TAK SERIK KENA KAPUR

oleh Zul Husni Abdul Hamid  (Berita Minggu: B*Pop, 18 Oktober 2009)

Biduanita Negara anjur siri persembahan Datuk Sharifah Aini And Friends Charity Dinner mulai 4 Disember ini

Andai nanti dunia seni yang sudah 41 tahun dijalani ditinggalkan akan terdetik satu kepuasan yang sukar diungkapkan dengan perkataan dalam diri biduanita bersuara lunak, Datuk Sharifah Aini.  Kepuasan itu dikecapi nikmat populariti yang dibina sejak 1968 dan dimanfaatkan untuk tujuan murni – memberi kelapangan kepada mereka yang memerlukan.  "Rezeki diberikan Tuhan jika dikongsi bersama mereka yang memerlukan akan membuat saya tenang," katanya perlahan ketika ditemui pada pagi Sabtu lalu.  Keikhlasan yang dialas kesabaran membuatkan anak kelahiran Johor yang akrab membahasakan dirinya sebagai Kak Pah itu tidak pernah berputus asa dengan hidupnya.

Pengalaman dikapur penganjur, malah bayaran beberapa persembahan yang dijayakan sejak 2005 masih belum diterima tidak sesekali membenamkan hasrat yang sekian lama tertanam di sudut hatinya.  Akur serik kerana terlalu mempercayai orang lain, Sharifah Aini bekerja keras menyediakan peruntukan RM150,000 untuk merealisasikan siri persembahan amal, Datuk Sharifah Aini and Friends Charity Dinner.

Menerusi syarikatnya, Seri Dewi Production Sdn Bhd didukung Lime Events Management dan Concorde Hotel Kuala Lumpur, Sharifah Aini menggerakkan siri makan malam amal yang akan bermula Disember nanti.  Ia dibuka dengan persembahan bersama Adibah Noor di Grand Ballroom, Concorde Hotel Kuala Lumpur pada 4 Disember depan bermula jam 8 malam.  Menyusul selepas itu, persembahan istimewanya bersama penyanyi lelaki popular, Anuar Zain di lokasi yang sama pada 11 Disember.

Menerusi 12 siri persembahan yang akan diakhiri dengan konsert mega pada 2011, Sharifah Aini berharap dapat mengumpul dana berjumlah RM1 juta untuk membantu 15 rumah tahfiz yang memerlukan.  "Sejak 15 tahun lalu, Kak Pah sudah terbiasa dengan anak-anak tahfiz.  Cuma dulu Kak Pah selesa melakukannya secara diam.  Namun semua itu masih belum memadai buat Kak Pah.  Selepas berbincang dengan pengurusan badan tahfiz berkaitan, Kak Pah menyedari mereka memerlukan dana yang besar untuk menguruskan anak-anak ini.  Dengan bakat dan populariti yang dianugerahkan Allah, Kak Pah salurkan untuk tujuan amal dengan harapan usaha kecil ini akan membawa pulangan besar serta memberi kelapangan kepada mereka.  Ini pelaburan Kak Pah untuk akhirat dan doa Kak Pah usaha ini diberkati serta mendapat balasan yang baik daripada Allah nanti," katanya.

Sharifah Aini berkata, cetusan idea untuk memulakan siri persembahan itu lahir ketika menjayakan acara amal di Dewan Perdana Felda, tidak lama dulu.  Melihat sambutan luar biasa peminat yang sentiasa merindui kemunculannya membuatkan Sharifah Aini terpanggil untuk menyalurkan popularitinya dalam kerja kebajikan.  "Sudah lama Kak Pah menyimpan niat ini cuma dulu belum bersedia kerana memerlukan perancangan yang teliti untuk melaksanakannya.  Alhamdulillah, Tuhan akhirnya menemukan Kak Pah dengan mereka yang berminat dan amanah.  Persembahan ini membabitkan wang yang besar dan Kak Pah perlu telus.  Disebabkan sudah banyak kali tertipu, Kak Pah bertekad untuk keluarkan wang poket sendiri dan ia memberi Kak Pah kepuasan kerana tidak perlu bergantung kepada orang lain," katanya.

