SHARIFAH AINI TERUS BERSINAR

oleh Hartati Hassan Basri  (Harian Metro: Isnin, 9 Oktober 2000)

Sebutir berlian 45 karat, begitulah perumpamaan bagi menggambarkan nilai biduanita negara bersuara hebat Sharifah Aini, yang tetap setia selama 31 tahun dengan syarikat rakaman EMI (M) Sdn Bhd, menghasilkan album ke 72, 'Seribu Mawar'.  Sesuai dengan nilainya, majlis pelancaran album terbarunya ini tentulah sesuatu yang istimewa.  EMI memilih pelayaran ke Singapura dengan kapal terbesar di Asia Pasifik, StarVirgo bersama peminat bertuah serta wakil media pada 5 Oktober lalu.  Pelayaran ini mencipta sejarah peribadi Sharifah, 45, kerana melancarkan album 'Seribu Mawar' dalam bentuk Enhanced CD.  Album yang dipasarkan mulai hari ini, memuatkan retrospektif Sharifah sepanjang kariernya dalam seni (selama 15 minit) untuk mengenali Sharifah dengan lebih mendalam.  Sharifah juga mengesahkan terus bersama EMI untuk tempoh lima tahun lagi apabila kontraknya tamat bulan ini.  Bermula ketika anak dara dengan badan langsing hinggalah kini Sharifah dikenali dengan imej tersendiri seperti tahi lalat, hidung mancung serta bentuk badan.

Pelayaran ini juga memberi peluang kepada peminat bertuah seramai 25 orang yang dipilih daripada pemenang 'Kuiz Seribu Mawar' anjuran beberapa media serta 60 wakil media termasuk Pengarang Hiburan seperti Harian Metro, Berita Harian, News Strait Times.  Tidak ketinggalan keluarga EMI terutama orang kuatnya seperti Penolong Kanan Presiden EMI Asia, Beh Suat Peng; Pengarah Urusan EMI, Darren Choy; Pengarah Artis & Repertoire, Arzmy Mohd serta Pengurus Kanan Promosi, Normahiran Yusof serta Pegawai Perhubungan Awam, Shima Nikmat.  Sharifah memberi hadiah istimewa untuk rombongan dengan persembahan hampir sejam di 'The Lido', di tingkat 12 kapal itu dengan lagu-lagu evergreen serta dari album 'Seribu Mawar'.  Kehebatan vokal Sharifah tidak siapa dapat mempersoalkannya, terutama ketika menyanyi live lagu 'Dekatlah Padaku' dan 'Hapuslah Airmatamu' ditambah pula sistem bunyi yang canggih.

Sharifah juga berusaha menarik penonton dari kalangan bangsa asing dengan lagu Inggeris, 'Crazy', 'Blue Bayou' dan 'Have You Really Loved A Woman'.  Lagu daripada albumnya, 'Nary Ya Habiba' dan 'Resah Bersalam' sebagai pembukaan, sementara 'Seribu Mawar' dan 'Nour El Ain' untuk menutup persembahan.  Tidak ketinggalan lagu wajib, 'Bunga Tanjung' yang digubah khas oleh Syed Sobrie.

Selain bintang yang diraikan, ada seorang lagi 'bintang' dalam pelayaran, iaitu seorang pemenang kuiz anjuran Mingguan Malaysia, Azhar Abdullah, 36, yang menghafal lagu-lagu Sharifah.  Azhar dari Kelana Jaya, Selangor mula mengenali Sharifah sejak tahun 1973, apabila ayahnya membeli album Sharifah (tidak ingat tajuk, hanya gambarkan kulitnya berlatarkan warna biru) iaitu alabum 'Jangan Tinggalkan Daku'.  "Pertama kali mendengar suaranya, saya terus jatuh cinta.  Sejak itu saya tidak ketinggalan membeli albumnya," katanya paling menyukai lagu 'Rahsia Tangisanku'.  Malah Azhar sering menjadi mangsa deraan Azwan Ali apabila diminta menghiburkan rombongan sama ada di atas kapal, makan tengahari di Fort Cannning Lodge, makan malam di Riverwalk Tandoor atau dalam keretapi ketika perjalanan pulang.

Sharifah yang jelita dengan blaus serta seluar panjang warna ungu diserikan pashmina merah jambu tersandang di bahu, bersedia menjawab apa saja soalan, asalkan bukan ukuran baju dalamnya.  Ada yang meminta kepastian mengenai keaslian hidungnya, rahsia kekal lama serta paling mengejutkan pengesahan mengenai gosip Sharifah akan berkahwin dengan pakar bedah.  Sharifah yang bercerai lebih dua tahun lalu, mengakui buat masa ini belum memiliki teman istimewa serta belum bersedia untuk berkahwin kali ketiga.  "Buat masa ini saya belum keluar berdua dengan mana-mana lelaki kerana saya mahu menikmati kebebasan hidup sendiri.  Selepas dua tahun setengah, saya belum terniat untuk kahwin lagi, katanya turut mengakui hidungnya adalah asli dan bukan silikon.  Pihak media juga sporting memberi peluang kepada mereka bertanya sebagai kelainan daripada tugasan sebelumnya yang memerlukan wartawan mengajukan soalan.

Kenangan Manis ... sebahagian anggota rombongan pelayaran kapal bersama Sharifah AiniApabila kapal StarVirgo berlabuh di World Trade Center, Singapura kira-kira jam 12 tengahari, bermulalah detik yang ditunggu peminat Sharifah di republik itu pula.  Di mana-mana Sharifah pergi, sama ada ketika menikmati makan tengahari atau makan malam, ramai yang datang bersalaman dengannya.  Itu belum lagi ketika sesi bertemu peminat di Tower Records di Sintat Plaza.  Sharifah tiba di sana kira-kira jam 6 petang dengan limosin, terus diserbu peminat untuk sesi fotografi serta tandatangan autograf.  EMI juga terharu kerana meja yang menjual cakera padat (CD) album 'Seribu Mawar' menjadi tumpuan dan habis dalam waktu yang singkat.

Seperti kebiasaan, Sharifah yang terkenal dengan himpunan subang dan cincin berlian menerima sebentuk cincin berlian serta rantai daripada peminatnya.  Walaupun penat, kegembiraan dan kepuasaan terpancar di wajah semua yang menyertai rombongan ini apabila tiba di Kuala Lumpur kira-kira jam 6.45 pagi.  Perjalanan pulang dari Tanjung Pagar ke Kuala Lumpur ditaja oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Artikel lain yang berkaitan:

  Naik Kapal Mewah Dengan Sharifah Aini (URTV – 1 November 2000)

  Sharifah Aini Ada Kenangan Manis Di Atas Kapal Mewah (Media Hiburan – 21-27 Oktober 2000)

  Majlis Rai Sharifah Aini Meriah (Berita Minggu: Bi-Pop – 15 Oktober 2000)

  Sharifah Aini Takut Kahwin Lagi? (HAI – 15 Oktober 2000)

  Seribu Mawar Berkumandang Di Tengah Samudera (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 15 Oktober 2000)

  Sharifah's Sailing High (New Straits Times – Friday, October 13, 2000)

  Sharifah Aini Sambung Kontrak Dengan EMI (Utusan Malaysia – Isnin, 9 Oktober 2000)