SALING MENGAGUMI oleh Serimah Mohd Sallehuddin (Berita Harian: Khamis, 17 Disember 2009) |
Anuar Zain dan Adibah Noor yang diundang menjayakan persembahan dinamakan Datuk Sharifah Aini & Friends di Hotel Concorde baru-baru ini mengakui terpesona dengan sikap penyanyi itu. Jika diukur pengalaman Kak Pah dengan mereka, jurangnya amat berbeza. Namun Kak Pah sentiasa merendah diri, malah mereka dilayan seperti sahabat lama ketika berbincang mengenai persiapan persembahan di kediamannya. "Kami dilayan cukup baik oleh Kak Pah. Kami tidak faham kenapa artis lain takut dengannya. Walaupun siapalah kami jika dibandingkan dengan Kak Pah, tapi beliau seorang yang mudah mesra dan baik," kata Adibah. Kenyataan itu dipersetujui Anuar yang turut diundang menjayakan persembahan bagi mengumpul dana untuk sekolah Maahad Tahfiz Al Quran Darul Huffaz, Batu 13 Puchong, Selangor. Kata Anuar, berada di rumah Kak Pah, ibarat di restoran. Mereka dihidang pelbagai juadah enak, malahan biarpun baru kali pertama bertemu, dia langsung tidak kekok.
Adibah yang membuka tirai persembahan pada malam itu, memukau tetamu hampir satu jam dengan rangkaian lagu miliknya serta lagu nyanyian Kak Pah. Antaranya lagu Terlalu Istimewa, Bunga Tanjung, Cahaya, Hujan, Bila Rindu, Rindu Bayangan dan Janji Manismu. Kemunculan Anuar selepas persembahan Adibah pula begitu dinantikan khususnya oleh penonton wanita. Lagu Ketulusan Hati membuka tirai pada malam itu diikuti Mimpi Sedih, Widuri, Penantian dan Hati Lebur Jadi Debu. Penyanyi lelaki bersuara mantap itu turut berduet dengan Kak Pah menerusi lagi Kebadian Cinta. INGIN BERGANDINGAN DENGAN ANITA SARAWAK
Selagi hayat dikandung badan, penyanyi itu akan terus bernyanyi untuk tujuan kebajikan. Malah, sebahagian kutipan hasil penjualan meja pada persembahan ini disumbangkan kepada sekolah tahfiz berkenaan. Kak Pah juga kini sedang meneliti seberapa banyak sekolah tahfiz lagi untuk dibantu, setakat ini sebanyak 15 sekolah sudah dikenal pasti. Bagi merealisasi impiannya itu, beliau akan mengadakan persembahan seperti ini lantaran menyedari kesukaran mendapatkan tajaan. "Hendak dapatkan penaja bukan senang. Kak Pah tak tahu apa yang penaja mahukan sehingga begitu sukar untuk mendapatkan tajaan. Sebab itu Kak Pah mengambil inisiatif mengadakan persembahan seperti ini dan Kak Pah juga tidak akan sering untuk terus melakukan sehinggalah mendapat kutipan sebanyak RM1 juta," katanya yang akan berkongsi pentas dengan Anita Sarawak pada Mac nanti. Walaupun Kak Pah muncul di pentas Ballroom Hotel Concorde agak lewat iaitu kira-kira jam 11.15 malam, namun peminat penyanyi itu yang kebanyakannya membesar dengan lagu-lagunya tetap setia menunggu. Kelunakan suara penyanyi itu tiada tandingan. Selama lebih satu jam itu, Kak Pah menggembirakan peminat dengan menyanyikan lagu Bunga Tanjung, Jatuh Cinta, Inikah Balasan, Di Malam Persandingan, Tunggu Sekejap, Sabar Menanti, Autumn Leaves dan banyak lagi. Persembahan berkenaan disaksikan lebih 400 tetamu malah peminat sejauh Australia dan London juga sanggup ke Kuala Lumpur semata-mata tidak mahu melepaskan peluang menonton persembahan seorang legenda dalam dunia nyanyian bernama Sharifah Aini. Artikel lain yang berkaitan:
|