The Lido.

Mengadakan persembahan selama satu jam di tingkat 12 kelab yang mampu memuatkan 1,200 penonton itu, Sharifah Aini dengan kehebatan vokalnya memukau penonton dengan 12 buah lagu termasuk 'Hapuslah Airmatamu', 'Bunga Tanjung' dan 'Seribu Mawar'.  Seperti kata salah seorang peminat bertuah yang memenangi kuiz Pancaindera, Azhar Abdullah, 36, beliau jatuh cinta pada Sharifah Aini selepas pertama kali mendengar suara biduanita itu. "Saya mengumpul album Sharifah Aini sejak tahun 1973 iaitu sejak album pertamanya sehinggalah sekarang," katanya sambil memberitahu bahawa dia bukan sahaja menghafal semula lagu-lagu penyanyi itu tetapi juga mengetahui jumlah tahi lalatnya.

Bagai sebutir berlian yang semarak dengan cahaya, setiap kali biduanita ini mengatur langkahnya, ribuan pasang mata yang melihat pasti tertarik kepadanya dan menatap wajahnya untuk kali kedua.  Tak jemu mata memandang.  Ada yang menoleh beberapa kali ke arah Sharifah Aini dan seperti ada suara senyap dari mata mereka berkata:  "Memang Sharifah Aini mampu memukau bukan sekadar dengan suara tetapi juga senyumannya."

Demikianlah keadaannya apabila kapal Starvirgo yang membawa Sharifah Aini dan rombongan berlabuh di World Trade Centre, Singapura pada 12 tengah hari 6 Oktober lalu.  Sharifah Aini bukan sahaja dikerumuni peminat setianya tetapi sesi bertemu peminat di Tower Records, Kompleks Suntex City mencatatkan pengalaman yang tidak mungkin mampu dilupakan oleh Sharifah Aini sendiri.  "Saya didatangi oleh seorang peminat yang kemudian menghadiahkan sebentuk cincin emas putih bertatah berlian dan seutas rantai," ujar Sharifah Aini dalam nada terharu.  Malah, Sharifah Aini yang masih kekal dengan ketinggian budi bahasa dan sifat rendah diri turut mengakui beliau juga menerima pelbagai hadiah istimewa lain daripada peminat termasuk sebentuk cincin emas dengan tiga biji batu delima yang bertatahkan berlian, kain dan macam-macam lagi.  "Pada saya, bukan harga yang jadi nilaian tetapi ingatan peminat yang tidak pernah luntur terhadap saya," katanya.

Seperti kata Sharifah Aini sedari awal, semoga 'Pelayaran Seribu Mawar' ini menjadi satu nostalgia manis buat semua perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Singapura penuh dengan keindahan apatah lagi Azwan Ali yang bertindak sebagai pengacara sentiasa sarat dengan idea untuk menggamatkan suasana.  Malah, perjalanan pulang Sharifah Aini dan rombongan dari Tanjung Pagar ke Kuala Lumpur yang ditaja oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM) penuh keseronokan.

Artikel lain yang berkaitan:

  Naik Kapal Mewah Dengan Sharifah Aini (URTV – 1 November 2000)

  Sharifah Aini Ada Kenangan Manis Di Atas Kapal Mewah (Media Hiburan – 21-27 Oktober 2000)

  Majlis Rai Sharifah Aini Meriah (Berita Minggu: Bi-Pop – 15 Oktober 2000)

  Sharifah Aini Takut Kahwin Lagi? (HAI – 15 Oktober 2000)

  Sharifah's Sailing High (New Straits Times – Friday, October 13, 2000)

  Sharifah Aini Terus Bersinar (Harian Metro – Isnin, 9 Oktober 2000)

  Sharifah Aini Sambung Kontrak Dengan EMI (Utusan Malaysia – Isnin, 9 Oktober 2000)