Kelunakan 
	suara Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini memang tiada tandingan.  
	Apatah lagi apabila berkongsi pentas bersama dua penyanyi bersuara lantang, 
	Adibah Noor dan Anuar Zain sempena persembahan amal Datuk Sharifah Aini & 
	Friends yang berlangsung di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
	
	Kolaborasi mereka ternyata mempunyai 
	tarikan tersendiri dan menghiburkan kira-kira 400 penonton.  Penonton 
	buat julung kali menyaksikan persembahan duet Datuk Sharifah Aini atau lebih 
	mesra disapa Kak Pah bersama Anuar Zain menerusi lagu Keabadian Cinta 
	dan Getaran Jiwa.  Begitu juga persembahan trio di hujung 
	konsert dengan lagu medley popular sekitar 1970-an termasuk lagu Tiada 
	Maaf Bagimu dan beberapa lagu Inggeris.
	
	
	
Kak 
	Pah ketika ditemui selepas berakhirnya persembahan memaklumkan betapa 
	gembira dapat melihat sambutan penonton yang hadir termasuk sokongan 
	daripada rakan dan media.  "Kami tahu persembahan seperti ini dapat 
	menarik lebih ramai penonton.  Begitupun, kehadiran penonton di sini 
	sudah cukup memadai memandangkan tempat ini tidak begitu sesuai untuk 
	menampung jumlah penonton yang ramai.  Atas 
	sambutan yang menggalakkan ini, saya mungkin mempunyai rancangan untuk 
	bekerjasama dengan Anuar dan Adibah di pentas yang lebih besar pada masa 
	hadapan.  Di samping beberapa siri konsert amal selain bekerjasama 
	dengan beberapa artis terkenal tanah air seperti Anita Sarawak, Jamal 
	Abdillah dan Datuk Sheila Majid.  Saya bersyukur kerana mempunyai peminat 
	setia di kalangan warga korporat.  Justeru saya percaya persembahan 
	seperti ini akan mendapat sokongan.  Untuk konsert amal ini saya harap 
	dapat mengumpul dana sekitar 
	RM10,000 ke atas untuk diagihkan kepada rumah amal, Maahad Tahfiz Al-Quran 
	Darul Huffaz, Batu 13 Puchong, Selangor dan beberapa sekolah serta rumah 
	kebajikan yang akan dikenal pasti nanti," katanya. 
	
	Dalam 
	kerancakan merancang mengadakan konsert disamping beramal, Kak Pah juga 
	meluahkan kekecewaan disebabkan kesukaran mendapatkan sokongan penajaan.  
	Sehinggakan pelbagai usaha dilakukan demi memastikan perancangan mengadakan 
	konsert di samping aktiviti amal dapat dilaksanakan.  Malah Kak Pah 
	turut menolak dakwaan segelintir individu yang menganggap dia tidak boleh 
	bekerjasama atau berkongsi pentas dengan mana-mana artis tempatan.
	
	
	
"Saya 
	memang sentiasa mahu bekerjasama dengan nama-nama artis yang saya sebutkan.  
	Tidak timbul soal saya tidak mahu bekerjasama dengan artis lain.  Saya 
	memang mempunyai perancangan bekerjasama dengan Sheila Majid dan 
	Jamal Abdillah pada masa akan datang," katanya.  Selepas persembahan 
	itu, Kak Pah dijangka bergabung bersama penyanyi terkenal, Anita Sarawak 
	untuk satu lagi persembahan amal yang dijadualkan berlangsung pada Mac tahun 
	depan di lokasi sama.
	
	Anuar 
	Zain yang turut dilabelkan antara artis tempatan sukar untuk berkongsi 
	pentas dengan artis lain juga mengakui keinginan tinggi untuk bersama Datuk 
	Sharifah Aini memang sentiasa dinantikannya.  Malah apabila dimaklumkan 
	pengurusnya untuk projek berkenaan dia rasa cukup teruja memandangkan sejak 
	kanak-kanak dia mengagumi bakat seni Sharifah Aini selain meminati lagu 
	seperti Empat Dara dan Tiada Maaf Bagimu.
	
	"Saya 
	tidak pernah terfikir berpeluang untuk berduet dengan Kak Pah.  Apabila 
	dimaklumkan pengurus, saya tidak berfikir panjang dan terus memaklumkan 
	"ya".  Memang sukar melepaskan peluang menyanyi dan berkongsi pentas disamping 
	Sharifah Aini.  Saya bangga jadi sebahagian daripada mereka yang 
	menjayakan persembahan ini," katanya.
	
	Sementara 
	itu, Adibah Noor pula mengimbau detik pertemuan bersama Kak Pah ketika dia 
	memenangi pertandingan menyanyi sekitar 1994 apabila Sharifah Aini 
	memaklumkan perasaan kagum terhadap bakat seninya.  "Ketika bertemu, 
	Kak Pah memaklumkan kepada saya rasa kagumnya terhadap bakat saya dan 
	merancang bekerjasama.  Hanya selepas 15 tahun baru kami berkesempatan 
	bekerjasama.  Memang saya cukup gembira dapat bekerjasama dengan 
	Biduanita Negara yang cukup saya kagumi," katanya.
	
	
	
Adibah 
	yang memulakan persembahan jam 9.10 malam itu menyampaikan beberapa lagu 
	medley koleksi Sharifah Aini dan lagu popular Anuar Zain sebagai 'pemanas 
	badan' di samping beramah mesra dengan peminat.  Adibah turut 
	menyampaikan lagu romantik seperti Rindu Bayangan, Belaian Jiwa 
	dan Kenangan Lalu.  Persembahan pentas yang diambil alih 
	penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Ini selepas sejam berlalu.  
	Walaupun diganggu dengan masalah bunyi yang kurang memuaskan peminat setia 
	Anuar tetap teruja menantikan persembahan jejaka kacak itu.  Anuar 
	tampil menyanyikan lagu medley Mimpi Sedih dan Widuri. Selain 
	lagu Try Me To The Moon dan lagu hitsnya, Lelaki Ini.
	
	Kak Pah 
	yang mengambil alih persembahan pentas selepas jam 11 malam menyampaikan 
	himpunan lagu terbaiknya seperti Jatuh Cinta, Inikah Balasannya,
	Di Malam Persandingan, Bunga Tanjung, Tunggu Sekejap,
	Sabar Menanti dan beberapa lagu Inggeris seperti Autumn Leaves.
	
	Artikel lain yang berkaitan:
		
  
		
Kak Pah Sasar RM1 Juta 
		(Berita Minggu: B*Pop 
		
		– 20 
Disember 2009)
		
  
		
Saling Mengagumi 
		(Berita 
		Harian 
		
		– Khamis, 17 Disember 2009)
		
  
		
Demi Anak Tahfiz 
		(Berita Harian 
		
		– Jumaat, 6 November 2009)
		
  
		
Sharifah Aini Powers On 
		(The New Straits Times 
		
		– Tuesday, 3 November 2009)
		
  
		
Kak Pah, Anuar Ziarah Bakal Hafiz 
		(Berita Minggu: B*Pop 
		
		– 1 November 2009)
		
  
		
Dakwah Cara Sharifah Aini 
		(Berita Harian 
		
		– Jumaat, 23 Oktober 
2009)
		
  
		
Tak Serik Kena Kapur 
		(Berita Minggu: B*Pop 
		
		– 18 
Oktober 2009)