Kata Sharifah Aini lagi, selain Adibah dan Anuar, dia juga bakal mengundang penghibur terkemuka lain antaranya Anita Sarawak, Datuk Sheila Majid, M Nasir, Jamal Abdillah dan barisan penyanyi 60-an untuk melengkapi siri persembahan itu.  "Kak Pah perlu teliti dalam pemilihan senarai artis kerana usaha ini adalah untuk mencari dana.  Berdasarkan kajian, Kak Pah dapati Anuar cukup popular di kalangan peminat korporat.  "Dia juga seorang penyanyi yang baik serta mempunyai kelompok peminat tersendiri membuatkan Kak Pah tidak malu untuk muncul dengannya di pentas nanti.   Begitu juga dengan Adibah yang memiliki keistimewaannya yang tersendiri.  Setiap persembahan akan membawa tema tersendiri membuatkan Kak Pah begitu teruja menanti ia bermula," katanya.

Juga bakal menjayakan konsert di Stadium Tertutup Singapura pada 8 November ini, persembahan Sharifah Aini untuk dua malam itu akan diiringi lima pemuzik di bawah pimpinan Ramli MS.

Mimpi Menjadi Kenyataan

Mengagumi kehebatan vokal Sharifah Aini sejak kecil, malah membesar bersama lagu-lagunya membuatkan Anuar sentiasa memasang azam untuk berkongsi pentas dengan penghibur kesayangan rakyat Malaysia ini.  Bagaikan mimpi menjadi kenyataan, lamaran untuk menjayakan persembahan Datuk Sharifah Aini And Friends Charity Dinner membuatkan penyanyi pujaan ramai wanita itu terkedu.

"Saya tidak pernah terfikir Kak Pah berminat untuk mengundang saya berkongsi pentas dengannya.  Ia suatu penghormatan yang memberi prestij serta mengukuhkan resume saya sebagai penyanyi," kata Anuar teruja.  Jujur kata Anuar, dia tertarik dengan sikap profesional yang ditunjukkan penghibur berusia 55 tahun itu malah kolaborasi itu juga membuka ruang kepadanya untuk mendasari hati anak seni bernama Sharifah Aini.

"Kami menghabiskan masa bersama serta berbincang untuk merangka corak persembahan nanti.  Paling mengujakan, apabila berpeluang untuk bertukar pengalaman dan cara kerja membuat saya selesa berbicara dengannya," kata Anuar yang meminati lagu Tiada Maaf Bagimu nyanyian biduanita tersohor itu.

Anuar berkata, dia cuma berharap penonton yang datang pada malam itu terhibur dengan persembahan yang bakal mereka persembahkan.  Ia antara perkara besar pernah berlaku dalam karier saya dan lebih penting, selain berhibur kita juga dapat beramal.  Saya berharap usaha murni ini akan diikuti oleh anak seni lain," katanya.

Adibah pula berharap niat murni mereka akan diberkati, malah mendorong lebih ramai insan berhati mulia untuk menghulurkan tangan membantu insan yang memerlukan.

  INFO 

  PERSEMBAHAN DATUK SHARIFAH AINI AND FRIENDS – Adibah Noor

Tarikh:  4 Disember 2009

Waktu:  8 malam

Lokasi:  Grand Ballroom, Concorde Hotel Kuala Lumpur

Bayaran:  RM6,500 ; RM4,500 dan RM2,500 untuk setiap meja 10 tempat duduk

  PERSEMBAHAN DATUK SHARIFAH AINI AND FRIENDS – Anuar Zain

Tarikh:  11 Disember 2009

Waktu:  8 malam

Lokasi:  Grand Ballroom, Concorde Hotel Kuala Lumpur

Bayaran:  RM10,000 ; RM5,500 dan RM3,500 untuk setiap meja 10 tempat duduk

Hubungi: 019-348 8054 / 012-933 2373 ; Faksimili: 03-7805 1008 atau e-mel: limeevent@gmail.com

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Sasar RM1 Juta (Berita Minggu: B*Pop – 20 Disember 2009)

  Saling Mengagumi (Berita Harian – Khamis, 17 Disember 2009)

  Saya Sentiasa Mahu Bekerjasama (Harian Metro – Isnin, 14 Disember 2009)

  Demi Anak Tahfiz (Berita Harian – Jumaat, 6 November 2009)

  Sharifah Aini Powers On (The New Straits Times – Tuesday, 3 November 2009)

  Kak Pah, Anuar Ziarah Bakal Hafiz (Berita Minggu: B*Pop – 1 November 2009)

  Dakwah Cara Sharifah Aini (Berita Harian – Jumaat, 23 Oktober 2009)